Halaman

Ahad, Mei 04, 2008

AGAMA itu candu?

AGAMA adalah candu yang mangkhayalkan manusia! Itu adalah slogan orang-orang komunis dahulu ketika mengkritik apa juga pegangan agama oleh manusia. Dalam kitab komunisme Das Kapital tulisan Karl Marx pun tidak ada slogan seperti itu, cuma prinsipnya komunisme tidak percayakan Tuhan bererti menolak apa juga agama. Menolak agama dalam hidup manusia bererti tidak percayakan hari akhirat, tidak ada kehidupan alam lain selepas mati. Tidak percaya hari akhirat bermaksud tidak ada konsep balasan baik iaitu syurga dan balasan buruk iaitu neraka.

Komunisme mendakwa agama sebagai candu kerana agama menawarkan kebahagiaan di syurga kepada manusia. Kita ambil Islam sebagai contoh terbaik yang menawarkan balasan syurga dan neraka. Kepada komunis, muslim dikhayalkan dengan keindahan syurga yang penuh nikmat sedangkan perkara itu tidak dapat dibuktikan dengan apa-apa pun. Muslim bercita-cita mendapat kesenangan hidup di syurga Allah setelah patuh perintah alquran dan sunah. Semua ini adalah candu atau dadah yang mengkhayalkan muslim, kata orang-orang komunis.


Karl Marx meramalkan Britain atau Jerman akan menjadi negara komunis kerana sifatnya sebagai negara industri. Namun tahun 1917 Revolusi Bolshevik berlaku di Russia (bertukar menjadi Soviet Union) dan menjadikan negara itu yang pertama berfahaman komunis. Sewaktu Perang Dunia Kedua (tamat 1945) negara-negara Eropah Timur dalam cengkaman Soviet Union, maka semuanya menjadi negara komunis. Di Eropah Timur terdapat banyak umat Islam mendiami negara seperti Albania, Kosovo, Bosnia dan Bulgaria. Itu semua warisan 1000 tahun zaman Turki Usmaniyah. Manakala di Asia Tengah (termasuk kota Bukhara, negeri Imam Bukhari) di sana ada negara-negara yang banyak umat Islam seperti di Uzbekistan, Kazakhtan, Khirgistan, Turkmenistan (semuanya di utara Afghanistan) telah disekutukan menjadi sebagian negara besar komunis Soviet Union.

China menjadi negara komunis pada tahun 1949 dan Revolusi Kebudayaan dilancarkan pada tahun 1960 untuk melenyapkan apa juga pegangan agama. Hari ini komunisme masih ideologi utama di sana dan kebanyakan penduduknya menjadi ateis: tidak percayakan Tuhan. Indonesia sebuah negara paling banyak umat Islam di dunia juga diresapi komunisme dan hampir saja negara itu menjadi komunis pada tahun 1965 melalui peristiwa Gestapo. Kalaulah fahaman ateis tidak merebak, tidak mungkin novelis Akhdiat Mihardja menulis novel ateis. Raja roman Pramudya Ananta Toer juga tertuduh komunis. Banyak novel dan cerpen Pram berbau anti-kapilatis, sekurang-kurangnya karya Pram digolongkan sebagai sosialis.

Di negara Malaysia ada Partai Komunis Malaya (PKM) diterajui Chin Peng anak kelahiran Sitiawan Perak. Di sisi Chin Peng ada nama-nama Melayu seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad dan Abdullah CD. Orang-orang Melayu (Indonesia dan Malaysia) yang duduk dalam harakah komunis masih didebatkan adakah mereka menjadikan komunis sebagai ideologi (yang menolak Tuhan / Islam) atau memasuki partai komunis semata-mata untuk melawan penjajahan. Shamsiah Fakeh bekas penuntut di High Islamic School Kuala Pilah (kemudian bertukar menjadi Maahad Ittiba as Sunah, dan terkini menjadi Institut al Mizan) yang mengajarkan fahaman sunah/salaf juga terdakwa sebagai komunis. Bertahun-tahun Shamsiah tinggal di China mendapatkan suaka politik, tapi akhirnya kembali ke Gombak. Beliau adalah bekas ibu tiri almarhum Rustam A Sani yang baru-baru ini wafat.


Komunisme masih hidup tetapi lumpuh. Sejak 1990 banyak negara komunis bertaubat dan menjadi demokrasi. Maka muncul negara merdeka yang penduduknya muslim seperti Bosnia, Bulgaria, Albania dan Kosovo. Selain itu kemerdekaan negara-negara di Asia Tengah yang nama hujungnya banyak tan belum berperanan penting bersama OIC. Malah Malaysia sendiri belum mengiktiraf kemerdekaan Kosovo sedangkan PBB telah menerima kemerdekaan itu.

Dahulu semasa berkecamuk Perang Bosnia 1992 (Serbia mahu menghapuskan muslim Bosnia), tentera Malaysia bertugas di sana melalui PBB. Ada kumpulan rakyat Malaysia yang berusaha masuk dan mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku. Secara umum komunisme berjaya merosakkan pegangan Islam umat di sana. Semua yang dilakukan oleh bukan muslim mereka buat juga, tapi berkeras masih mengaku muslim. Hanya kerana degil tidak mahu mengatakan seorang ateis, muslim Bosnia dibunuh beramai-ramai oleh tentera dan aktivis Serbia. Rekod PBB mengatakan Perang Bosnia menyamai keganasan zaman PD2 oleh tentera Jerman.

Baru-baru ini pun apabila Kosovo merdeka (98 peratus daripada 2 juta penduduknya muslim), imej remaja di sana minum arak seperti orang Malaysia minum teh tarik! Yang tua-tua mengatakan mereka muslim sederhana dan menolak aliran wahabi (salafi). Patutlah mereka menolak gerakan yang mengajak muslim kembali kepada alquran dan sunah sebab sudah sebati dengan jahiliyah zaman komunis.

Demikian bukti-bukti komunisme memang bekerja keras untuk membuang Islam sebagai akidah dan cara hidup manusia. Kini setelah terlepas daripada komunisme, pegangan Islam umat di sana belum pulih sepenuhnya. Selama 70 tahun dalam cengkaman ideologi anti-Tuhan tentulah keislaman mereka parah.

Kepada kita yang terselamat daripada cengkaman komusnisme bukan bererti selamat daripada slogan agama adalah candu yang mengkhayalkan manusia. Alquran telah merakam adanya manusia yang mengaku beragama (dalam keadaan bebas) sebenarnya berkhayal mendapatkan syurga Allah. Perhatikan maksud ayat 214 albaqarah: Ataukah kamu mengira akan masuk ke syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti yang dialami orang-orang terdahulu sebelum kamu….”
Bagi Allah, jika kita tidak pernah diuji atau mengelak dalam ujian Allah untuk membuktikan keimanan, samalah sedang berkhayal untuk mendapatkan syurga Allah kelak. Hakikatnya itu hanya impian di dunia saja, di akhirat kelak kosong!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan