Setelah bertungkus-lumus berkempen dan dikempen, kesimpulannya marilah undi calon yang menawarkan diri dalam pilihan raya ini. Saya meminjam perutusan khutbah Jumaat Mufti Perlis dan wawancara dalam akhbar bahawa mengundi ialah memilih calon bukan partai.
Jika pengundi memilih partai, fikiran kita akan taksub kepada jemaah atau partai tanpa berpeluang menganalisa segala kehendak dan kepentingan semasa. Dengan mengisytiharkan para pengundi akan memilih calon, bukan partai, maka setiap partai politik pasti mengemukakan calon terbaik yang dapat menjadi galang ganti rakyat di muka hadapan sana. Kalau dipopularkan mengundi partai, maka entah siapa sahaja akan bertanding sebagai calon wakil rakyat tidak mengira kelayakan dan kemampuan.
Pemenang hanya satu, bukan dua. Oleh itu antara dua calon atau beberapa calon dalam satu kawasan, pasti salah satunya yang terbaik untuk menggalas kepentingan umah dan negara. Sebagai muslim juga tidak harus keliru untuk memilih salah satu calon yang mungkin antaranya semua bukan Islam. Salah satunya pasti ada yang paling dekat dengan Islam dan umah. Kalau pun kedua-duanya tidak mempunyai ciri yang dimaksudkan keislaman, pasti ada hal lain yang dia mampu bawa untuk keadilan dan kesejahteraan.
Hal keadilan dan kesejahteraan hidup adalah dambaan semua manusia. Calon bukan Islam juga manusia yang berkongsi fitrah hidup bersama para muslim. Doa dan harapan penduduk Madinah pada zaman Rasulullah agar tentera Rum mengalahkan Parsi dikabulkan Allah dan orang-orang mukmin di Madinah itu sangat bergembira. Lihat awal-awal surah Rum.
Maka tidak salah juga para muslim berkempen agar salah satu calon bukan muslim itu dipilih dalam pilihan raya ini kerana difikirkan perjanjian calon itu dengan para penduduk Islam di kawasan itu. Di Madinah, Rasulullah mengikat perjanjian dengan penduduk bukan Islam untuk sama-sama menjaga negara Madinah.
(Teks wawancara, berita khutbah Mufti Perlis boleh didapati di banyak laman sesawang dan akbar bercetak. Semua saranan beliau bukan rahsia, malah secara terbuka dan berhikmah demi kepentingan umah dan perpaduan rakyat berbilang kaum)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan