Halaman

Sabtu, Ogos 02, 2008

HASIL muzakarah negara-negara Eropah

DALAM penelitian ringkas, memang kebanyakan kita tidak tahu sejarah, sejarah apa-apa sajalah. Maaf, orang Melayu tidak seperti bangsa Arab yang hafal jalur sejarah leluhur atau nenek moyangnya. Sebab itu mereka mudah dikumpulkan dalam mana-mana kabilah. Orang Melayu hanya tahu nama keturunannya hanya sejauh empat generasi.

Sejarah negara tak tahu, sejarah Islam pun tak tahu, lagilah sejarah negara-negara lain seperti Russia, Eropah, China dan Jepun. Jangankan golongan dewasa yang buta sejarah, malah remaja yang sedang bergaul dengan buku sejarah di sekolah juga buta sejarah. Semua ini kerana mereka menganggap sejarah tidak membawa apa-apa modal kekayaan atau keseronokan dalam hidup.

Maka jadilah kehidupan bangsa di Malaysia hendak diteroka secara ‘try and error’ sahaja. Lihatlah bagaimana perbalahan antara dua parti Melayu Pas dan Umno, seolah-olah perbalahan sesama Melayu ini adalah satu budaya sihat dan telah membawa sejuta manfaat dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Maka para pemimpin kedua-dua itu cukup seronok membesar-besarkan perbedaan yang sedia ada.

Tulisan ini sebagai meluahkan rasa kekesalan sebagai anak Melayu yang dididik secara Melayu dan Islam. Untuk berlaku adil dalam amalan demokrasi ini, nampaknya penulis dipaksa untuk menerima pendirian Pas dan Umno untuk tidak berada dalam satu kapal politik. Pas tidak masuk BN dan Umno tidak berada dalam PR. Masing-masing ada ego dan hujah sendiri-sendiri.

Pandangan penulis ialah setelah masing-masing Pas dan Umno selesa dalam kubu mereka, sepatutnya kedua-dua parti dapat bebas bersua di mana-mana dan bebas menentukan apa juga topik pembicaraan. Kalau sudah ditetapkan Pas dan Umno tidak bergabung dan hanya mahu bersahabat sahaja, bergerak dan bergaul sepuas-puasnya antara kedua-dua parti. Ahli-ahli Pas dan Umno telah jelas pendirian, maka jika ada seribu atau sejuta pertemuan antara Pas dan Umno pasti tidak akan membawa kepada perkongsian kuasa. Maka apa isu dan maudhuk dua-dua parti patut diteroka sedalam-dalamnya untuk kebaikan umah. Nak apa lagi?

Masih tak mahu muzakarah, tapi mahu muqabalah? Cerewet sangat! Dahulu Pas pernah meminta Harakah diberi hak terbit dua kali seminggu untuk muzakarah dengan Umno, nah sekarang Kementerian Dalam Negeri telah memberikan hak itu. Patut boleh guna perkataan muzakarah. Datanglah, bertemu antara Umno dan Pas, luahkanlah pandangan Pas kepada Umno, dan Umno lepaskan yang terbuku kepada Pas. Kalau dalam pertemuan itu mereka berbalah pun patut sebab Pas dan Umno bukan dalam satu kandang politik. Ada pertemuan, perbincangan, soal jawab atau debat barulah tahu apa kehendak yang boleh dibincang, diangkat, ditunaikan atau tidak boleh dilaksanakan.

Malulah sebagai satu bangsa, satu keturunan, satu kampung sama sepermainan dahulu, sama akidah, sama budaya, sama bahasa dan bercita-cita sama tanah kubur, tapi berhelah-helah untuk bertemu. Berapa banyak antara penyokong Pas dan Umno sebenarnya daripada satu keluarga, satu kampung dan satu regu dalam apa-apa hal dulu dan kini.

Cuba buka sejarah Eropah. Negara mana di Eropah yang tidak pernah berbalah dan berperang sesama mereka. Semasa zaman Pertengahan dahulu, berperanglah negeri-negeri kecil atau daerah dengan daerah dalam sebuah negeri. Kemudian apabila masuk zaman perpecahan agama Kristian, berperang antara penganut Katolik dan Prostetan. Pada zaman penjajahan, mana ada persefahaman antara Portugal dan Sepanyol, tidak berperang di Eropah tetapi berbunuhan di Asia dan Amerika.

Britain dan Perancis ada rekod perang yang panjang sehingga kekalahan Perancis kepada British di India. Pembunuhan beramai-ramai di Ambon (Indonesia) satu lagi bukti bangsa-bangsa Eropah memang berdendam dan bersedia perang sesama mereka. Kemudian masuk zaman Napolean menguasai Eropah, berperang lagi.

Apabila zaman industri merebak di Eropah muncul pula ideologi-ideologi yang bertantangan antara satu sama lain. Maka berbalah dan berperanglah antara puak nasionalis dan sosialis. Kemudian dua perang terbesar ialah Perang Dunia, berpunca dan mengganas di Eropah. Sejarah perbalahan dan peperangan antara negara dan bangsa di Eropah lebih sengit dan dahsyat berbanding sejarah permusuhan dalam bangsa Melayu.

Sekalipun dahsyat dan panjangnya perbalahan negara-negara Eropah, hari ini Eropah telah bersatu dalam EU. Negara-negara EU bagaikan satu negara dengan satu mata wang, satu Parlimen dan mempunyai seorang Presiden. EU akan menjadi satu negara besar, satu warganegara dan tidak lagi berperang seperti zaman lampau. Apa agama orang Eropah itu? Kristian, bukannya Islam. Malangnya bangsa Melayu yang ada Islam, ada kesatuan akidah, ada amalan solat berjemaah, sekali berjumaat seminggu dan macam-macam teori kesatuan, terus berbalah macam bangsa Eropah zaman dahulu.

Orang Eropah tahu dunia zaman kini sangat mencabar dan mereka bersatu untuk terus menguasai kepelbagaian di dunia. Mereka tahu ancaman Amerika, Jepun, China dan India, sebab itu mereka melupakan perbedaan dan dendam. Mereka bermuzakarah dan bergabung dalam satu kandang politik. Pas dan Umno masih lebih afdal dalam dua kandang politik, konon sedang membina kekuatan masing-masing!

Bangsa Melayu Islam dalam negara seperti katak di bawah tempurung, ingatkan di dunia hanya ada bangsa Melayu saja. Tak apalah bangsa Melayu berpecah sebab dalam dunia tak ada manusia lain, Melayu saja. Maka, berpecah pun tidak merugikan bangsa Melayu. Begitu?

Satu pandangan umum wajib dibentuk untuk persahabatan dan penyatuan Melayu Islam yang hakiki, melepasi sempadan parti politik. Pandangan politik kepartian Melayu Islam wajib diletakkan di nombor dua supaya perbalahan mengenai kuasa direndahkan darjahnya. Persahabatan, perpaduan dan penyatuan bukan ajaran pelik kepada Melayu kerana Islam telah beratus-ratus tahun menjadi pegangan bangsa. Mahu apa lagi wahai ayah-ayah kami para pemimpin politik?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan