Halaman

Ahad, Disember 14, 2008

CATATAN haji: Pak Haji tidak solat?

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Berdasarkan rekod grup saya adalah yang kedua berlepas dari LTSSAAS Subang pada 27 Januari 2001 dan kembali mendarat semula di KLIA pada 13 Mac 2001. Hal ini bermakna sebaik sahaja tamat kerja-kerja haji, grup saya terus berkemas untuk pulang ke tanah air.

Sewaktu di King Abdul Aziz Airport (KAAA) di Jeddah saya ternampak beg haji hijau tertera nama Dato’ Noh. Saya pun tidak pasti siapa yang memiliki beg berkenaan. Namun selepas beberapa ketika, camlah bahawa beliau ialah Dato’ Noh Omar seorang Timbalan Menteri waktu itu, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang. Berdasarkan pergerakan orang-orang di sekitarnya, kemungkinan besar beliau mengerjakan haji bersama isteri dan beberapa orang anak remajanya.

Tidak berapa lama kemudian kami semua dipanggil untuk menaiki pesawat, jauh lebih awal daripada yang dijangka. Rupa-rupanya pihak pengurusan mahu mempercepatkan kepulangan Dato Noh dan keluarganya. Oleh itu grup kami juga diterima sekali untuk sama dalam penerbangan itu. Dan saya berasa untung juga kerana dapat menaiki pesawat di kelas pertama, yang dikhaskan untuk Timbalan Menteri itu. Salutlah untuk Dato Noh dan keluarganya kerana mengerjakan haji bersama Tabung Haji yang dikategorikan ‘haji lambak’, haji orang-orang marhaen.

Dalam pesawat saya duduk berdua dengan seorang yang sesuai saya panggil pakcik, orang Taiping. Badannya agam dan duduk diam-diam memegang satu patung mainan besar, agaknya untuk cucunya di KLIA nanti.

Untuk mengesan waktu subuh dalam pesawat tidak sukar sangat, cukup melihat ke luar jendela. Langit mula kesamaran, tanda mentari bergerak untuk muncul. Saya terus ke tandas untuk berwudhuk dan kemudian solat subuh dalam pesawat itu.

Kerana saya perhatikan pakcik tadi asyik tidur, saya pun menggerakkannya untuk memberitahu waktu subuh yang sangat singkat. Dia hanya mengangguk sahaja, tak bergerak untuk solat sampai turun di KLIA. Mana saya tahu kalau dia bersolat dalam hati!

Namun saya perhatikan sepanjang waktu subuh yang singkat dalam pesawat, hampir semua lelap saja kecuali apabila hari sudah pagi dan pramugari datang membawa minuman panas. Tak tahulah saya di mana dan bagaimana mereka solat subuh. Berdasarkan ilmu yang saya miliki, setidak-tidaknya kalau hendak mengikut hukum daripada penceramah Tabung Haji, solat mesti dilakukan sebagai solat ‘menghormati waktu’. Kemudian apabila sampai ke bumi dalam keadaan biasa terus saja solat subuh semula untuk yang sebenar. Apabila pesawat menjejak ke bumi matahari sudah mula tinggi dan sanak saudara sudah lama juga menungu. Aduhai, saya tidak nampak siapapun yang bergegas mencari surau untuk solat subuh sebenar. Ada beberapa orang yang sibuk mencari bilik air untuk menukar pakaian, mahu mengenakan pakaian jubah putih kerana asalnya dari Jeddah berpakaian biasa saja.

Macam-macam pak haji ini…

14 disember 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan