Halaman

Khamis, Mac 06, 2008

HELAH melanggar batasan Allah

SAYA teringat kepada satu kenyataan oleh Pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 2000 berkenaan maksud rasuah dalam pilihan raya. Asalnya seorang peserta seminar meminta pegawai berkenaan menjelaskan mengapa tiada tindakan apa-apa oleh BPR dalam pilihan raya sedangkan banyak pemberian barangan sewaktu kempen berlangsung.

Pegawai berkenaan menjelaskan bahawa bukan menjadi kesalahan rasuah apa-apa pemberian pada musim pilihan raya jika pemberinya tidak mengaitkan dengan kempen pilihan raya yang berlaku. Maksud pegawai itu (tentulah berdasarkan undang-undang) jika si pemberi tidak menyebut lebih kurang begini, “saya sudah beri, jangan lupa undi saya nanti…” maka pemberiannya bukan rasuah politik, walaupun betul niat pemberiannya itu dimengerti sebagai satu pujukan agar mengundinya. Memang dalam undang-undang niat tidak menjadi satu bukti sehingga dilaksanakan. Senang cakap, berkata-kata dalam hati tidak dapat dibuktikan dan tiada apa-apa tuduhan boleh dikenakan.

Menarik sekali! Memang saya pun bagai tergelak apabila diberi penjelasan berkenaan, namun itulah hakikat berdasarkan undang-undang. Daripada itu harap sesiapa mula faham mengapa keadaan yang dianggap luar biasa berlaku dalam musim pilihan raya, terutama dalam pilihan raya kecil.

Maka saya teringat tafsir alquran berkenaan bangsa Yahudi. Allah telah melarang mereka bekerja pada hari Sabtu. Mereka sepatutnya beribadah saja. Allah telah menguji mereka dengan membanyakkan ikan dan membuat mudahnya menangkap ikan pada hari Sabtu. Hari lain ikan seperti biasa, tetapi pada hari Sabtu ikan bagai menyerah diri! Mereka tergoda, dan keluar menangkap ikan pada hari sabtu. Mereka sedar itu satu kesalahan di sisi Allah.

Maka kaum Yahudi itu membuat aliran air atau takungan berupa perangkap ikan. Ertinya, apabila ikan bagai menyerah dan berkumpul di pantai pada hari Sabtu, ikan-ikan berkenaan akan terperangkap dalam aliran bertakung yang dibina. Pada hari berkenaan mereka tidak menangkap ikan seekorpun kerana itu peraturan Allah kepada bangsa ini. Kemudian, pada hari Ahad keluarlah mereka ke takungan dan mengambil ikan-ikan yang sudah terperangkap. Allah mengutuk perbuatan helah ini dan terakam dalam surah al Baqarah: 65. Pembohongan dan kejahatan ini membawa laknat kaum itu dijadikan kera!

Dari sudut teknikal undang-undang perbuatan Yahudi itu dikira sah dan dianggap tidak melanggar adat atau undang-undang dunia. Tapi di sisi Allah, perbuatan itu satu kesalahan, dosa kerana berhelah melanggar batas. Perbuatan haram dilakukan juga sekalipun dalam helah yang teknikal.

Entahlah, sama ada boleh disamakan perbuatan memberi apa-apa pada musim pilihan raya tetapi tidak menyebut sebagai tujuan pengundian, sebagai sah di sisi Allah atau tidak, saya tidak komen apa-apa. Namun kepada yang merasa gementar dengan amaran daripada Allah, tidak akan berani berhelah-helah untuk melanggar batas yang ditetapkan Allah. Senang cakap lagi, di dunia kita boleh berhelah secara teknikal dan diluluskan pelbagai akta. Telah banyak dilakukan orang, dan semuanya lepas daripada akta. Namun akhirnya kita akan kembali kepada Allah, sama seperti bangsa Yahudi yang kembali kepada Allah juga. Jika Allah telah melaknat bangsa Yahudi kerana helah teknikal dalam melakukan dosa, maka apa bedanya bangsa kita ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan