Halaman

Ahad, Januari 06, 2008

BERGURU kepalang ajar (ii)

SEMUA orang mesti telah, sedang dan akan menempuh pembelajaran. Tidak ada orang yang dilahirkan dengan tiba-tiba penuh ilmu di dada dan tidak perlu lagi apa-apa maklumat untuk meneruskan kehidupan. Sejarah penciptaan Adam yang dirakan dalam al Quran pun menjelaskan Allah mengajar kepada Adam mengenai nama-nama. Ertinya, manusia itu asalnya tidak berpengetahuan kemudian dengan akalnya manusia mancari pengetahuan.

Manusia pula dijadikan oleh Allah dalam keadaan tidak sama keupayaannya. Kedudukan geografi, sejarah dan budaya menjadi faktor manusia berbeda-beda keupayaannya, malah tidak kurang pada faktor umur dan genatik. Hal ini semua dikaji oleh ahli pendidikan untuk menghasilkan beberapa kaedah menyampaikan maklumat kepada pelajar atau manusia dengan lebih berkesan.

Maklumat pula bukan saja yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan yang kebanyakannya secara umum saja disentuh dalam al Quran. Informasi atau pengetahuan juga meliputi akidah, ibadah, syariah, muamalat dan munakahat yang ada dalam Islam. Asal saja maklumat, dikenali juga pengetahuan, mungkin lebih gagah disebut ilmu. Maka, untuk menyampaikan maklumat atau ilmu itu tentulah memerlukan kepelbagaian cara, sejajar dengan maklumat itu sendiri dan penerimanya sekali. Contoh, kaedah menyampaikan ilmu fikah dan biologi memerlukan kaedah yang berbeda. Jika penerimanya berbeda aras pengetahuan sedia ada, maka tentulah kaedahnya juga pasti berbeda.

Kaedah atau cara mempelajari ilmu adalah hal keduniaan yang memerlukan akan berfikir mencari jalan terbaik. Tidak ada penetapan wahyu berkenaan cara mempelajari ilmu. Dunia sentiasa berubah, maka penemuan-penemuan baru sentiasa diteroka untuk disesuaikan dengan keperluan.

Mengapa saya membebel bab kaedah atau cara belajar? Ada segolongan yang mendakwa berpengetahuan tinggi dalam agama menetapkan untuk mempelajari tauhid wajib menggunakan satu kaedah iaitu Sifat 20! Untuk lebih menggerunkan khalayak agama, dikatakan pula seluruh ulama telah menetapkan wajib mengguna kaedah atau cara itu. Menambah kegerunan ini, digambarkan siapa tidak menggunakan kaedah berkenaan, terkeluar daripada satu jemaah yang dijamin oleh Rasulullah untuk masuk syurga!

Kita tidak sama sekali menolak kaedah Sifat 20. Kita menerimanya sebagaimana menerima kaedah Tauhid Rubuhiyah, Uluhiyah serta Asma wa Sifat. Mana-mana yang baik dan sesuai dengan khalayak tauhid kita guna dengan matlamat mengesakan Allah dan menjauhi syirik.

Namun hanya berpaut kepada satu kaedah yang diguna kepada setiap generasi manusia, setiap bangsa di dunia, setiap peringkat umur dan setiap aras pengetahuan sedia ada, kemudian menetapkan kaedah-kaedah lain sebagai salah, adalah satu jenayah kepada dunia pemikiran dan kreativiti akal manusia.

Kelesuan dan mandul daya kreativiti umah bukan perkara kecil. Telah banyak dan lama dibincang serta ditentukan cara-cara membangunkan daya pemikiran umah supaya berdiri sama gagah dengan bangsa-bangsa yang lain. Di balik keinginan berfikiran kreatif dan maju, ada kelompok menjerut kemerdekaan akal manusia. Dengan jerutan yang kemas itu, sebagian perkembangan daya intelek yang kreatif sudah disediakan lubang untuk disumbat ke sana. Jika begitu, ini adalah antara tragedi dalam perkembangan intelektual bangsa dan umah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan