Halaman

Sabtu, Disember 13, 2008

CATATAN haji: peminta sadaqah

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Dalam banyak-banyak jemaah dari pelbagai negara, rupa-rupanya jemaah dari Malaysia sentiasa diperhatikan. Semua jemaah Malaysia dikenali pada tag nama yang terdapat sekali bendera negara. Bagi yang perempuan, pada kain telekungnya tertulis perkataan Malaysia dalam huruf Arab.

Katakanlah jemaah Malaysia dan Indonesia bergerak dalam satu kumpulan untuk masuk ke masjidil haram, pasti pegawai di pintu-pintu masuk akan melepaskan sahaja jemaah Malaysia tetapi akan memeriksa beg dan pakaian jemaah dari Indonesia. Para pengawal telah faham karektor para jemaah sekalipun datang dari wilayah yang sama, seperti Nusantara.

Pandangan umum jemaah dari negara India, Pakistan, Indonesia dan beberapa Negara Arab ialah jemaah Malaysia orang kaya, atau sekurang-kurangnya hidup dalam kecukupan. Sebab itu saya sendiri berkali-kali didatangi oleh jemaah dari India, Pakistan dan Arab Teluk untuk meminta sumbangan wang. Awalnya saya berminat juga ingin mengetahui keadaan mereka sehingga meminta wang. Katanya, mereka memang pergi haji berdasarkan sedekah-sedekah.

Saya katakan kepada mereka bahawa perbuatan itu salah dan mereka tidak perlu pergi melakukan haji. Mereka tidak perduli dan mendesak saya memberikan wang. Amboi, saya hulur satu rial bagai tidak diterima dan meminta lebih. Ada yang dari UAE kata orang Malaysia kaya, merungut-rungut diberi satu rial. Orang yang berperangai begitu sebenarnya telah mengenal pasti siapa mangsa, sekalipun tag nama disorokkan, mereka telah tahu. Sekali lagi ingatkan masjid haram, tak mahulah saya bertengkar pula, cuma dengan baik saya minta jangan diganggu lagi. Kerana faham situasi, dalam poket baju saya telah sediakan wang satu rial beberapa keping. Apabila saya didatangi orang dan mula bercerita dirinya, saya hulur satu rial. Dia pun pergi.

Ada satu peristiwa selepas solat maghrib, tiba-tiba bangun seorang jemaah lelaki (saya agak dari Turki berdasarkan mukanya, sebab dia memakai kain ihram) bercakap dalam bahasanya. Saya pun tak faham dan tak berapa dengar, Cuma wajahnya tampak sedih dan merayu-rayu bantuan wang. Untuk memudahkan jemaah lain faham, dia menunjukkan dompet pada tali pinggangnya yang robek, tanda dia tidak punya wang lagi. Jemaah-jemah lain pun bangun memberinya wang sehingga dia menangis tanda hiba dan syukur.

13 disember 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan