Halaman

Ahad, Mei 04, 2008

APA bukti akhirat ada?

BAGAIMANA akal mahu membuktikan kewujudan alam akhirat yang terdapatnya balasan syurga dan neraka? Tulisan ini merupakan lanjutan wacana sebelumnya berkaitan agama sebagai candu. Saya teringat cerpen berjudul NATASHA yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein dalam majalah Dewan Sastera tahun 1980-an. Cerpen ini jelmaan dialog atau debat antara komunisme dengan Islam mengenai agama. Saya minta maaf kepada penulis cerpen berkenaan kerana menulis semula dalam keadaan yang tidak tepat, namun temanya sama.

Natasha antara penulis Soviet Union yang hadir ke Malaysia untuk satu rembukan sastera Melayu. Kerana Malaysia sebuah negara berpaksi Islam, maka selain bicara sastera dan budaya delegasi negara komunis itu sengaja menyorot kritikan terhadap ajaran Islam mengenai alam akhirat. Perlu diingat komunis menolak sama sekali kepercayaan hidup selepas mati kerana tiada bukti ilmiah.

Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur tampak dialog hangat dan Natasha masih tidak dapat menerima hujahan rakan penulis Melayu. Tujuan rombongan di bawa ke Pantai Timur untuk meneroka budaya Melayu di sana.

Sampai di pantai mereka melihat sekumpulan anak-anak bermain. Kanak-kanak itu kemudian menghampiri delegasi sastera dari kota itu dengan wajah ceria. Ceria sebagai anak-anak nelayan.

Pengarang berdialog dengan si perawan cantik Nastasha. Lebih kurang beginilah.

Pengarang: Anda berkata bahawa kehidupan di dunia ini adalah segala-galanya. Berakhir saja di sini.

Natasha: Tentu, itulah pendirian kami.

Pengarang: Baiklah, anda melihat anak-anak di pantai tadi. Mereka masih kanak-kanak dan tidak dapat menikmati kehidupan sebagaimana Cik Natasha. Bagi Cik Natasha tentulah beruntung kerana punya wang dan pelajaran, dapat berjalan-jalan jauh ke negara-negara luar. Tapi bagaimana dengan kanak-kanak itu jika umurnya tidak sempat mencapai seperti umur Cik Natasha, tentulah kanak-kanak itu tidak menikmati apa yang telah Cik Natasha rasai. Ini tuntulah keadaan tidak adil. Jadi di manakah kanak-kanak ini dapat merasai keindahan dan keseronokan yang telah Cik Natasha alami selama ini?

Natasha diam.

Pengarang: Semalam Cik Natasha mengakui bahawa tidak semua pelaku salah dapat dihukum oleh undang-undang kerana masalah penguat kuasa atau kebijaksanaan si pelaku salah melepas kan diri. Baiklah, katakan seorang mencuri dan dihukum penjara, tapi seorang lagi mencuri dan terlepas terus sehingga dia mati. Bagi yang terpenjara tentulah dia marah sebab ada pencuri lain yang masih bebas sedangkan mereka sama melakukan kesalahan. Nah, alam akhirat adalah tempat pembalasan setiap kesalahan. Sebab itulah akhirat diperlukan untuk memberi keadilan ini.

Natasha: Tapi tiada bukti kewujudan akhirat itu.

Pengarang: Itu hak pendirian Cik Natasha untuk tidak percayakan akhirat. Bagi kami kaum muslim sentiasa bersiap sedia untuk menempuh alam akhirat selepas mati. Kami berbuat baik untuk mendapatkan balasan syurga dan mengelak balasan buruk. Baiklah, jika nanti benar-benar zaman keadilan akhirat tidak wujud, pun kami tidak rugi apa-apa. Kita sama saja, selepas mati tidak ada apa-apa. Namun jika selepas mati dan waktu itu ada alam akhirat, kami sudah sedia untuk menempuh alam itu sedangkan Cik Natasha tidak bersedia apa-apa.

Natasha: Ohh..

Berdialog dengan golongan ateis mengenai Tuhan lebih sukar berbanding dengan penganut agama-agama lain. Golongan ateis menolak adanya Tuhan bererti menolak apa juga nama agama dan kepercayaan. Mereka mahukan hujah dan bukti, sebab itu tidak berguna kalau membacakan ayat-ayat alquran kepadanya. Samalah jika berhujah menggunakan ayat alquran kepada penganut agama lain. Hal itu tidak berguna kerana mereka bukan percaya kepada alquran. Jika mahu berhujah dengan ateis, gunalah akal saja. Kalau mahu berhujah dengan penganut Kristian, gunalah kitab mereka Bible. Hal-hal ini sangat menuntut kebijaksanaan dan daya pemikiran yang tajam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan