RASA-rasanya agak kerap saudara-saudara muslim di Pattani Thailand berkunjung ke Malaysia atas urusan perniagaan dan mengutip derma. Bagi negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang memang sangat mudah dikunjungi mereka. Malah semasa pulang ke Sabak Bernam pun saya dikunjungi peniaga Pattani.
Setiap kali kesempatan bertemu mereka, saya ambil kesempatan berbua-bual mengenai kehidupan orang-orang Melayu di Pattani. Saya memang meminati sejarah bangsa dan sebagiannya Pattani. Maka, saya antara peminat filem ‘Jogho’ yang menggarap budaya Melayu Pattani. Sekian lama bergaul dengan orang-orang dari Kelantan, dengan menghayati Jogho, senang saja saya menuturkan loghat Melayu Kelantan-Pattani dengan saudara muslim dari sana.
Kepada yang mengutip derma untuk sekolah pondok, tentulah mereka menunjukkan dokumen sekolah pondok mereka yang separuh siap. Yang saya mahu tahu daripada mereka apa yang diajar kepada anak-anak sebagai persiapan menjadi warga muslim dalam dunia global. Persepsi saya ialah kebanyakan sekolah pondok di Pattani masih meneruskan tradisi kepondokan dalam aspek kurikulum dan pengurusannya. Memang Pattani terkenal sebagai pusat pendidikan pondok abad-abad silam. Kan Kesultanan Pattani pernah gagah di sama.
Di Kuantan baru-baru ini saya dikunjungi anak muda 20-an Melayu Pattani yang berniaga minyak-minyak urut dan keropok. Bertanya hal keadaan di selatan Thai, cepat dia mengejak saya duduk. Maknanya dia mahu lama sedikit berbual dengan saya. Benar, perbualan antara kami berkisar mengenai pergolakan di sana dan dia hampir lupa mengenai barang jualannya.
Daripada maklumat yang saya anggap benar memang berlaku kegelisahan di kalangan Melayu Pattani. Jadi benarlah ada serangan-serangan ala-gerila di sana. Seperti biasa pergolakan politik akan menampakkan dua wajah: Pro dan kontra. Seperti di Palestin yang ada Fatah dan Hamas, tidak berkecuali di wilayah jiran utara. Ertinya bangsa Melayu Muslim Pattani berpecah juga.
Melalui pengamatan, saya mendapati naifnya pengetahuan anak-anak muda yang bersemangat memajukan politik Pattani. Tidak juga mahu menyalahkan mereka jika kebanyakan hanya tahu sejarah bangsanya sendiri, tetapi kosong mengenai konflik semasa yang senasib seperti di Pattani. Misalnya anak muda yang saya temui tidak tahu apa-apa mengenai pergolakan di Chechnya dan Bosnia. Ada sedikit pengetahuan mengenai Palestin dan Acheh.
Pengetahuan mengenai keadaan (mungkin dibaca perjuangan) di wilayah-wilayah muslim lain yang senasib dengan Pattani sepatutnya boleh dijadikan garis panduan dalam memajukan politik Melayu Pattani. Kesanggupan GAM menarik tuntutan kemerdekaan Acheh mungkin perlu difahami dalam konteks politik antara bangsa yang semakin global, maka apa-apa wilayah muslim tidak relevan untuk berpecah-pecah. Kesimpulan ini bagus juga dibaca oleh kumpulan-kumpulan atau parti-parti berasaskan Melayu muslim dalam negara. Bertarung sesama sendiri yang akhirnya kalah jadi abu menang jadi arang atau mengendurkan pertarungan untuk sama-sama menjaga kesatuan umah-bangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan