Halaman

Isnin, Disember 24, 2007

Pasir Salak Datuk Maharaja Lela!

TANGGAL 21 Disember, saya membawa anak-anak ke Kompleks Sejarah Pasir Salak (KSPS) di Perak Hilir. Pasir Salak hanya sebuah desa biasa, tetapi nama desa itu senantiasa gah kerana kesanggupan penduduk pada tahun 1875 mengukir sejarah penting kepada negara. Hari ini pun jangan bayangkan KSPS di tengah-tengah kota atau pekan, tetapi KSPS jauh di pedalaman dan lokasinya benar-benar di tepi sungai Perak.

Jika pengunjung tidak mengetahui apa-apa mengenai sejarah kepahlawanan Datuk Maharaja Lela, lebih baik jangan pergi ke sana kerana dia tidak akan dapat mengerti apa ertinya pada perlambangan, tugu, arca dan monumen yang dipersembahkan.

Replika yang paling menarik ialah sewaktu hukuman mati ke atas Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor dan Pandak Endut hendak dijalankan. Saya terkenang keadaan bagaimana Umar Mukhtar (lakonan Anthony Quinn) yang juga menjalani hukuman gantung dalam filem The Lion Desert. Begitulah pejuang yang mewakafkan dirinya untuk umah.

Replika lain, antaranya Raja Abdullah sedang menandatangani Perjanjian Pangkor 1874. Perjanjian inilah sebagai titik tolak kemasukan British secara agresif di negeri-negeri Melayu. Beberapa kesan utama selepas 1874 di negara kita.

Pertama: Pembentukan sistem Raja Berperlembagaan. Kuasa raja dihadkan dan sebahagian kuasa raja diberikan kepada Residen (kemudian Menteri Besar) untuk mentadbir kerajaan negeri.

Kedua: Islam disudutkan sebagai agama ritual setaraf dengan adat resam Melayu. Dalam Perjanjian Pangkor secara jelas dinyatakan kuasa Sultan hanya dalam hal agama Islam dan adat resam Melayu. Mengambil semangat inilah sehingga hari ini setiap negeri mempunyai Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu, contohnya MUIP ialah Majlis Agama Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Antara tugas majlis agama ialah memberi nasihat hal agama kepada baginda Sultan dan mengurus kutipan dan agihan zakat.

Ketiga: Pengenalan sistem Barat, khasnya ekonomi perdagangan seperti Perlombongan bijih timah dan ladang getah. Kekayaan ini menyeronokkan British, tetapi orang Melayu sengaja terus diaktifkan dalam sistem ekonomi sara diri yang berskala kecil dan tidak menguntungkan seperti menjadi nelayan, pemilik dusun dan pesawah. Kepada British pengekalan orang Melayu dalam sektor ini penting untuk memastikan bekalan makanan mencukupi. Namun padahnya, orang Melayu terpinggir dalam ekonomi perdaganagan. Kita masih merasa kesan kerja British ini.

Keempat: Kekurangan buruh menyebabkan British secara borong membawa buruh dari China dan India. Haji Buyung Adil dalam Sejarah Selangor menyebut sewaktu Frank Swettenham menjadi Residen, penduduk Selangor hanya 10,000 orang! Semua Melayu tu! British sengaja mensabotaj Melayu dan Islam apabila tidak membawa buruh yang beragama Islam sedangkan di India dan China memang banyak penganut Islam. British telah berpengalaman mengadapi negara yang majoriti (hampir 100 peratus Islam) seperti di Iraq dan Afghanistan sebelum tahun 1874.

Kelima: Pengenalan sistem pendidikan Barat seperti pembelajaran Sains, Matematik, Geografi dan Bahasa Inggeris. Sebelumnya sekolah bagi anak-anak Melayu ialah Sekolah Pondok. Pihak misionari Kristian diberi peranan membuka sekolah untuk pendidikan Barat ini. Contohnya Sekolah Convent, Sekolah Methodist, Sekolah St Thomas dan lain-lain. Sekalipun pendidikan duniawi penting, orang Melayu tidak menghantar anak ke sekolah misionari kerana sangat bimbang dengan agenda kristian. Mujurlah Gerakan Islah (1906) yang dipelopori Syed Syeikh al Hadi, Syeikh Tahir Jalaludin, Mohd Salim Kalali dan rakan-rakan mereka menubuhkan madrasah yang kurikulumnya menyerupai sekolah misionari, ditambah pengajian al Quran dan Hadis.

Apa lagi? Tahu tak, peristiwa perebutan kuasa di Perak yang menyebabkan kuasa British masuk menguasai negeri (1874) berulang di Johor (Singapura diambil British, 1918). Plotnya hampir sama, Sultan mangkat dua anak raja berebut takhta, yang gagal mencari British dan sanggup menyerahkan negeri kepada kuasa asing asalkan putera ini boleh menjadi Sultan.

Di Perak Apabila Raja Yusuf ditabal sebagai sultan, Raja Abdullah yang asalnya sebagai Raja Muda merasa haknya dirompak, lalu mencari Sir Andrew Clark. Di Johor apabila Tengku Abdul Rahman ditabal sebagai Sultan, Tengku Hussein yang sebelumnya bergelar Raja Muda mencari Sir Stamford Raffles. Sanggup menjadi Sultan dengan kuasa terhad dan negeri melayang.

Apa hasilnya? Sultan Abdullah dihukum buang negeri ke Pulau Schyelles (dekat benua Afrika) kerana menjadi mastermind pembunuhan Birch. Sultan Hussein pula menjadi tidak karuan dan menetap di Melaka sehingga mangkat di sana.

Aktor-aktor politik ini dipandang sinis oleh bangsanya kini. Tetapi aktor politik tidak perduli pun, sejarahnya diulang-ulang. Perilaku kita akan dirakam oleh sejarah dan dihakimi oleh generasi 100 tahun akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan