Halaman

Sabtu, Ogos 30, 2008

AKIBAT muslim perlembagaan!

Penulis tersentuh dengan pandangan seorang wartawan besar A Kadir Jasin dalam blognya mengenai Islam. Wacana bagus untuk dibaca dan difikirkan sebagai muslim. Penulis hanya mencuplik yang berkaitan Islam daripada postingnya berjudul Politik semasa, Islam dan kelangsungan Malaysia. http://www.kadirjasin.blogspot.com

Jadi, dengan izin, dalam posting kali ini, saya hendak bercakap perkara yang lain sikit -- mengenai betapa “mudahnya” menjadi orang Islam di Malaysia.

Kerana mudah itulah agaknya ramai orang Islam Malaysia tidak banyak berfikir sebaliknya asyik bertelagah dan bertelingkah.

Ada orang kata, orang Islam Malaysia adalah Muslim pseudo, Muslim kelahiran dan Muslim perlembagaan bukan Muslim kerana akidah, ilmu dan amalan.

Apa tidaknya, akidah orang Islam dipertahankan oleh Perlembagaan. Islam adalah agama Persekutuan Malaysia. Kalau Melayu agamanya wajib Islam. Agama-agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam.

Simbol Islam di merata tempat --- masjid indah, surau, madrasah, tudung, ketayap, serban dan makanan halal. Tak pakai jam pun tak apa. Lima kali sehari azan akan berkumandang mengingatkan mengenai masa.

(ditambah lagi)

Kalau difikir-fikirkan, umat Islam Malaysia sepatutnya menjadi Muslim yang unggul dalam segala aspek. Tetapi kerana terlalu dilindungi, ramai daripada Muslim Malaysia menjadi Muslim pseudo dan menghabiskan masa dan tenaga membahaskan isu remeh-temeh.

Boleh jadi kerana akidah kita tidak diuji dan orang agama lain tidak dibenar mempropagandakan agama mereka kepada umat Islam maka orang Islam Malaysia menjadi alpa, cetek dan besar kepala.

Apatah lagi apabila pembesar-pembesar politik Muslim sendiri menunjukkan contoh yang buruk seperti lewat datang kerja, lewat ke majlis dan mungkir janji untuk hadir di sesuatu majlis. Tak cukup dengan itu mereka bersumpah sana sini dengan menggunakan nama Allah dan mengamalkan amalan songsang.

Agaknya kerana itu jugalah tidak ramai orang Islam Malaysia yang berminat dan tidak berani bergaul dengan orang bukan Islam. Apatah lagi berbincang dan berbahas mempertahankan hak Islam.

Sedangkan orang bukan Islam dari negara-negara maju begitu kagum apabila mereka melawat Malaysia. Mereka kagum dengan tahap kemajuan negara kita. Mereka kagum melihat wanita Islam yang bertudung tetapi memandu kereta Mercedes dan BMW. Mereka kagum berunding dengan eksekutif wanita Islam yang pakar dan pintar.

Tetapi kalau kita biarkan ketidakhaluan pemerintahan sekarang berterusan, bukan sahaja kelangsungan negara kita Malaysia akan terancam malah kesucian Islam akan ternoda. Seperti kita maklum, sudah pun wujud percubaan untuk menguji kesabaran dan keazaman umat Islam Malaysia secara tersurat dan tersirat.

Jumaat, Ogos 29, 2008

JEJAK merdeka (iii) agama Islam dan adat Melayu

BANYAK pihak mengatakan British tidak mencampuri urusan agama dan adat Melayu kerana hal itu telah diserah kepada raja-raja Melayu. Tindakan British ini bukan secara tidak sengaja, malah terancang setelah membuat kajian mendalam. Pegawai pengkaji timur yang dikenali sebagai orientalis telah mengkaji kedudukan agama Islam dan adat Melayu dalam masyarakat Melayu. Sebab itu Perjanjian Pangkor (1874) yang ditawarkan kepada Raja Abdullah dari Perak begitu tepat sekali.

Jangan kata British tidak menganggu hal agama kerana hal-ehwal Islam di bawah kuasa raja-raja. Cara British menyusun pentadbiran ‘agama Islam’ itu sudah jelas satu agenda untuk merosakkan Islam yang kaffah dan indah. Dengan undang-undang itu, agama Islam yang disusun bersama adat telah terkunci rapat.

Akibatnya apa yang dahulu hanya diperkenalkan oleh British semasa penjajahan semakin lama diterima sebagai satu sistem pengukuhan dan terlembaga. Lihatlah kerja British memberi kuasa hal agama dan adat resam kepada Raja-raja Melayu, akhirnya diterima sebagai satu lembaga yang sah. Kini seolah-olahnya apa yang dilembagakan dalam Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu bagi setiap negeri adalah Islam seperti yang diajarkan oleh alquran dan sunah. Akidah dan ibadah dicantumkan dengan adat Melayu sehingga sukar untuk diperjelaskan sejauhmana adat sepatutnya berada di sisi akidah dan ibadah Islam.

Lantaran itu kebanyakan adat Melayu seperti pakaian, songkok, jamuan kematian, perkahwinan, persilatan, sambutan menerima bayi dan pelbagai lagi dianggap sebagai adat-adat Islam. Ayat-ayat alquran dan doa diserapkan dalam adat-adat itu sehingga akhirnya diterima pula sebagai unsur ibadah dalam Islam.

Ciri bangsa itu dilihat pada adat budayanya, dan bangsa Melayu sudah sebati dengan adat yang disatukan dengan agama Islam. Maka fahamlah apabila dikatakan orang Melayu itu mesti beragama Islam. Sebatinya antara ibadah Islam dan adat Melayu sehingga golongan agama yang sedar perlunya pemisahan antara ibadah dan adat ini, bagai tidak terdaya melaksanakan misi pengislahan.

Inilah asasnya di Malaysia yang telah membawa pengertian setiap orang Melayu itu mesti beragama Islam dan maksud ini dicatat dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

JEJAK merdeka (ii) warisan British

KATAKANLAH penjajah British memang jahat dan wajib dibenci, maka patut juga segala legasinya turut dibenci. Cuba bayangkan tanpa kehadiran penjajah British, bererti tidak wujud penyatuan antara negeri-negeri Melayu yang hari ini dinamakan Malaysia. British yang memulakan pembentukan persekutuan Selangor, Perak, Negri Sembilan dan Pahang, kemudian diperluas menjadi Malayan Union untuk semua negeri di semenanjung Tanah Melayu. Malayan Union yang dibenci oleh Umno iitulah detik pertama penyatuan negeri-negeri Melayu sejak Melaka dirobohkan oleh Protugal tahun 1511.

Tentu ada yang berhujah, tanpa British pun raja-raja Melayu mampu menyatukan negeri-negeri Melayu menjadi sebuah negara yang lebih besar. Sebenarnya kemunculan negeri-negeri Melayu seperti Pahang, Terengganu, Johor, Perak, Kedah, Selangor, Kelantan dan Negri Sembilan merupakan kesan keruntuhan empayar Melayu Melaka. Sejak itu peperangan antara Kelantan dan Terengganu berlaku. Perang juga berlaku antara Selangor dan Perak. Johor juga pernah menyerang Kedah.

Sebenarnya pada waktu itu kewujudan negeri-negeri Melayu itu adalah sebagai negara-negara merdeka yang berdaulat. Tidak begitu mudah untuk berhujah bahawa negara-negara Melayu berdaulat itu akan membentuk persekutuan atau satu kesatuan. Tidak ada dalam pemikiran raja-raja Melayu zaman sebelum British mengenai apa ertinya penyatuan dan sebuah negara bangsa Melayu yang besar, tidak ada!

Oleh itu berilah kredit kepada British yang membentuk sebuah negara gabungan negeri-negeri kecil Melayu menjadi Malayan Union (1946) kemudian menjadi Persetukuan Tanah Melayu (1948). Sehingga tanggal 31 Ogos 1957, negeri-negeri telah bersetuju bergabung membentuk negara bangsa yang merdeka.

Sekalipun undang-undang British dibenci kerana mengambil tempat undang-undang Syariah, namun kaedah perundang-undangan Barat itu lebih menepati syariah. Proses undang-undang British di mahkamah awam lebih telus dan adil berbanding sistem undang-undang yang diamalkan oleh kerajaan raja-raja Melayu dahulu. Contoh klasik bagaimana pengadilan yang ditunjukkan oleh Sultan Melaka ketika menghukum Tun Besar anak Tun Perak atau Hang Tuah tersasar jauh daripada neraca keadilan.

Doktrin atau amalan pengasingan kuasa khasnya antara kehakiman dengan pembuat undang-undang dan pelaksana tidak ada contoh langsung daripada sistem pemerintahan raja-raja Melayu. Seorang raja adalah pembuat undang-undang, pelaksana dan juga sebagai hakim. Dengan kemasukan British barulah dibentuk secara evolusi bagaimana kehakiman wajib bebas daripada pengaruh pelaksana atau pemerintah.

Apabila negeri-negeri membentuk sistem kehakiman mahkamah Syariah pun menggunakan kaedah mahkamah awam yang diamalkan dalam mahkamah yang diperkenalkan oleh British.

Pada zaman pemerintahan raja-raja Melayu dahulu tidak ada sistem pemilikan tanah oleh rakyat. Semua tanah adalah hak raja, maka rakyat dibenarkan tinggal dan bekerja di tanah atas ihsan raja-raja. Bagi masyarakat zaman feudal itu, semua yang dalam negeri adalah hak raja termasuk rakyat. Sebab itu raja-raja Melayu menggunakan sistem kerah, iaitu kerahan tenaga tanpa upah atas nama kesetiaan kepada raja.

British telah mengubah sistem itu dan dilihat lebih adil dan munasabah. Pemilikan tanah diperkenalkan dengan menggunakan sistem Torrens. Kerajaan membenarkan pemilikan tanah oleh rakyat dan semua itu direkod. Sebenarnya urusan tadbir yang dicatat sudah dijelaskan dalam alquran, tetapi diabaikan oleh sistem feudal Melayu zaman sebelum British.

Samalah seperti sistem pendidikan zaman sebelum British. Orang Melayu lebih berdisiplin mendalami ilmu agama yang difahami urusan akidah dan ibadah khusus. Ironisnya, Islam yang sampai ke alam Melayu ini sesudah terbukti pembinaan tamadun sipiritual dan fizikal di Andalusia dan Baghdad. British juga yang memperkenalkan pelajaran kemahiran. Masih berlaku konflik antara ulama dengan pelajaran kemahiran yang disangka daripada Kristian atau keduniaan. Sebab itulah tidak mudah seruan Gerakan Islah untuk mengubah paradigma orang Melayu agar mempelajari ilmu kemahiran keduniaan untuk membangunkan bangsa dan Negara.

Demikian antara cebisan sumbangan British dalam pembinaan negara yang tidak disedari. Tidak apalah mendakwa penjajah itu jahat. Label penjajah jahat dan buruk hanyalah retorik politik apabila mengenang zaman perjuangan memerdekakan negara.

Islam sebenarnya menerima kebaikan tanpa mengira dari mana datangnya. Segala ilmu kemahiran dan sistem sosial yang tidak berlawanan dengan prinsip keadilan dalam alquran mestilah diterima sebagai khazanah ilmu dalam Islam. Contoh terbaik pada zaman Rasulullah di Madinah ialah apabila baginda menerima cadangan membina parit besar untuk melindungi Madinah daripada serangan kaum kuffar, walhal teknik menggali parit adalah kaedah berperang dari Parsi yang belum menerima Islam.

Khamis, Ogos 28, 2008

JEJAK merdeka (i)

Hari kemerdekaan Indonesia 17 Ogos, Singapura 16 Ogos dan Malaysia 31 Ogos! Jika negara tidak dijajah oleh bangsa atau negara luar, maka tidak ada hari kemerdekaannya. Malah negara kuasa besar Amerika Syarikat juga dahulunya tanah jajahan British. Negara kita juga merdeka daripada British. Jika Indonesia berperang dengan Belanda untuk merdeka, begitu juga Amerika berperang dengan British, Malaysia ditakdir tidak menempuh medan perang untuk menurunkan bendera British.

Tidak ada kuasa penjajah yang baik hati menyerahkan kuasa pentadbiran negara dengan percuma! British mula menjajah di Pulau Pinang pada tahun 1786 kemudian merebak sehingga ke seluruh wilayah yang hari ini bernama Malaysia. Penjajah ini datang bukan untuk memberi khidmat bakti membimbing penduduk tempatan, tetapi datang dari jauh untuk mengambil kekayaan dan menyebarkan kebudayaannya.

Maka apabila difahami negara merdeka tidak dengan cara berperang, bukan bererti British penjajah yang budiman. Perjanjian London 1956 yang diterima oleh Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya jelas membawa maksud segala kekayaan dan kepentingan British tidak akan terjejas sekalipun selepas 31 Ogos 1957 mereka tidak menguasai pentadbiran. Kalau pemimpin kita dahulu tidak mahu menerima syarat itu, maka tidak ada harapan merdeka secara rundingan sahaja.

Nah, ertinya kemerdekaan ini dahulu bersyarat. Boleh merdeka, asalkan kepentingan yang membawa maksud kekayaan milik kerajaan, syarikat dan orang perseorangan dari British tidak diusik. Diingatkan sekali lagi, British datang bukan untuk menabur bakti mulia.

Kita merdeka, dikatakan bebas dan boleh menentukan apa yang kita mahukan. Untuk menambah nikmat dan meriah merdeka, digambarkan baiknya negara merdeka dan buruknya dalam penjajahan British. Kita merdeka kerana bencikan British. Eh, tentulah begitu sebab kalau cintakan British tentu kita tidak mahu British pulang ke Eropah sana.

Jika kita bencikan British, maka sepatutnya apa yang dibawa oleh British dalam negara ini dibuang saja ke dalam longkang. Namun tidak begitu. Kita meneruskan sistem yang diperkenalkan oleh British sekalipun kita berkata dalam negara merdeka, kita bebas memilih dan menentukan hala negara. Sebenarnya kita bebas untuk meneruskan legasi British!

Negara ini meneruskan banyak legasi British seperti dalam dasar luar negara yang sangat memihak kepada Barat waktu itu. Sistem pendidikan, undang-undang dan kebudayaan dari British tidak semudah itu untuk dibuang seperti membuang bendera Union Jack. Oleh kerana negara merdeka masih muda dan tidak mampu berdikari maka meneruskan sistem tinggalan penjajah adalah pilihan utama. Atau sebenarnya dalam kerangka pemikiran pemimpin waktu itu tidak ternampak model lain, selain apa yang diajar oleh British.


Namun kita juga wajib percaya sepanjang 51 tahun merdeka perubahan telah berlaku, daripada sebuah negara kecil berjiwa kecil kepada negara kecil berjiwa besar. Memang Malaysia tidak boleh menjadi kuasa besar seperti China dan Russia, tetapi menentukan pendirian yang jelas sudah dikira berjiwa besar. Semua bergantung kepada siapa yang memimpin dan sejauh mana pemimpin itu sanggup menjerit di persada dunia.

Rabu, Ogos 27, 2008

SABARLAH dengan politik

BADAI politik negara berhenti sebentar dengan tamatnya Pilihan Raya Kecil di Permatang Pauh semalam. Orang-orang yang rindu kedamaian dan keharmonian tersentak sepanjang 10 hari manusia berhimpun dan bersuara di sana. Bayangkan sahaja apabila puluhan ribu orang bercakap mengenai musuh atau lawannya di sana, tentulah tidak ada pujian. Mengeji dan memaki melata di mana-mana. Itulah dunia politik negara yang diwarisi daripada penjajah British.

Suka atau tidak, sistem pentadbiran dan politik negara kita ini adalah warisan penjajah British. Dalam mengenang detik merdeka negara tanggal 31 Ogos 1957, mestilah penjajah British diberi wajah hitam supaya tampak cerah dan mulia wajah kemerdekaan. Namun sistem politik warisan penjajah ini tidak pula dilihat sebagai berwajah hitam dan kotor, malah sedang dianut dengan baik sekali.

Sistem demokrasi di Malaysia membenarkan pertandingan antara dua atau beberapa orang supaya menjadi Wakil Rakyat. Teorinya ialah rakyat akan dapat memilih seorang manusia terbaik untuk mewakili mereka dalam pemerintahan. Namun amalannya, untuk menjadi pemenang, mestilah memberi wajah hitam dan buruk kepada lawan-lawannya. Samalah sekarang untuk memberi erti manis dan indah kemerdekaan negara, dicat hitam wajah British.

Jadilah politik berpilihan raya dengan wajah pelbagai rona. Mereka memulakan perjalanan dengan wajah ceria dan bersalam muhibah. Kemudian timbullah cerita buruk dijaja dan diedarkan untuk meruntuhkan kewibawaan lawan. Fitrah manusia sebenarnya bukan suka mendengar cerita buruk dan keji, tetapi nafsu manusia memang mencari keseronokan dengan cerita di balik tabir dan yang selama ini dirahsiakan. Oleh kerana politik demokrasi mencari sokongan rakyat terbanyak, dan rakyat terbanyak itu sudah dikuasai nafsu maka pilihan yang ada ialah cerita telanjang di mana-mana.

Ertinya politik demokrasi hanya indah pada teori, dan gagal dalam amalinya. Lihatlah bagaimana untuk menjatuhkan seseorang tokoh, cerita dalam kelambu dan kain dijadikan hujah. Malanglah nasib bangsa yang mahu membentuk tamadun tinggi jika hal kenegaraan diukur dengan cerita buruk dan keji. Kalaulah orang yang diberi akal waras tidak mengenal antara berita baik dan keji, tidak tahulah apa hendak dikata lagi.

Mengeji, mengumpat, menuduh palsu, mereka-reka cerita, menafsir kepada yang bukan-bukan, membuat persepsi, dan pelbagai istilah merebak dengan cepat dalam dunia politik pilihan raya. Namun jangan lupa bahawa standard Allah dalam alquran tetap sama. Orang bisa saja menggunakan dalih dirinya dizalimi atau dalam darurat, hakikatnya umah sedang luka parah kerana maruahnya sedang dikerjakan demi kejayaan dalam politik.

Cukuplah peringatan Allah sebagai sempadan kepada yang mahu mengambil peringatan. Maksud firman Allah dalam surah al-Hujrat ayat 11, “Wahai orang-orang beriman, janganlah pihak lelaki memperolok-olok pihak lelaki yang lain, kerana barangkali (yang diperolok-olok) itu lebih daripada dirinya. Dan jangan pula pihak perempuan menghina pihak perempuan lain, kerana barangkali (yang dihina) itu lebih baik daripada dirinya. Janganlah caci-mencaci antara sesama kamu, jangan memanggil dengan gelaran yang tidak baik (buruk), seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah beriman. Barang siapa yanag tidak mahu bertaubat, maka nyata dirinya orang aniaya.”

Selasa, Ogos 26, 2008

KUASA mengharamkan buku

KUASA memang menghiburkan dan menyenangkan pemegangnya. Orang ada kuasa, maka adalah pengaruhnya. Orang ada kuasa, maka tentulah ada pihak yang dikuasainya. Secara fitrahnya, yang berkuasa itu kecil dan yang dikuasainya banyak. Sebenarnya, kekuasaan itu ada di mana-mana sehingga dalam sekumpulan kanak-kanak bermain guli juga ada unsur kekuasaan dan pengaruh. Itulah tabiat manusia atau makhluk lain.

Yang berkuasa dalam bidang atau wilayah pegangannya akan mengunakan kuasanya. Kalau boleh tentulah kuasanya betul-betul berkesan dan tidak dipertikaikan. Bergantung kepada bagaimana kuasa itu dipergunakan.

Maka dengan kuasa jugalah Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan sebuah buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd berjudul “Pelik Tapi Benar Dalam Solat” hasil tulisan Abdul Rahman Mohamed. Selain buku berkenaan ada buku lain bertema Islam yang diharamkan oleh KDN. Untuk memudahkan alasan kerja, KDN mengatakan ada penyelewengan fakta daripada ajaran Islam. Penjelasan lain ialah kandungan buku itu menggelisahkan masyarakat. Wow!

Itulah hasil kuasa daripada pihak berkuasa. Buku adalah terbitan ilmu bukan hasil kraftangan masyarakat di tepi hutan. Untuk mengharamkan sebuah buku yang asasnya adalah ilmu mestilah diberi penjelasan berdasarkan ilmu juga. Apa yang salahnya berdasarkan alquran dan sunah “Pelik Tapi Benar Dalam Solat”? Memberi alasan sebaris dua ayat dengan mengatakan ‘buku itu menyalahi ajaran Islam’ bukan menyelesaikan masalah, malah mengundang masalah baru. Ini bukan zaman feudal yang kebenaran hanya datang dari pihak berkuasa. Sekarang zaman ilmu melata di mana-mana.

Kalau hendak mengharamkan sebuah bakul hasil kraftangan milik Orang Asli pun mesti berdasarkan sebab yang sangat munasabah supaya semua faham bakul itu berbahaya dan tidak selamat digunakan. Orang akan akur. Kalau bakul itu diharamkan hanya kerana alasan ‘tidak sesuai’, masyarakat Orang Asli pun marah dan akan membantah.

Mengharamkan buku? Penulis tidak membantah jika diberikan hujah meyakinkan memang buku itu wajib disimpan atau ditanam. Hujah ilmu mesti diberikan supaya masyarakat faham situasi yang dipilih oleh pihak yang mengharamkan buku.

Jaga-jaga apabila menolak sesuatu hal dengan memberi baris ayat ‘tidak berdasarkan ajaran Islam’ kerana orang akan bertanya “mana yang menyalahi alquran dan sunah?” Islam itu mesti berdasarkan alquran dan sunah, tidak selain daripada itu. Jangan cuba-cuba mengatakan Islam itu sumbernya pegangan biasa masyarakat atau pendapat ustaz atau hasil muzakarah. Islam adalah din atau agama wahyu, bukan hasil rekaan atau inovasi masyarakat.

Kalau pihak berkenaan tidak menjelaskan dari sudut ilmu ‘menyalahi ajaran Islam’ akan membawa kesimpulan lain. Jika buku berkenaan benar-benar bersumber alquran dan sunah cuma isinya tidak menjadi kebiasaan kepada masyarakat, ertinya pihak yang mengharamkan tidak faham pun mengenai tuntutan alquran dan sunah. Inilah kerenah orang ada kuasa, dan memaksa kuasanya kepada orang yang dikuasai.

Kerana kuasa, apa yang tidak disukai akan dibuang saja. Dahulu tentera Monggol yang menyerang Baghdad pada tahun 1258 M tidak suka buku kerana bangsa itu bukan jenis yang suka ilmu, maka beribu-ribu buku karangan ilmuan di Baghdad dibuang ke dalam sungai Furat. Habislah khazanah ilmu di tangan orang jahil. Di dalam negara pun ada tabiat seperti tentera jahil itu.

Isnin, Ogos 25, 2008

ORANG Melayu dan motorsikal

KECELAKAAN di jalan raya sudah menjadi kebiasaan di negara ini. Takdirnya saudara penulis yang baru berusia 15 tahun juga sudah menjadi mangsa terbaru. Baru sebentar tadi penulis dan keluarga menziarahi remaja belia di hospital Seremban.

Akta Pengangkutan Jalan hanya membenarkan yang umur minimum 16 tahun untuk memiliki lesen memandu. Itu perintah atau undang-undang yang dikeluarkan oleh pemerintah untuk menjaga dan memastikan rakyatnya tidak menempuh bahaya kecelekaan di jalan raya.

Tidak banyak ahli ahli agama menjelaskan bahawa antara masalah dalam kalangan umah dalam negara ialah remaja dan motorsikal. Sekalipun disentuh oleh orang-orang berwibawa dalam agama hanya menjelaskan keburukan lumba haram, mencela perbuatan itu atau menyindir mereka dengan harapan ada perubahan sikap orang Islam terhadap perbuatan salah itu.

Penulis memerhatikan dua buah sekolah yang majoritinya pelajar keturunan Cina di Bandar Kuantan, penulis namakan sekolah A dan sekolah B. Manakala dua buah sekolah yang majoritinya pelajar Melayu di pinggir bandar Kuantan, penulis namakan sekolah C dan sekolah D. Semua sekolah itu dalam lingkungan perumahan yang penduduk terdekat menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan.

Umum mengetahui ekonomi yang keturunan Cina di bandar lebih baik berbanding dengan ekonomi keluarga Melayu di pinggir bandar. Di sekolah A tidak sampai 10 pelajar keturunan Cina membawa motorsikal ke sekolah, kes yang sama di sekolah B. Bakinya ada kira-kira lima ke tujuh buah motrosikal dibawa oleh pelajar Melayu yang hanya 15 peratus daripada populasi pelajar di dua sekolah berkenaan.

Pelajar-pelajar keturunan Cina lebih banyak berbasikal, berjalan kaki dan dihantar oleh keluarga menggunaka kereta, bukan motorsikal.

Di sekolah C dan sekolah D, beratus-ratus buah motorsikal dibawa oleh pelajar Melayu. Malah sekolah C terpaksa melarang sebagian besar motorsikal pelajar dibawa masuk ke sekolah, kerana tidak mempunyai lesen memandu dan motorsikal yang tidak mempunyai tanggungan insurans. Saban hari akan kelihatan hampir 100 buah motorsikal diletakkan di luar pagar sekolah C. Di sekolah D semua motorsikal dibenarkan dibawa masuk, tetapi jumlahnya jauh lebih banyak daripada motorsikal pelajar di sekolah A.

Ringkasnya, remaja Melayu sangat terdedah dengan motorsikal berbanding remaja keturunan Cina. Ini bererti menunggang motorsikal merupakan budaya Melayu. Maka masyarakat sedang mengalami perubahan budaya kesan lain daripada motorsikal ini. Di pandang dari sudut negatif, melanggar undang-undang jalan raya seperti menjadi kebiasaan. Pada malam minggu dan petang hari Ahad, sesiapa boleh menyaksikan ratusan anak muda Melayu (termasuk dengan pasangannya) dengan motorsikal mendominasi bandar Kuantan dalam beberapa kumpulan. Inilah budaya anak-anak Melayu masa kini. Kecederaan kekal dan kematian anak-anak Melayu kerana kecelakaan motorsikal juga perkara biasa.

Memang alquran dan sunah tidak secara khusus melarang atau membenarkan anak-anak Melayu berbudaya motorsikal. Hal motorsikal dan kenderaan telah menjadi tanggungan kawalan pemerintah. Allah memberi hak berijtihad kepada pemerintah untuk mengurus negara. Maksud firman Allah ayat 59 surah an-Nisa’ “Wahai orang-orang beriman, patuhilah Allah dan patuhilah rasul-Nya, dan ulil amri (pemerintah) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, kembalikanlah kepada Allah (alquran) dan rasul (sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagi kamu) dan lebih baik akibatnya.”

Allah mengiktiraf pemerintah untuk dipatuhi oleh rakyat. Tentulah perintah yang tidak menyalahi syariat atau prinsip-prinsip alquran dan sunah. Maka dalam hal ini pemerintah telah mengeluarkan undang-undang dinamakan Akta Pengangkutan Jalan. Oleh itu mematuhi akta itu bererti patuh kepada pemerintah yang diminta oleh Allah. Ini termasuk ibadah, kerana Allah mahu setiap manusia mesti patuh kepada Tuhan (surah as-Zariat: 56). Tidak menerima akta itu, bererti tidak patuh dan menyalahi kehendak Allah atau alquran.

Perkara-perkara yang terkandung dalam akta berkenaan kenderaan dan penggunaaan jalan raya antaranya termasuk memastikan penunggang motorsikal mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar. Memandu kenderaan berdasarkan had laju yang dibenarkan juga ada dalam peraturan yang dibuat oleh pemerintah atau ulil amri.

Baik, jika ulil amri sudah diberi hak oleh Allah untuk mentadbir urusan kenderaan dan jalan raya, maka rakyat akan dikira patuh juga kepada arahan Allah jika patuh kepada peraturan kenderaan dan jalan raya. Tidak patuh kepada arahan Allah seperti solat adalah berdosa, maka tidakkah diterima bahawa ingkar akta berkenaan kenderaan dan jalan raya yang dibuat oleh pemerintah juga berdosa?

Jika selama ini diwar-warkan Islam sebagai sejagat, Islam menyelamatkan manusia dan semua makhluk di bumi, nah….sila fahami bahawa kepatuhan terhadap undang-undang jalan raya adalah sebagian keluasan dan bukti Islam menangani masalah dunia. Namun kepatuhan kepada ulil amri sebagai tanggung jawab muslim sering diabaikan malah akan ditafsir sebagai membodek (mengelus-elus) pemerintah. Ini sudah menjadi tegahan politik pula. Akibatnya ulama yang sepatutnya mempelopori kepatuhan ketiga (selepas Allah dan rasul-Nya) tidak dapat menunjukkan contoh dan fungsinya. Mereka menjadi takut dikecam kerana sudah memihak kepada pemerintah dalam perbalahan politik.

Penulis yakin, permasalahan ini perlukan satu tajdid pemahaman Islam yang sebenar. Dahulu masyarakat bagai tidak percaya wanita wajib belajar. Orang Melayu wajib belajar kepandaian dari Eropah. Namun Gerakah Islah (tajdid) golongan pencinta alquran dan sunah berjaya membuka mata masyarakat Melayu. Insya Allah, banyak lagi perkara yang perlu diislahkan atau ditajdidkan dalam kalangan masyarakat Melayu agar Islam itu benar-benar membawa manfaat dalam hidup. Islam itu wajib dibebaskan daripada kandang parti politik dan mesti dilihat membawa kesejahteraan di mana-mana termasuk di jalan raya.

Sabtu, Ogos 23, 2008

SURAH Taubah menggerunkan jiwa

MEMBACA surah at-Taubah atau al-Baraah terasa gementarnya kerana pendedahan sikap munafik dan ancaman daripada Allah terhadapnya. Surah al-Munafiqun sendiri tidaklah sehebat membicarakan hal golongan munafik sehingga bagaimana perintah Allah terhadap mereka. Daripada 114 surah dalam alquran, surah at-Taubah sahaja yang tidak dimulai dengan basmalah kerana ketegasan Allah mahu supaya orang-orang beriman memerangi pihak kuffar dan munafik.

Membicarakan golongan munafik lebih menggerunkan berbanding kuffar kerana munafik bisa sahaja terjelma daripada jiwa kaum muslimin. Malah sejarah kumpulan munafik itu bermula di Madinah, pada zaman Rasulullah sendiri. Mereka berada dalam lingkungan hidup Rasulullah, dan solat bersama para sahabat Nabi, berdiri di belakang Nabi!

Kaum munafik mengucapkan syahadah, mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan menerima Nabi Muhammad sebagai pesusuh Allah. Itu lafaz mereka, tetapi dalam hatinya adalah di balik daripada yang dilafazkan. Kalau sekadar menidakkan dalam hati tetapi tidak membuat rencana dan aksi yang menyusahkan kaum muslimin tidaklah sampai Allah memerintahkan bertegas sehingga jenazahnya tidak boleh disolati (at-Taubah: 84). Mereka membuat rencana ke peringkat mahu membunuh Rasulullah (ayat 74) namun gagal. Kata orang Melayu seperti gunting dalam lipatan.

Apabila mereka diminta bersama-sama Rasulullah untuk memerangi tentara Rumawi dalam Perang Tabuk itu, mereka menolak dengan alasan yang cukup aduhai…: Tidak mahu tergoda perawan-perawan Rumawi yang cantik! (ayat 49). Contoh ini adalah biasa didengar dalam kalangan umah, memberi alasan untuk kelihatan lebih taqwa daripada melakukan sesuatu kerja kebajikan atau urusan agama. Misalnya tidak mahu menghadiri solat berjamaah di masjid kerana mahu menjadi imam kepada anak dan isteri di rumah, walhal tidak berlaku pun kejadian itu di rumah.

Keadaan manusia berjiwa munafik akan muncul di mana-mana dalam masyarakat Islam. Perkataan dusta atau bohong menjadi pegangan utama mereka. Kebenaran atau perintah Allah dan rasul-Nya, bukan pilihan utama. Apa yang utama adalah menyelamatkan diri daripada kesusahan atau bebanan. Untuk terus menikmati kemewahan dan kedamaian, dusta mesti dimainkan dalam banyak situasi. Ya, citra mereka akan kelihatan baik dan menawan.

Surah at-Taubah ini benar-benar mendebarkan kerana Allah tidak membedakan antara pihak kuffar yang secara terbuka menolak Tuhan yang satu iaitu Allah dengan pihak munafik yang mengitari orang-orang beriman. Allah memerintahkan manusia beriman bertegas terhadap munafik sehingga memerangi mereka kerana menurut perhitungan Allah pihak munafik adalah kafir, kafir setelah beriman. Allah memberi jaminan pihak munafik akan menjadi penduduk neraka Jahanam yang kekal di sana (ayat 73).

Setelah mati, Allah melarang jenazahnya diurus sebagaimana jenazah manusia beriman. Serahkan saja jenazah itu kepada kalangan mereka, biar mereka mengurusnya sendiri! Malah Allah melarang pula manusia beriman mendoakan pihak munafik itu (ayat 113).

Ketika Bapak Kiyai Ihsan mengajarkan Tafsir surah at-Taubah ini di Masjid Abrar Sepintas Sabak Bernam Selangor (1987) penulis menanyakan adakah ketegasan Allah hanya untuk zaman Rasulullah. Beliau menjawab bahawa alquran adalah untuk semua zaman, dan pihak munafik akan senantiasa wujud dalam kalangan manusia beriman.

Baru-baru ini Bapak Kiyai itu memberitahu kami beliau sudah mengisytiharkan kepada orang-orang di desanya bahawa beliau tidak mahu hadir solat jenazah kepada mereka yang mati kerana AIDS dan lumba haram. Tentulah maksudnya punca sakit dan mati mereka kerana perbuatan seks terkutuk dan aksi membunuh diri.

Moga-moga pegawai agama di Pejabat Agama yang berdekatan itu memanggil Bapak Kiyai Ihsan untuk diminta penjelasan mengenainya. Biarlah dalam muzakarah itu berlaku pemindahan maklumat dan percambahan informasi. Matlamatnya supaya suara ulama yang peka isu semasa dan mengaitkan pula dengan alquran senantiasa didampingi oleh para pegawai agama.

Jumaat, Ogos 22, 2008

YANG sesat yang murtad

LAIN yang dibedil, lain yang gugur!

Tanggal 21 Ogos 2008 di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus menerima permohonan seorang muslim keturunan Cina untuk murtad, keluar daripada Islam. Faktanya ialah Sdr Jeffrey Or bin Abdullah @ Or Boon Hock memeluk Islam pada tahun 1994, dua tahun kemudian berkahwin dengan gadis Melayu Islam. Namun pada tahun 2001 mereka bercerai dan Jeffrey murtad pada tahun ini. Antara hujah Jeffrey untuk murtad ialah tidak mengamalkan ajaran asas Islam, malah melanggar batas syariah. Tidak solat dan makan khinzir!

Mengapa penulis mengatakan lain yang dibedil, lain yang gugur ialah selama ini segelintir pegawai agama asyik berfikir untuk menyesatkan dan mengkafirkan apa yang didakwa wahabi. Mereka yang tertuduh wahabi tidak seorang pun ditahan dan dikaunseling, malah tiada statistik dalam Jabatan Agama berapa dan siapa berfahaman wahabi. Buat ceramah dan forum atas nama mempertahankan akidah dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Tujuannya untuk mempengaruhi masyarakat mengenai ‘bahaya wahabi’. Nah, begitu banyak tenaga dan wang ringgit untuk berperang dengan hantu wahabi, tidak ada seekor hantu itu ditangkap. Sebaliknya seorang saudara yang mengaku Islam disahkan murtad, kafir semula. Pastinya Sdr Jeffrey Or itu bukan wahabi yang sangka-sangka dalam ceramah akidah itu. Dia yang gugur walaupun tidak kena tembak oleh pejuang-pejuang penyelamat akidah.

Apabila kes saudara baru murtad, memang banyak jari menuding kepada mana-mana pihak. Pertamanya ialah orang-orang di Jabatan Agama dan keduanya ialah ahli keluarga terdekat isterinya, dan masyarakat Islam umumnya. Orang di Jabatan Agama yang ditanya dahulu: Apa yang kalian lakukan setelah menerima syahadah dan memberi sijil keislaman kepada seseorang?

Jabatan Agama ada statistik dan data sesiapa yang baru menganut Islam. Jabatan boleh bekerjasama dengan Perkim atau Macma atau mana-mana NGO seperti JIM dan Abim. Bukanlah suatu tugas yang sangat berat untuk memantau mereka yang sudah dikenal pasti, namun yang payah ialah mengesan hantu bernama wahabi. Namun pilihannya ialah mengejar hantu.

Di balik peristiwa murtad ini (sebenarnya ada banyak kes, tetapi tanpa rekod) sepatutnya semua pihak melihat di mana kesilapan berlaku. Memang orang di Jabatan Agama tidak dapat mengesan hati seseorang ketika bersyahadah. Semua akan syukur apabila ada hamba Allah bersyahadah, sekalipun tujuannya untuk berkahwin dengan orang Islam.

Guru penulis Puan Delima Abdullah juga memeluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu Islam. Penulis salut dengan peribadi dan tasawur Islam Puan Delima kerana sekalipun menghadapi masalah peribadi, dia tidak berubah akidah malah dilihat wanita contoh pula yang menjaga ibu mentuanya!

Selepas Siti Fatimah Tan di Pulau Pinang dan Jeffrey Or di Pahang, entah siapa pula akan memohon murtad di Mahkamah Syariah. Apa pun ada hikmah di balik peristiwa ini. Sekurang-kurangnya mereka yang prihatin dengan akidah dan syariah akan berfikir dan bermuzakarah untuk menangani masalah ini. Kalau ini bukan masalah, apa masalah kita sebenarnya?

Khamis, Ogos 21, 2008

DEBAT: Apa isunya?

SELESAI sahaja menonton debat antara YAB Lim Guan Eng dan Tan Sri Koh Tsu Koon, minda penulis berfikir perihal berapa banyaklah khalayak penonton yang memahami isu pokok dalam debat itu. Isunya tanah, pengurusan tanah dan tuduhan rasuah. Dalam debat itu antara yang paling mudah difahami ialah isu-isu rasuah, bukan birokrasi pengurusan tanah.

Dahulu pada tahun 1983 media dipadatkan dengan perkumpulan besar-besaran memberi sokongan terhadap YAB Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang ada kaitan dengan raja-raja Melayu. Waktu itu penulis memang sedang memahami isu-isu semasa untuk Kertas Am STPM. Media hanya menyatakan jumlah puluhan ribu menyokong usaha PM. Menyokong apa, penulis dan rakan-rakan tidak tahu, kerana tidak didedahkan secara rinci. Akhirnya sewaktu mengikuti kursus Politik dan Pentadbiran di universiti barulah pensyarah mendedahkan seluas-luasnya permasalahan antara pihak PM dengan Raja-raja Melayu berkaitan pindaan Perlembagaan negara.

Kini kata seorang sahabat, di Selangor khutbah Jumaatnya sedang menjelaskan isu wahabi. Kemudian ada lagi program yang wajib dihadiri pegawai surau dan masjid mengikut daerah. Penulis kaget, adakah di serata Selangor sedang berlaku debat antara yang terdakwa wahabi dan bukan wahabi. Rupa-rupanya tidak. Kalau ada pun suara yang dimaksudkan sebagai isu wahabi hanya di lembah Kelang, universiti, kolej atau bandar yang penduduk Islamnya lebih berpendidikan dan kritikal berbanding di desa-desa. Namun yang tidak tahu apa-apa di desa juga dipaksa menelan isu wahabi. Tahukah mereka?

Sama seperti di Johor dan Pahang, sebenarnya tidak ada pusat apa yang disebut wahabi. Tetapi penduduk-penduduk di pedalaman jauh sana dipaksa juga menyebut kalimah yang hanya diminati segelintir pegawai di pejabat agama. Berdasarkan kekaburan istilah wahabi yang pernah disebut dalam khutbah, penulis yakin lebih banyak khalayak Jumaat masih tidak mengetahui sebab dan akibat isu itu dikemukakan untuk diwaspadai.

Isu wahabi ini samalah dengan debat pengurusan tanah atau krisis pindaan Perlembagaan. Hanya segelintir yang tahu dan mendalami isu itu secara objektif dan jujur. Yang lain masih terpinga-pinga dan hanya menunggu sesiapa sahaja memberikan informasi. Maka bergantung kepada siapa yang akan memberikan informasi untuk khalayak memahami sesuatu isu. Orang yang tidak objektif dan jujur dalam penerangan akan lebih kepada propaganda, seperti majlis penerangan parti politik.

Penulis menjangka pada masa hadapan memang akan berlaku pertembungan yang lebih besar antara apa yang didakwa wahabi dengan yang antiwahabi. Hal ini kerana media maya telah dijadikan satu saluran maklumat oleh banyak pihak. Telah berlaku perubahan mendadak dalam banyak bidang kerana kesan internet, maka sekarang agama juga sedang terdedah kepada satu penilaian baru. Terpulang kepada pegawai-pegawai agama untuk meladeni perubahan tanggapan oleh masyarakat generasi maklumat, sama ada mahu meneruskan agenda propaganda atau mengubah pendekatan kepada dialog dan hujah. Kebiasaan lama atau status quo pemahaman beragama memang akan berubah, soalnya bila dan bagaimana.

Selasa, Ogos 19, 2008

WUDHU dan balutan luka

MAAF, kali ini penulis hendak bercerita hal keluarga dan ada sedikit peribadi, namun ada perkara yang boleh dikongsi kepada umum. Ayah penulis sudah berusia 70 tahun, luka di tangan dan kena jahit. Paman (bapa saudara) penulis pula yang punya sakit kencing manis luka di kaki. Cerita kedua-duanya sama, doktor mahu supaya luka mereka wajib senantiasa kering, tidak boleh terkena air sama sekali. Penulis dan orang lain pun tentu telah beberapa kali luka dan berdasarkan pengalaman memang kalau luka asyik terkena air atau basah maka luka akan menjadi kudis, membesar dan membengkak pula. Jika awalnya dijangka seminggu boleh sembuh sakit, nasib tak baik sebulan belum nampak bila akan kering dan sembuh tuntas.

Mesti kena air sebab ambil wudhu! Penulis kesal dan geleng kepala, kerana ayah penulis dihormati sebagai orang ada ilmu agama manakala paman pula seorang ustaz, mantan guru agama negeri. Kesal kerana mereka ada ilmu tetapi tidak berjaya menyelesaikan masalah kesihatan bersabit hal ibadah. Apabila penulis menyarankan berkali-kali agar bertayamum saja, dan berkali-kali itu juga mereka diam.

Ayah penulis menceritakan kaedah (fikah) wudhu dengan balutan. Sebelum luka dibalut oleh pihak hospital, dia berwudhu dahulu. Nanti apabila berwudhu untuk beberapa kali, cukup menyapu air pada balutan. (Maaf, saya tidak percaya ini kaedah alquran dan sunah.) Tetapi apabila diamalkan maka balutan menjadi senantiasa lembab. Kesannya ialah luka terbungkus oleh balutan kain lembab dan luka menjadi gatal. Sudahnya balutan dibuka, maka kaedah menyapu balutan sudah tamat. Oleh itu, ayah penulis berwudhu secara biasa sedangkan lukanya masih berat.

Paman penulis pun begitu, malah untuk solat dengan berwudhu maka dia akan menunggu solat Zuhur pada saat hampir tamat dan kemudian dengan dirinya masih punya wudhu terus solat Asar pada awal waktunya. Dari sudut teknikalnya sah, tetapi tidak menuruti sunah supaya solat pada awal waktunya.

Dipandang dari sudut akal saja semua cerita itu membingungkan. Kalaulah kaedah-kaedah berkenaan dikatakan ajaran Islam, oh…, nampak sudah rosaknya imej Islam yang dikatakan sejahtera dan selesa di mana-mana. Sejahterakah kedua-dua mereka melawan luka dengan ilmu fikah berkenaan? Tentu doktor bukan Islam pernah ditemukan masalah seperti ini, dan jika mereka yang sudah pesimis dengan Islam akan bertambah keraguan mengenai Islam sebagai agama sejahtara, agama yang memberi keselesaan kepada penganutnya.

Cerita kedua-dua mereka hanya secebis kisah, tetapi penulis yakin kaedah fikah mereka difahami dan dianuti banyak pihak dalam masyarakat. Kalau mereka yang sudah bertaraf guru agama berfahaman fikah demikian, bolehkah anak murid mereka berfahaman selain daripada itu. Penulis sendiri sebelum mendalami kaedah alquran dan sunah menerima kaedah fikah seperti itu.

Alquran mencatat bagaimana berdepan dengan sakit ketika bersuci. Perhatikan maksud ayat 6 surah al-Maidah “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah muka dan tangan sampai ke siku, dan sapulah kepala dan (basuh) kaki hingga kedua-dua mata kaki (buku lali). Dan jika kamu berjunub maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan (safar) atau kembali dari tempat buang air (membuang air) atau menyentuh perempuan (sebagian tafsir mengertikan setubuh), lalu kamu tidak mendapat air maka bertayamumlah dengan tanah yang baik. Sapulah muka dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak mahu menyusahkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”

Telah jelas bagaimana Allah mengajar kepada hamba-hamba-Nya untuk bersuci daripada hadas besar dan hadas kecil dalam keadaan payah seperti dalam kembara dan sakit. Tayamum saja, selesai. Namun apabila set minda tidak dapat menerima debu tanah sebagai penyuci, terpaksalah air juga yang dicari. Ini semua kerana hukum ibadah dilayan dengan akal. Akal membuktikan air itu mensucikan, termasuk membersikan pakaian daripada debu tanah! Jadi akal pun bermain-main antara air dan debu tanah. Akal memenangkan air, menolak debu tanah sekalipun Allah mengatakan bersuci dengan debu tanah. Debu tanah tentulah yang suci. Allah sebut sa’iidan tayyiba.

Dengan kemenangan akal itu, dibentuklah hukum fikah baru yang menyalahi manhaj alquran dan sunah. Sebab itu seorang guru akan mengajar supaya berwudhu dulu kemudian baru dibungkus luka. Guru lain mengatakan tidak perlu berwudhu, bungkus sahaja. Kemudian ada pelbagai lagi hukum akal ini. Sapu balutan saja, tetapi jari yang tidak terbalut wajib juga dibasah air. Ada yang kata jari tidak perlu dibasah kerana dianggap dalam balutan sebab lengan dibalut. Semua kerana menolak saranan untuk bersuci secara tayamum. Akibat menolak perintah Allah supaya bertayamum kerana sakit untuk hadas besar dan hadas kecil, mudarat sedang melanda diri.

Subhanallah, alquran dan sunah juga yang benar. Diharap setelah mengalami kepayahan dalam hidup kerana dicuba kesakitan dan selama ini melupakan kaedah mudah dalam alquran dan sunah, selepas ini akan tergerak iman untuk kembali kepada ajaran yang asal.

Kalau bukan umat Islam sendiri yang mahu membuktikan Islam itu sejahtera, mudah dan sesuai dengan semua keadaan, siapa lagi? Soalnya, banyak yang hanya membaca alquran untuk mendapatkan pahala demi kesejahteraan di akhirat kelak. Set minda wajib diubah bahawa alquran dan sunah adalah pengajaran dan panduan hidup, untuk makhluk yang hidup di bumi, bukan sekadar untuk bekal pahala selepas mati.

Sabtu, Ogos 16, 2008

FATWA mengenai Nisfu Saaban

Antara informasi yang masuk dalam emel saya adalah berkaitan Nisfu Saaban. Biasalah dalam masyarakat kita ini. Ayuh nikmatilah isi yang akan dilaksanakan pada malam berkenaan.

Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:
1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban, malam ) Solat sunat nisfu sya'aban, 2 rakaat
Rakaat 1 : baca Al-Fatihah & surah Al-Qadar 1x
Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3x
2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya (15 Sya'aban, malam)
i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah
ii) Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah
iii) Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman & pohonlah
segala yang baik....
Kemudian baca Istighfar 11x & selawat 11x. Baca doa nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk) Baca surah ikhlas 1000x. Berpuasa pada siangnya.

Namun demikian penulis perturunkan fatwa Dr Yusof al Qaradhawi, ulama besar masa kini mengenai Nisfu Saaban.

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Seterusnya lagi daripada Dr Yusof al-Qaradhawi
“Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah.”

“Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya
.”
(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Jumaat, Ogos 15, 2008

ISLAM: perlukan hujah mantap

AGAKNYA untuk apa Allah memberikan wahyu pertama berupa arahan membaca: iqra! Kalimah itu pula diturunkan kepada seorang manusia yang tidak tahu membaca dan masyarakat yang melingkungi lelaki itu juga bukanlah berbudayakan intektual. Kadar buta hurufnya tinggi. Tetapi di sanalah kalimah iqra disebarkan.

Bayangkan saja seorang yang tidak tahu membaca dan menulis, kemudian diminta menyampaikan seruan kepada manusia supaya iqra’ atau membaca. Kalau dalam budaya Melayu ini samalah dengan peribahasa ‘ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul’.

Sesungguhnya Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad yang kemudian kita warisi ini mestilah berdasarkan ilmu. Iqra atau membaca itu bererti perbuatan mencari ilmu. Dengan ilmu itu Islam dihujah kepada masyarakat. Islam mesti dimenangkan dengan hujah, bukan dipaksakan kepada masyarakat oleh orang yang berkuasa atau orang bergelar sesuatu.

Rasulullah tidak mempunyai apa-apa jawatan atau pengaruh di Makkah, namun Islam diserukan kepada masyarakat dengan hujah. Alquran dengan keindahan tatabahasa adalah hujah terhadap orang-orang Arab elit yang memiliki ketinggian gaya bahasa. Kemudian Allah memberi mukjizat atau peristiwa luar biasa kepada Rasulullah sebagai hujah bahawa dirinya adalah rasul. Peritiwa Rasulullah mengalahkan ahli gusti juga adalah hujah bentuk fizikal agar orang yang berkenaan menerima Islam. Ertinya ada yang dihujah dengan nas alquran, dihujah dengan keistimewaan mukjizat dan kekuatan fizikal.

Tidak ada dalam kaedah dakwah Islam, masyarakat diminta menerima Islam hanya bersandar kepada tokoh. Misalnya datang sahabat nabi kepada seseorang dan berkata, “Aku sahabat Nabi, kamu masuk Islamlah kalau tidak kamu masuk neraka.” Cara seperti itu tidak berlaku kerana ayat itu berupa amaran tanpa penjelasan. Ini menyanggahi keadilan yang dibawa oleh Islam bahawa mesti diterangkan dengan jelas hal Islam barulah diberi amaran. Allah sendiri menerangkan dalam alquran surah al-Anbiya:6-9 dan al-Isra':15 yang Dia tidak akan menghukum sesuatu kaum kalau sebelumnya tidak diutus seorang yang memberi peringatan atau penjelasan.

Iktibarnya ialah para pendakwah mesti menerima manhaj alquran dan sunah iaitu memberi sejelas-jelas penerangan kepada masyarakat atau khalayak. Penerangan yang jelas mesti melalui diskusi atau soal jawab. Pendakwah mesti bersedia menerima soalan daripada masyarakat dan bukan sifat pendakwah sebenarnya melarikan diri daripada soalan.

Kalau pendakwah lari daripada soalan masyarakat, ada dua kemungkinan. Pertama, dirinya tidak menguasai ilmu yang disampaikan sama ada melalui lisan atau tulisan. Kedua, dirinya sebenarnya berniat jahat iaitu sengaja menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Ini umpama syaitan bertopeng wajah pendakwah.

Dirinya menggunakan status pendakwah, berimej orang berilmu semata-mata mahu menunjukkan diri lebih pandai. Jika dalam sesuatu majlis penerangan dia akan membuka ruang bersoal jawab, tetapi hanya memilih mana-mana soalan yang sesuai untuk dijawab. Atau apabila tiada soalan diajukan, dia akan mengambil kesimpulan bahawa semua orang sudah faham sehingga tiada lagi yang yang mahu ditanyakan.

Pendakwah mesti bersedia dan bertanggung jawab terhadap apa yang disampaikan. Jika dia telah menyampaikan sesuatu mesej, mesej itu mestilah dipertahankan kerana tentulah seseorang pendakwah mempunyai keyakinan terhadap apa yang disampaikan. Malanglah jika mesej yang sering dibawa ke mana-mana, dirinya sendiri pun tidak mampu mempertahankan lagi. Hal ini akan menimbulkan krisis keyakinan antara pendakwah dan masyarakat. Masyarakat akan mempersoal mengenai kebenaran yang cuba dibawa. Betulkah itu kebenaran atau kepalsuan.

Zaman sekarang masyarakat terdedah dengan pelbagai ilmu. Ilmu keduniaan seperti sains, matematik, geografi, falsafah dan lain-lain lagi sentiasa mengalami perubahan. Ahli masyarakat akan bertanya kepada pendakwah Islam yang mengaitkan ilmu kemahiran yang dimiliki dengan konsep alquran dan sunah. Di sanalah pendakwah wajib memberi penjelasan mengenai Islam yang sifatnya kaffah, sangat relevan dengan bidang-bidang kemahiran yang sentiasa berubah.

Kesimpulannya, mengajarkan akidah, ibadah atau mana-mana syariat Islam mesti disertakan hujah demi meyakinkan khalayak. Keyakinan khalayak itulah yang membawa dirinya menjadi ikhlas dalam menerima Islam kerana tidak ada apa-apa keraguan. Semakin banyak keraguan bersarang dalam kepala orang, semakin hitamlah imej Islam di mata masyarakat. Untuk memulihkan imej kotor bukanlah kerja mudah, tetapi untuk merosakkan imej Islam cukup mudah.

Khamis, Ogos 14, 2008

TERFITNAH jua akhirnya

APA hendak dikata lagi, orang kecil seperti penulis juga terfitnah. Seorang yang sedia menjadi rakan kejahatan telah menggunakan nama Suparjo dalam shout box dalam blog milik Ustaz Mohd Khairil Anwar iaitu “Abu Syuaib menceriakan hidup dengan sunnah” http://abusyuaib.blogspot.com Perlu ditegaskan bahawa semua catatan yang disertakan di bawah bukan tulisan penulis atau pemilik blog ini sekalipun dicatat atas nama suparjo.

Prinsip penulis senang sahaja: Berani kerana benar, takut kerana salah. Kebenaran ada di dalam alquran dan sunah.


14 Aug 08, 03:57
suparjo: Ust Mohd Khairil Anwar Abdul Latif ( 019- 2582874 )
14 Aug 08, 03:57
suparjo: Dr. Juanda Jaya kafirkan dr uthman muhammady atas dasar martabat 7
14 Aug 08, 03:52
suparjo: Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan tidak dihormati
14 Aug 08, 03:52
suparjo: Al-Albani sest kafir,mujrim fi hadis kata ulamak uzhar
14 Aug 08, 03:51
suparjo: Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.seperti abu syuaib
14 Aug 08, 03:50
suparjo: al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,ibn taimiyah sesat
14 Aug 08, 03:49
suparjo: hati hati dia ajar kitab muhd abd wahab ,pengasas wahabi yg mufti johor tahzir dan suruh umat islam jauhi,faqtwa johor wahabi khawarij takfir
14 Aug 08, 03:47
suparjo: sapa g kelas abu syuiab kat perlis,mana2 jqa akan jadi sesart wahabi
14 Aug 08, 03:47
suparjo: v bummmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmm
14 Aug 08, 03:44
suparjo: syuiab ko buncit la ka kgrf afj;o n
14 Aug 08, 03:40
suparjo: bin baz buta sesat mcm suoaprji
14 Aug 08, 03:38
suparjo: kkdf wahaqbi sesat
14 Aug 08, 03:37
suparjo: suparjo kata allah duduk atas arasy? kafir la suparjao mcm asri ,abu syuiab yg kata allah duduk
14 Aug 08, 03:36
suparjo: aku jawa bodoh,dengan mualaf buat keras,ajar ajaran wahabi kafir kat org mualaf,jahat suparjo ni,cikgu sekolah mana ni,megenberr

Mujur ada hari akhirat untuk seseorang mendapatklan keadilan. Janji Allah semua benar.

Rabu, Ogos 13, 2008

ISLAM: Tafsir Perjanjian Pangkor

SEKALI lagi penulis menyatakan kerana buta sejarah maka ada pemahaman yang salah mengenai Islam. Sebagai muslim mungkin ada mempelajari sejarah Rasulullah di Makkah dan Madinah. Kemudian secara umum tahu Khalifah Abu Bakr menggantikan Rasulullah sebagai ketua umah. Ada zaman Bani Umayyah dan Abassiyah.

Sekalipun jumlah umat Islam di Asia Tenggara besar, sekurang-kurangnya 230 juta orang dan Indonesia merupakan negara Islam terbesar di dunia, tidak ada pelajaran sejarah khusus mengenai sejarah Islam di Nusantara yang dijadikan subjek khas. Umat Islam di negara kita lebih tahu sejarah Islam zaman Rasulullah dan Empat Sahabat, tetapi sedikit sangat tahu sejarah kemasukan Islam di Alam Melayu ini.

Jangankan sejarah Islam yang berlaku di Terengganu, Melaka, Acheh dan Jawa, malah sejarah Islam zaman pra-Perjanjian Pangkor pun tidak tahu. Perjanjian Pangkor dan isinya pun tidak tahu, walhal cukup besar kesannya terhadap pemahaman Islam hari ini. Kebanyakan orang tidak tahu bahawa Islam yang diamalkan dalam Malaysia hari ini adalah versi Perjanjian Pangkor, bukan tulen dalam alquran dan sunah. Islam versi Perjanjian Pangkor bererti Islam yang ditafsir oleh British. Tapi kerana buta sejarah dan malas berfikir, sampai pegawai yang menjalankan tadbir urus agama di pejabat-pejabat agama terus berada atas jalan lurus Perjanjian Pangkor!

Apa Tafsir Perjanjian Pangkor 1874 mengenai Islam? Perjanjian antara Raja Abdullah yang mahukan jawatan Sultan Perak dengan Sir Andrew Clarke ialah Sultan Perak hanya diberi kuasa dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu, sementara semua urusan pentadbiran di bawah kuasa Residen British. Ertinya Islam versi Perjanjian Pangkor tidak ada kaitan dengan keduniaan. Islam versi ini sejak tahun 1874 ialah ibadah khusus manusia terhadap Allah. Manakala adat resam Melayu disama taraf dengan ibadah khusus tadi. Untuk memudahkan urus tadbir Islam dan adat ditubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu.

Adat-adat diraja Melayu, adat kebiasaan orang Melayu seperti pakaian, makanan, pengubatan, adat semasa perkahwinan dan kematian telah diurus tadbir sama dengan ibadah khusus. Setelah merdeka para pentadbirnya ialah mereka yang berkelulusan agama. Agamawan ini juga merupakan penjaga dan pentadbir adat-adat resam Melayu. Oleh kerana itu semakin tidak dibedakan antara pengertian ibadah khusus dalam Islam dengan adat Melayu yang asalnya tidak ada kena mengena dengan ibadah.

Antara contoh percampuran antara ibadah kususu dan adat seperti perubatan oleh bomoh yang mencampurkan bacaan ayat alquran dengan mentera klasik. Pemujaan roh merupakan sebagian teras animisme Melayu sejak zaman sebelum Srivijaya dan Majapahit. Pemujaan roh dikuatkan dengan budaya Buddha-Hindu. Kemudian pemujaan roh orang mati diserapi bacaan ayat-ayat alquran terpilih dan kelihatan cantik ditadbir urus oleh institusi Islam. Bawalah ayat alquran untuk menjelaskan garis pemisah antara ibadah Islam dan adat bangsa, hanya dijuih bibir oleh masyarakat!

Kemudian, ulil amri atau pemerintahan tidak ada dalam kamus Islam Perjanjian Pangkor. Islam hanya ibadah khusus, urusan orang mati, perkahwinan dan harta pusaka. Pendidikan kemahiran, ekonomi, percukaian, kemasyarakatan dan politik pentadbiran tidak ada dalam Islam Perjanjian Pangkor. Itu semua hak British, bukan hak Islam, bukan hak raja-raja Melayu.

Mengapa ulama-ulama tidak menentang Tafsir Perjanjian Pangkor? Jawabnya tasawur Islam dalam kalangan ulama waktu itu ialah Islam yang tidak banyak bedanya dengan Islam tafsiran British. Pemikiran ulama ini hasil tafsiran ahli-ahli sufi yang hanya mengambil Islam dari sudut ibadah khusus sahaja. Sebab itu sejak dahulu lagi, apabila memberi contoh hamba Allah yang baik di sisi Allah ialah yang berjubah berserban, yang lama duduk wiridnya di surau dan masjid dan miskin. Tidak ada tafsiran mereka yang tekun dalam pekerjaan, yang menjaga kebersihan, yang kaya, yang tinggi ilmu kemahiran, yang tidak membazir masa dan wang di samping tidak meninggalkan ibadah khsusus dijadikan sebagai contoh hamba Allah yang baik.

Kemudian para ulama zaman itu membuka sekolah pondok yang menjadi teras pendidikan. Maksud pendidikan ini ialah penurunan ilmu ibadah khusus, pelajaran bahasa Arab, tafsir alquran dan hadis. Sekolah pondok tidak mengajarkan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, ilmu pertukangan, ilmu pemakanan, matematik, sains, geografi, sejarah Islam di alam Melayu malah tidak juga ilmu jahit-menjahit. Kerana apa? Ulama pondok tidak ada kemahiran dalam bab itu dan tidak menganggap ilmu itu sebagai ibadah. Inilah sebagian punca kemunduran bangsa Melayu zaman British, tiada kemahiran keduniaan. Hanya mahir beribadah khusus yang bercampur dengan adat ritual Melayu silam.

Sebab itulah apabila sekumpulan anak muda yang belajar di luar negara seperti Syed Syeikh al Hadi, Syeikh Tahir Jalaludin, Salim Kalali dan beberapa nama pulang ke tanah air (1900-an), mereka memulakan gerakan tajdid. Gerakan tajdid atau Islah ini untuk memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada bangsa Melayu supaya bangsa menjadi maju sebagaimana bangsa Arab maju dengan beramal dengan ajaran alquran dan sunah yang sebenar. Untuk itu aktivis Islam mendirikan madrasah di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang yang menawarkan pendidikan ibadah khusus dan kemahiran keduniaan yang ditiru dari Eropah.

Adakah gerakan Islah disokong semua ulama? Tidak, malah ulama tradisional yang berkubu di institusi pondok menentang gerakan Islah ini. Ulama tradisional memberi gelaran buruk kepada ulama tajdid/islah. Mereka bimbang kefahaman dan kedudukan mereka akan jatuh. Masyarakat yang memang beku tiada ilmu, tidak mampu menilai antara Islah dan tradisional, hanya menerima borong gelaran buruk terhadap tokoh Islah.

Itu antara punca gerakan Islah kurang berkembang, walhal kalaulah konsep madrasah itu disebar luaskan sejak 1910 di seluruh Tanah Melayu, bangsa Melayu tidaklah ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain yang mempunyai banyak ilmu kemahiran.

Inilah sejarahnya. Merdekanya sudah 51 tahun. Sekalipun hari ini sekolah, institusi kemahiran dan universiti ala-Barat (Eropah) banyak ditubuhkan dan berkembang, sebagian lagi masih dengan tafsiran Islam melalui Perjanjian Pangkor: Islam hanya dalam ibadah khusus dan beradat Melayu. Ibadah dan adat Melayu masih tidak dipisahkan sepenuhnya, malah ada pembelanya yang keras. Tajdid pemahaman Islam dalam keduniaan wajib terus diperkukuh di samping memurnikan akidah dan ibadah khsusus supaya memenuhi sunah Rasulullah.

Selasa, Ogos 12, 2008

TAJDID Rasulullah

SEJARAH menjadi panduan bagaimana melihat Islam dipasang dalam masyarakat. Tentulah rujukan terbaik adalah sejarah Rasulullah sejak mendapat wahyu pertama di Makkah sehingga kewafatan baginda pada tahun 10 Hijrah.

Masyarakat Arab, khasnya di Makkah pada zaman Nabi Muhammad memulakan dakwah merupakan masyarakat yang akidahnya bercampur antara menerima Allah sebagai Tuhan tetapi menerima juga kefahaman adanya Tuhan lain yang dilambangkan dalam bentuk berhala. Gabenor Makkah Abdul Mutalib seorang yang mengakui kekuasaan Allah tetepi syirik kerana memuja berhala-berhala batu.

Sewaktu tentara Abrahah hadir hendak merobohkan kaabah, kemudian dalam perjalanan mereka telah merampas puluhan unta milik Abdul Mutalib. Abdul Mutalib dengan beraninya menemui Abrahah, namun bukan untuk menghalang sekeras-kerasnya hasrat Abrahah. Gabenor Makkah itu sekadar mahukan semua untanya.

Abrahah kaget kerana disangkanya Abdul Mutalib akan membela Kaabah berbanding semua unta itu. Abdul Mutalib memberitahu bahawa kaabah adalah milik Allah maka dia mengatakan Allah yang akan memeliharanya. Unta itu adalah miliknya, maka dialah yang menjaga unta itu. Kemudian Abdul Mutalib bertawaf di kaabah sambil berdoa:

“Aduhai Tuhan, tidak ada yang kami harapkan selain-Mu!
Aduhai Tuhan, selamatkanlah dari serangan mereka rumah-Mu!
Musuh rumah-Mu ialah orang yang memusuhi-Mu.”

Doa Abdul Mutalib dikabulkan Allah lalu Dia mengirim burung yang melontar baru keras terhadap Abrahah dan tentera bergajahnya. Peristiwa itu dirakam dalam surah al-Fiil.

Abdul Mutalib juga yang menamakan anak lelakinya sebagai Abdullah iaitu hamba Allah. Tetapi orang tua itu juga yang berjanji untuk menyembelih salah seorang puteranya untuk berhala batu si Hubal di tepi Kaabah.

Antara pandai dan bodoh, mereka menjawab apabila diseru supaya meninggalkan syirik dan bid’ah itu. Ini rakaman dalam alquran surah az-Zumar:3 “Kami tidaklah menyembah mereka, hanya agar mereka menghampirkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.”

Dari sudut ibadah, amalan haji senantiasa dilakukan oleh bangsa Arab. Amalan haji ini syariat Nabi Ibrahim dahulu. Sekalipun mereka melakukan syirik menyembah berhala dan percaya pada ramalan nasib namun sanggup berkorban tenaga dan wang untuk menunaikan haji. Namun cara mereka berhaji ada yang bertelanjang, membawa butiran batu ‘keramat’ dan pelbagai perkara pelik yang tidak diajar oleh Nabi Ibrahim dahulu. Mereka kata itu adalah ibadah kepada Allah. Waktu itu pun sekeliling kaabah penuh dengan berhala batu pelbagai saiz dan fesyen.

Pada saat akidah bercampur dengan syirik dan ibadah agama Nabi Ibrahim bercampur dengan bid’ah, hadirlah Nabi Muhammad dengan wahyu mahu membersihkan kebejatan akidah dan cara hidup bangsa Arab.

Jika Nabi Muhammad mahu mengambil jalan mudah dalam dakwah pilihannya terbuka luas. Dengan asas tauhid yang masih ada iaitu mengakui Allah sebagai Tuhan dan ibadah haji dari syariat Nabi Ibrahim sepatutnya Rasulullah boleh terus menyertai masyarakat dan menawarkan Islam sekadar mana yang dikehendaki oleh masyarakat.

Namun sejarahnya juga Rasulullah tidak ada tolak ansur supaya manusia menolak syirik. Tidak ada satupun ayat alquran yang memberi keizinan agar Rasulullah melayan kehendak masyarakat dalam membentuk akidah dan beribadah. Masyarakatlah yang wajib mengikut syariat, bukan sebaliknya.

Lihat saja apabila umat Islam sudah berkuasa di Makkah sejak tahun 8 Hijrah, semua amalan yang direka-reka sebagai tambahan amalan haji dilarang sama sekali.

Inilah prinsip Islam dalam dakwah kepada manusia. Kerana prinsip menjaga ketulenan alquran dan sunah ini, terus kekal Islam sepanjang zaman. Maka jika ada sesiapa yang cuai atau berfikiran sendiri kemudian menawarkan kelonggaran terhadap syirik dan bid’ah, mereka sedang membuka pintu kerosakan agama yang ditutup dengan kedatangan Rasulullah.

Hadirnya Rasulullah pada zaman bercelaru itu adalah sebagai tajdid akidah, ibadah dan cara hidup. Pemurnian dilakukan kerana agama tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu dicemari rekaan dan tafsiran salah. Maka dengan perjalanan zaman, gerakan tajdid terhadap masyarakat Islam kini wajib ada kerana manusia sentiasa terdedah kepada kesilapan dan runtunan hawa nafsu. Hilang kawalan nafsu itulah yang dahulunya Abdul Mutalib dan kaum Arabnya menerima Allah sebagai Tuhan tetapi membina tugu-tugu tuhan yang dipercayai berkuasa juga.

Tajid ini tidak lain ialah kembali kepada ajaran alquran dan sunah dengan meneladani sejarah Rasulullah dan para sahabatnya. Bagaimana sukarnya kerja Rasulullah dan para sahabatnya, hari ini sesiapa hendak beragama sebagaimana yang dikehendaki oleh alquran dan sunah juga berdepan masalah. Itulah sunah manusia berjuang di jalan Allah.

Sabtu, Ogos 09, 2008

MENGULAS respon tahlil

PEMBACA blog dari selatan merespon begini,

“Khutbah Jumaat tadi agak tegas mempertahankan amalan tahlil, talqin, yasin malam Jumaat, maulidurrasul, isra’ mikraj. Mengakuinya sebagai bid’ah tetapi tetap dengan kelas hasanahnya. Oleh kerana hasanah, maka hampir begini teks dibaca oleh khatib.

“Lebih baik membaca yasin malam Jumaat ikut imam kerana bacaan tak semestinya elok lagi. Lebih baik pergi masjid malam Jumaat daripada duduk rumah.

“Lebih baik berzikir di majlis tahlil daripada kita langsung tidak mengingati arwah. Dalam majlis tahlil boleh eratkan silaturrahim. Lebih baik dibacakan talqin daripada kita tidak mempunyai kesedaran langsung pasal kematian.

“Saya rasa ini tidak ilmiah, asal boleh aje beramal dan seolah menunjukkan level keislaman masyarakat yang rendah.

“Bagaimana pandangan abang..”

Respon penulis seperti berikut:

Pertama: Tulisan itu luahan ahli masyarakat yang bukan terdidik dalam agama tetapi mempunyai akal untuk menilai amalan agama yang diwarisi atau amal yang dipaksakan. Ini sebagian maklum balas yang kurang diperdulikan oleh orang-orang bertitle agama, yang sering mengetuai upacara amal ibadah. Lihatlah, dia merasa level kefahamannya mengenai Islam dipandang rendah kerana dihujah sebagai jahil, tidak sempurna, maka lebih baik mengikut saja apa yang ditunjuk oleh ustaz dan imam dalam majlis bacaan yasin, tahlil dan talqin. Jelas, orang muda sekarang telah terdidik dalam sains dan ilmu logika, tidak mudah diberi hujah kurang masak. Pernahkah golongan ustaz dan imam mendalami perubahan cara berfikir anak-anak muda berpendidikan ini dan bagaimana mereka membuat penilaian?

Kedua: Hujahan oleh penulis khutbah itu adalah biasa atau klise, boleh diduga. Sejak dahulu begitu sajalah. Sebab-sebab amalan itu atas nama akal fikiran dan budaya masyarakat. Itu set minda yang dianut dan sedang dipaksa pula kepada masyarakat generasi baru. Ertinya mereka mahu anak-anak muda biar terdidik setinggi manapun mesti menerima bahawa amal ibadah boleh dilaksanakan atas sebab kehendak akal dan budaya manusia. Walhal secara teorinya para ustaz dan imam mengatakan hak menetapkan apa, bila, bagaimana dan di mana semua amal ibadah itu sebagai kepunyaan mutlak Allah dan rasul-Nya.

Tidak ada sesiapa pun ustaz dan imam berani mengatakan manusia boleh campur tangan dalam urusan ibadah Allah. Namun apabila berhadapan dengan masyarakat, mereka melupakan teori hak mutlak Allah dan membawa ibadah untuk disesuaikan dengan kehendak masyarakat. Jika cara ini diguna pakai seterusnya, maka akhirnya masyarakatlah yang akan menentukan apa jenis ibadah Islam, bila ibadah hendak dilaksanakan, bagaimana ibadah hendak dilakukan, di mana ibadah hendak disempurnakan. Kena tanya dan mengikut level keislaman masyarakat. Soalnya adalah begitu ajaran alquran dan sunah?

Ketiga: Penulis sengaja tidak membahas istilah bid’ah kerana sangat sensitif kepada golongan ultra tradisionalis. Biarkanlah mereka dengan pengertian bid’ah hasanah, cuma penulis masih tidak mempunyai contoh-contoh apa yang dinamakan bid’ah dholalah (sesat) yang haram itu. Telah lama penulis bergaul dengan ustaz dan ustazah, mereka sendiri tidak berapa jelas garis pemisah antara bid’ah hasanah dan bid’ah dholalah. Contohnya apabila dikatakan menambah rakaat dalam solat adalah bid’ah dholalah kerana itu tidak ada contoh daripada sunah, amalan tahlil, talqin dan membaca usalli juga tidak ada dalam sunah.

Sebab itu penulis menguatkan hujah dari sudut nas alquran. Begitu banyak ayat alquran mengatakan pahala adalah milik sendiri yang tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati. Sesungguhnya hujah alquran adalah yang paling tepat dan mahal. Maka jika ada yang mahu berhujah perlunya tahlil dan yasin untuk mengirim pahala kepada arwah, mereka wajib membenamkan dahulu hujahan alquran. Dalam apa-apa muzakarah dan debat, mematikan hujah ini adalah serangan mengejut paling berkesan. Soalnya siapa sanggup menidakkan semua ayat alquran berkenaan?

Keempat: Tahlil adalah isu kecil! Jawabnya ya, sebab sama ada bertahlil atau tidak, semua itu tidak menjejaskan harga saham di BSKL, cukai tidak naik kerana tahlil. Tidak ada orang yang dituduh murtad kerana tidak bertahlil. Isunya adalah kemurnian ajaran alquran dan sunah. Lagi, manusia tidak boleh campur tangan urusan ibadah dalam Islam. Membuat set ibadah sendiri dan menentukan bagaimana hendak melaksanakan set ibadah terbaru itu, tidakkah berwatak sebagai Tuhan? Sedangkan Tuhanlah yang berhak menetapkan set semua amal ibadah. Lalu bagaimanakah akidahnya?

Sebagai peringatan bersama baik kita fahami maksud ayat 79 surah al-Baqarah ini, "Maka kecelekaan yang besar bagi orang-orang yang menulis alkitab dengan tangan mereka sendiri lalu dikatakan 'Ini daripada Allah' (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besar kepada akibat daripada apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan besar kepada mereka akibat daripada yang mereka kerjakan."

Wallahu aklam.

Jumaat, Ogos 08, 2008

OLIMPIK, Zeus dan nasionalisme


OLIMPIK (di Indonesia disebut olimpiade) telah bermula dengan tanggal ‘emas’ angka delapan-delapan-delapan! 08-08-08, apa itu, kalau bukan tanggapan kuasa Tuhan. Apabila menyandang angka bertuah, maka pastilah di telapak kakinya sedang memijak angka paling sial tidak berguna di maya pada ini. Angka delapan yang diberi kuasa Tuhan oleh manusia, dan manusia yang sama sedang mengemis pula daripada kehebatan Tuhan. Tidakkah kita sedang berfikir?





Adakah manusia yang telah melafaz ayat ‘tiada Tuhan selain Allah’ akan menyorak dan memuja angka delapan, kemudiaan memijak angka empat? Ingat berapa juta manusia sedang memuja angka delapan sebagai tuhan baru sedangkan tiada apa-apa tuhan pun kecuali Dialah iaitu Allah.

Inilah frasa jahiliyyah moden yang dipasarkan dan untuk meruntuhkan akidah manusia. Harap jangan terus jadi goblok kerana keghairahan dan promosi besar-besaran. Bersukan dan berjuanglah, tapi bukan mencari apa-apa Tuhan selain Allah.

Banyak yang tidak tahu sejarah olimpik. Tanggapan saya agak benar, kerana orang pada tidak suka menoleh sejarah. Sukan olimpik pertama tahun 776 SM dilaksanakan di kota Olympia salah sebuah negara kota dalam wilayah Yunani purba. Matlamat utama sukan purba itu adalah untuk menghormati dewa kepercayaan orang-orang Yunani iaitu Zeus! Selain itu sukan olimpik ini juga sebagai pilihan untuk mengelakkan berlakunya peperangan terbuka antara negara-negara kota berkenaan seperti Athens, Sparta, Corinth, Thebes, Olympia, Troy dan Agros. Sukan itu berterusan dilaksanakan sekali dalam tempoh empat tahun seperti zaman modern ini.

Sukan olimpik moden yang dikira bebas daripada pemujaan tuhan Zeus (menurut kepercayaan manusia Yunani) dilaksanakan pada tahun 1896 oleh seorang pembesar Perancis iaitu Pieere Fredy sebagai Baron de Coubertin. Selepas itu sukan olimpik sungguh berteraskan keamanan dan persahabatan bangsa-bangsa sedunia.

Sukan olimpik adalah medan menjulang nama negara yang menjuarai mana acara lumba. Banyaknya pingat atau medal emas adalah gambaran kekuatan, kekayaan dan kemakmuran negara berkenaan. Maka dalam dunia dipenuhi negara bangsa, nasionalisme diperah di sukan olimpik termasuk oleh negara-negara kecil seperti Malaysia untuk mendapatkan pingat emas. Pingat emas adalah suara jeritan negara kecil yang didengar oleh semua negara bangsa di dunia. Bahawa wujudnya nama negara Malaysia dalam dunia ini.

Khamis, Ogos 07, 2008

MENILAI tahlil di sisi al-Quran dan Sunah

TELAH banyak diperkatakan secara sehala atau didebatkan ala kedai kopi berkenaan amalan tahlil atau kenduri arwah. Mengkritik kenduri arwah menjadi sensitif kerana amalan ratusan tahun sudah sebati dan bagai tidak dapat dipisahkan daripada cara beragama Melayu Islam Nusantara. Banyak yang beridentitikan ustaz berada di baris hadapan membela amalan itu, dan di belakangnya adalah masyarakat yang mendukung dan terus mewariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Apa kenduri arwah? Sekumpulan ahli masyarakat bersama-sama membacakan ayat-ayat zikrullah dan ayat alquran. Set bacaan itu dinamakan tahlil umpama modul yang sama di mana jua. Di mana-mana sahaja set pilihan ayat itu sama. Bacaan-bacaan itu yakini berpahala, dan pahala itu dikirimkan kepada arwah-arwah. Tujuannya untuk membantu roh arwah di alam akhirat sana. Selalunya selepas upacara tahlil ini akan diadakan jamuan istimewa kepada mereka yang membacakan tahlil itu.

Dari sudut sosial, tahlil kenduri arwah telah menjadi aktiviti sosial penting dalam masyarakat. Masyarakat berinterksi ceria dalam majlis itu. Majlis itu juga dapat menonjolkan ketokohan seseorang dalam ibadah khusus. Selalunya imam di surau dan masjid akan mengetuai upacara tahlil. Paling jelas, tahlil kenduri arwah ini dilaksanakan apabila ada kematian baru. Di sesetengah desa, tahlil diadakan tujuh malam berturut-turut apabila ada kematian, kemudian hari ke-40, hari ke-100 dan hari ke-1000. Banyak juga yang membuat rutin tahunan terutama pada bulan Saaban, sebelum memasuki Ramadan.

Dari sudut sosial memang rugi jika tahlil kenduri arwah dimansuhkan. Tambahan pula setiap kali kenduri sama ada di rumah orang kaya atau miskin mesti dapat makanan istimewa. Tuan rumah sedaya upaya akan memberi hidangan terbaik kepada ahli tahlil di ruang tamu.

Namun kerana kecintaan kepada ajaran alquran dan sunah, muncul sekumpulan ulama sejak awal tahun kurun ke-20 lalu di Nusantara mendedahkan bahawa amalan tahlil kenduri arwah bukanlah salah satu amal ibadah Islam. Memang mereka berdepan masalah. Bayangkan saja hampir keseluruhan masyarakat Islam menjadikan amalan tahlil sebagai rutin mengingati roh si mati, tiba-tiba cuba dihentikan. Sekalipun memberi hujah tahlil bukan amalan Rasulullah dan para sahabat, tidak juga diajarkan oleh Imam Syafie dan ulama-ulama Syafi’eyyah, namun perjalanan dakwah itu bukan mudah.

Oleh kerana tahlil kenduri arwah dianggap sebagai amal ibadah khsusus oleh masyarakat Islam Nusantara, maka nilaiannya hendaklah berdasarkan sumber ajaran Islam iaitu alquran dan sunah.

Ulama-ulama yang cintakan kemurnian ajaran Islam telah mendedahkan perbuatan mengirim pahala kepada arwah berlawanan dengan ayat-ayat alquran. Maknanya mereka berhujah bahawa duduk beramai-ramai berzikir atau membaca beberapa ayat atau surah alquran kemudian menyerahkan pahala pacaan itu kepada mana-mana arwah tidak diperintahkan oleh Allah dan rasulnya.

Antara ayat alquran yang dimaksudkan ialah surah albaqarah: 48 “Dan jagalah dirimu daripada azab hari (kiamat, yang seseorang) tidak dapat membela orang lain walau sedikitpun. Dan begitu juga tidak diterima syafaat dan tebusan daripadanya, dan mereka tidak akan ditolong.”

Maksud albaqarah: 134 “Itu adalah umat yang lalu, baginya apa yang telah mereka usahakan dan bagimu apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak diminta tanggung jawab tentang apa yang mereka usahakan.” Maksud yang hampir sama iaitu setiap amal dan pahala adalah milik sendiri yang tidak boleh membela orang lain ditemui dalam surah albaqarah ayat 110, 123, 139, 141, 281 dan 286.

Bukti dalam surah lain seperti surah al-Qasas: 55, al-Isra: 15, Yaasin: 54, An-Najm: 38 dan 39, Lukman: 33, An-Nisa: 112 dan 123, as-Syura: 15 dan ali Imran: 30.

Bagi ulama-ulama yang cintakan kemurnian ajaran alquran dan sunah, penciptaan amal ibadah atau penambahan sesuatu ibadah bukan isu kecil. Mereka membangkitkan kesalahan tahlil kerana sudah berlaku pengambilan hak Allah dan rasul-Nya oleh manusia biasa iaitu orang mencipta set amal ibadah kemudian dikatakan sebagai ajaran Islam. Set ibadah baru yang dikatakan ibadah Islam, bermakna ibadah yang dimaksudkan daripada Allah dan rasul-Nya. Itu tidak benar, sedangkan maksud tahlil untuk menolong arwah di kubur sana berlawanan dengan banyak firman Allah sendiri.

Kalau sesiapa benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya, pasti menerima apa saja daripada kedua-duanya tanpa banyak bicara. Hak menentukan ada atau tidak dalam ibadah adalah hak Allah dan rasul. Tahlil kirim pahala adalah urusan ‘ibadah khusus’. Perkara tahlil bukan urusan keduniaan yang menjadi hak manusia untuk meneroka dan memperbaikinya dari masa ke semasa. Orang yang beriman tidak akan mencari dalih baru atau rasional akal untuk menjadikan tahlil diterima umum sebagai ibadah Islam. Tidak ada apa-apa hujah yang mengatasi wahyu Allah setelah jelas apa kehendak wahyu Allah.

Masalahnya ialah set minda masyarakat. Set minda itu tidak percaya roh dibiarkan saja tanpa dibantu oleh yang masih hidup. Sebab itu wujud penolakan hujah tahlil sebagai menyalahi alquran dan sunah. Set minda manusia kita juga ialah kalau membuat jamuan mesti ada bacaan tahlil. Masyarakat sukar membuat set minda baru seperti membuat jamuan kecil atau besar tanpa bacaan tahlil mengirim pahala.

Maka yang perlu diubah ialah set minda menerima dengan pasrah ajaran alquran dan sunah. Set minda umah wajib utamakan kedua-dua sumber hukum Islam itu dan meletakkan kepentingan peribadi, masyarakat dan budaya setelah alquran dan sunah. Jika set minda ini sudah berfungsi, mudah saja sesiapa saja menilai semula amal ibadah kita. Mana yang bersesuaian dengan alquran dan sunah teruskan, yang tidak ada sumber sahihnya, hentikan.

Kalau dalam bab makanan kerap diberitahu, jika timbul keraguan antara halal dan haram, lebih baik jangan dimakan. Apa masalahnya meninggalkan upacara tahlil jika diragui sah atau tidaknya di sisi Allah. Para pengamal tahlil pun tidak mengatakan perbuatan bertahlil kepada arwah wajib, maka tinggallah dahulu. Meninggalkan tahlil tidak menjejaskan keimanan, walaupun dalam hati masih ada sisa percaya tahlil ‘disuruh’ oleh Islam. Tinggalkan dahulu dan rasailah nikmat menuruti kehendak alquran dan sunah menerima kematian seseorang.

Selasa, Ogos 05, 2008

SYABAS kepada Mufti Perlis

oleh: Mohd Sayuti Omar

BARANGKALI saya adalah antara orang-orang yang merasa lega apabila membaca laporan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak bersedia untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan diumumkan esok.Lega bukan kerana bimbang beliau akan kalah ditangan Anwar Ibrahim ataupun beliau akan mengancam Anwar, tetapi lega dan senang kerana dunia dan umat Islam masih lagi boleh memiliki beliau.
Ilmu yang beliau miliki amat diperlukan untuk membantu umat Islam negara ini.Kalau beliau terjun ke dalam kancah politik kedudukannya tidak dipandang semulia seperti hari ini lagi. Bila menjejak kaki ke kancah politik beliau tidak dapat elakkan diri daripada condong kepada parti yang dianggotainya. Beliau juga tidak akan dilihat bebas untuk berkata-kata berdasarkan kebenaran lagi.Kalau beliau menyertai Umno misalnya beliau tidak lagi boleh mengkritik silap dan salah pemimpin Umno. Beliau tidak lagi dapat membaca ayat-ayat Quran dan Hadith mengikuti sepatutnya sebaliknya kena baca ayat-ayat yang menyenangkan orang dan diambil sekerat-sekarat.
Minggu lalu beliau menegur sikap PM Abdullah Ahmad Badawi yang meletakkan kalungan bungan di Tugu Negara.Cuba kalau beliau menyertai Umno beliau tidak akan 'boleh' berbuat begitu lagi. Beliau hanya kena mendiamkan diri saja. Banyak ulama dan ustaz dalam Umno tahu hukum apa yang dilakukan Abdullah dan perdana menteri sebelum ini tetapi seorang pun tidak berani menegurnya. Mereka sanggup bergulamang dalam dosa secara bersama.Begitu juga kalau beliau menyertai Pas. Teguran kepada Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang tidak boleh dilakukan lagi. Semuanya akan diiyakan bahkan menjadi tukang tambah pula terhadap kata-kata mereka itu.
Sudah banyak ustaz dan ulama yang menceburi diri dalam politik akhirnya musnah. Mereka yang sebelumnya dilihat memiliki ilmu tinggi tiba-tiba runtuh sebaik saja berada dalam politik dan setelah mendapat kuasa duniawi itu.Tidak dapat lari kalau menyertai politik mereka kena bercakap bohong, kena menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara, kena berdolak dalih dan kena bersifat hipokrit. Tasbeh dan Quran hanya lambang saja bukan untuk diamalkan.Bagi orang politik kalau tidak memiliki sifat itu tidak lengkap.
Saya mendoakan semoga Asri akan kekal dengan pendirian dan siasah yang diambilnya kini. Hari ini beliau diterima dan menjadi rujukan semua orang. Semua pihak menggunakan ilmunya, baik BN, Pas dan lain-lain. Semua parti sukakan atas keberaniannya. Beliau seorang ulama gantang yang progresif dan dinamik.Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekukuhan iman kepada Asri untuk teguh dengan pendiriannya, menjadi ilmuan dan cendekiawan Islam yang senantiasa dirujuk oleh umat Islam. Beliau didoakan juga terus berani menegur dan memberi jalan-jalan pemikiran dan pegangan hidup baru yang progresif sesuai dengan Islam sebagai way of life. Pendirian dan peranaan beliau juga mudah-mudahan menjadi ikutan generasi rabbani yang baru!

Isnin, Ogos 04, 2008

MENYINDIR al Quran dan Sunah

SEORANG pemimpin politik beragama Hindu pernah menyindir mereka yang mahu mentadbir negara berpandukan alquran dan sunah dengan mengatakan ayat berikut: “Mana ada cerita bagaimana hendak membina jalan raya dalam alquran, jadi bagaimana hendak gunakan alquran untuk mentadbir negara?”

Atas sikapnya seorang aktivis Hindu dan anti-Islam memang bagai diduga dia akan bersikap sinis dan mempersendakan alquran. Kalau di Kem Guantanamo, diberitakan alquran disumbat ke lubang tandas sebagai satu cabaran penghinaan kepada para tahanan yang menjadikan alquran sebagai teman. Di Iraq ada bukti seorang tentara kufar menjadikan naskhah alquran sebagai objek latihan menembak!

Ada juga seorang tokoh dalam negara yang menyindir pelaksanaan hukum potong tangan kepada pencuri dengan mengatakan bahawa umat Islam akan bertambah mundur akibat banyak tangan muslim yang dipotong kerana kesalahan mencuri. Maksudnya, dia tahu bahawa banyak banduan dalam penjara kerana kesalahan mencuri. Maka kalau hukuman syariah itu dilaksanakan, banyaklah banduan yang dipotong tangannya. Sebagai ahli ekonomi, dia meramalkan adanya masalah besar dengan sebagian tenaga buruh yang cacat anggota!

Suka atau tidak, secara jelas hukuman itu memang tersedia dalam alquran. Alquran adalah wahyu Allah. Menyindir alquran, bermakna menyindir Allah!

Kemudian baru-baru ini penulis menghadiri ceramah oleh seorang Ustaz bergelar Datuk. Dalam sekian banyak tutur bicara yang disampaikan, tersentuh juga mengenai ibadah membaca Yaasin pada malam Jumaat. Secara sengaja pula dia membangkitkan pihak yang tidak mahu membaca Yaasin pada malam Jumaat kerana didakwa tidak ada petunjuk dalam sunah.

Antara ayat Datuk berkenaan ialah, “Mereka bacakan hadis Nabi yang bermaksud setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan masuk neraka. Jadi membaca Yaasin katanya adalah bid’ah, jadi tak perlulah baca Yaasin sebab kalau baca Yaasin nanti masuk neraka!” Begitu katanya sambil ketawa dan tawanya disambut pula oleh hadirin!

Penulis faham Datuk berkenaan tidak bersetuju pendapat segolongan yang tidak mahu membaca Yaasin pada setiap malam Jumaat. Penulis pun mengikuti perbahasan berkenaan, namun kepastiannya hadis yang bacakan itu adalah sahih, bukan hadis palsu. Hadis sahih adalah benar sabda Rasulullah, ucapan Nabi, manusia yang dipimpin khas oleh Allah.

Amat dikesalkan ucapan Nabi dijadikan bahan senda kerana tidak bersetuju dengan tafsiran hadis berkenaan. Apabila orang yang diberi gelar Datuk dan ustaz bersikap demikian, maka akan menjangkitlah kepada si jahil apabila hadis berkenaan dibacakan. Maka akan berleret-leretlah sindiran dan tawa orang terhadap maksud hadis Rasulullah itu sambil menyangka perbuatannya adalah bagus di sisi agama!

Astaghfirullah…

Sabtu, Ogos 02, 2008

HASIL muzakarah negara-negara Eropah

DALAM penelitian ringkas, memang kebanyakan kita tidak tahu sejarah, sejarah apa-apa sajalah. Maaf, orang Melayu tidak seperti bangsa Arab yang hafal jalur sejarah leluhur atau nenek moyangnya. Sebab itu mereka mudah dikumpulkan dalam mana-mana kabilah. Orang Melayu hanya tahu nama keturunannya hanya sejauh empat generasi.

Sejarah negara tak tahu, sejarah Islam pun tak tahu, lagilah sejarah negara-negara lain seperti Russia, Eropah, China dan Jepun. Jangankan golongan dewasa yang buta sejarah, malah remaja yang sedang bergaul dengan buku sejarah di sekolah juga buta sejarah. Semua ini kerana mereka menganggap sejarah tidak membawa apa-apa modal kekayaan atau keseronokan dalam hidup.

Maka jadilah kehidupan bangsa di Malaysia hendak diteroka secara ‘try and error’ sahaja. Lihatlah bagaimana perbalahan antara dua parti Melayu Pas dan Umno, seolah-olah perbalahan sesama Melayu ini adalah satu budaya sihat dan telah membawa sejuta manfaat dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Maka para pemimpin kedua-dua itu cukup seronok membesar-besarkan perbedaan yang sedia ada.

Tulisan ini sebagai meluahkan rasa kekesalan sebagai anak Melayu yang dididik secara Melayu dan Islam. Untuk berlaku adil dalam amalan demokrasi ini, nampaknya penulis dipaksa untuk menerima pendirian Pas dan Umno untuk tidak berada dalam satu kapal politik. Pas tidak masuk BN dan Umno tidak berada dalam PR. Masing-masing ada ego dan hujah sendiri-sendiri.

Pandangan penulis ialah setelah masing-masing Pas dan Umno selesa dalam kubu mereka, sepatutnya kedua-dua parti dapat bebas bersua di mana-mana dan bebas menentukan apa juga topik pembicaraan. Kalau sudah ditetapkan Pas dan Umno tidak bergabung dan hanya mahu bersahabat sahaja, bergerak dan bergaul sepuas-puasnya antara kedua-dua parti. Ahli-ahli Pas dan Umno telah jelas pendirian, maka jika ada seribu atau sejuta pertemuan antara Pas dan Umno pasti tidak akan membawa kepada perkongsian kuasa. Maka apa isu dan maudhuk dua-dua parti patut diteroka sedalam-dalamnya untuk kebaikan umah. Nak apa lagi?

Masih tak mahu muzakarah, tapi mahu muqabalah? Cerewet sangat! Dahulu Pas pernah meminta Harakah diberi hak terbit dua kali seminggu untuk muzakarah dengan Umno, nah sekarang Kementerian Dalam Negeri telah memberikan hak itu. Patut boleh guna perkataan muzakarah. Datanglah, bertemu antara Umno dan Pas, luahkanlah pandangan Pas kepada Umno, dan Umno lepaskan yang terbuku kepada Pas. Kalau dalam pertemuan itu mereka berbalah pun patut sebab Pas dan Umno bukan dalam satu kandang politik. Ada pertemuan, perbincangan, soal jawab atau debat barulah tahu apa kehendak yang boleh dibincang, diangkat, ditunaikan atau tidak boleh dilaksanakan.

Malulah sebagai satu bangsa, satu keturunan, satu kampung sama sepermainan dahulu, sama akidah, sama budaya, sama bahasa dan bercita-cita sama tanah kubur, tapi berhelah-helah untuk bertemu. Berapa banyak antara penyokong Pas dan Umno sebenarnya daripada satu keluarga, satu kampung dan satu regu dalam apa-apa hal dulu dan kini.

Cuba buka sejarah Eropah. Negara mana di Eropah yang tidak pernah berbalah dan berperang sesama mereka. Semasa zaman Pertengahan dahulu, berperanglah negeri-negeri kecil atau daerah dengan daerah dalam sebuah negeri. Kemudian apabila masuk zaman perpecahan agama Kristian, berperang antara penganut Katolik dan Prostetan. Pada zaman penjajahan, mana ada persefahaman antara Portugal dan Sepanyol, tidak berperang di Eropah tetapi berbunuhan di Asia dan Amerika.

Britain dan Perancis ada rekod perang yang panjang sehingga kekalahan Perancis kepada British di India. Pembunuhan beramai-ramai di Ambon (Indonesia) satu lagi bukti bangsa-bangsa Eropah memang berdendam dan bersedia perang sesama mereka. Kemudian masuk zaman Napolean menguasai Eropah, berperang lagi.

Apabila zaman industri merebak di Eropah muncul pula ideologi-ideologi yang bertantangan antara satu sama lain. Maka berbalah dan berperanglah antara puak nasionalis dan sosialis. Kemudian dua perang terbesar ialah Perang Dunia, berpunca dan mengganas di Eropah. Sejarah perbalahan dan peperangan antara negara dan bangsa di Eropah lebih sengit dan dahsyat berbanding sejarah permusuhan dalam bangsa Melayu.

Sekalipun dahsyat dan panjangnya perbalahan negara-negara Eropah, hari ini Eropah telah bersatu dalam EU. Negara-negara EU bagaikan satu negara dengan satu mata wang, satu Parlimen dan mempunyai seorang Presiden. EU akan menjadi satu negara besar, satu warganegara dan tidak lagi berperang seperti zaman lampau. Apa agama orang Eropah itu? Kristian, bukannya Islam. Malangnya bangsa Melayu yang ada Islam, ada kesatuan akidah, ada amalan solat berjemaah, sekali berjumaat seminggu dan macam-macam teori kesatuan, terus berbalah macam bangsa Eropah zaman dahulu.

Orang Eropah tahu dunia zaman kini sangat mencabar dan mereka bersatu untuk terus menguasai kepelbagaian di dunia. Mereka tahu ancaman Amerika, Jepun, China dan India, sebab itu mereka melupakan perbedaan dan dendam. Mereka bermuzakarah dan bergabung dalam satu kandang politik. Pas dan Umno masih lebih afdal dalam dua kandang politik, konon sedang membina kekuatan masing-masing!

Bangsa Melayu Islam dalam negara seperti katak di bawah tempurung, ingatkan di dunia hanya ada bangsa Melayu saja. Tak apalah bangsa Melayu berpecah sebab dalam dunia tak ada manusia lain, Melayu saja. Maka, berpecah pun tidak merugikan bangsa Melayu. Begitu?

Satu pandangan umum wajib dibentuk untuk persahabatan dan penyatuan Melayu Islam yang hakiki, melepasi sempadan parti politik. Pandangan politik kepartian Melayu Islam wajib diletakkan di nombor dua supaya perbalahan mengenai kuasa direndahkan darjahnya. Persahabatan, perpaduan dan penyatuan bukan ajaran pelik kepada Melayu kerana Islam telah beratus-ratus tahun menjadi pegangan bangsa. Mahu apa lagi wahai ayah-ayah kami para pemimpin politik?