Halaman

Sabtu, Disember 22, 2007

Kau pun berdosa seperti aku!

ZANA seorang penyanyi di sebuah kelab malam. Memang pakaiannya mendedahkan aurat. Mula-mula rasa canggung dan ada rasa berdosa kerana memakai pakaian yang seksi, lama kelamaan dirinya tidak lagi dihantui rasa gelisah dan berdosa. Asalnya dia juga tidak pernah minum arak, namun lama kelamaan setelah mencuba sedikit dan melihat kawan-kawan serta pengunjung tidak merasa sesuatu negatif kerana minum arak, kini dia pula menjadi sebagian orang yang biasa itu.

Semasa Hari Raya dia berkunjung ke rumah saudaranya. Kebetulan, di TV sewaktu itu ada menerangkan mengenai dosa meminum arak, maka hati Zana berdebar. Dia mengakui dirinya berdosa kerana meminum arak.

Zahid bekerja sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang. Tugas utamanya menyebabkan dia bertemu dengan mereka yang didakwa bersalah dan disaman. Banyak antara orang itu yang mahu menyelesaikan masalah didakwa bersalah secara mudah. Mula-mula Zahid tidak menghiraukan desakan sebegitu. Lama kelamaan kerana desakan begitu kuat dan dia melihat beberapa rakan yang lebih ‘senior’ melakukan dan tidak terkena apa-apa kesan, maka dia mula memberanikan diri menerima habuan kecil. Awalnya rasa bersalah, tetapi rakan-rakannya memberi semangat dan menerangkan perbuatan itu bukan menerima rasuah sebaliknya hadiah dalam tugas.

Namun sebagai muslim ada ketikanya setelah solat, dia terkenang perbuatannya dan masih percaya apa yang dilakukan adalah dosa. Dosa menerima rasuah dan berhasrat mahu meninggalkannya suatu masa kelak.

Dua contoh di atas mengenai orang dengan tugasnya terdedah kepada dosa. Iblislah yang memujuk dan menjanjikan keindahan supaya manusia melanggar larangan Allah. Maksud firmah Allah dalam surah an-Nisa’:120 “Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka melainkan tipuan belaka.”

Penyanyi, penguat kuasa undang-undang, guru, peguam, peniaga, petani, jurutera, doktor dan lain-lain lagi terdedah kepada hasutan iblis agar melakukan dosa yang masih berkaitan dengan kerjayanya. Selalunya golongan agama yang menerangkan mengenai dosa-dosa itu. Mereka yang berdosa akan disaran bertaubat.

Adakah golongan agama atau ustaz itu tidak dapat ditembusi oleh hasutan iblis? Memang ustaz dan ulama tidak akan dihasut oleh iblis agar ke kelab malam, kedai judi dan rumah-rumah pelacuran. Iblis tahu golongan agama mempunyai kekuatan untuk menghindari maksiat berkenaan. Lalu, di mana iblis menyusup dan mendesak-desak orang agama berbuat dosa?

Sebagaimana iblis menyusup masuk dan mempengaruhi seseorang supaya melakukan dosa melalui kerjaya atau bidangnya, maka iblis juga masuk menggoda golongan agama melalui pegangan agamanya. Bagaimana iblis menghiasi dosa rasuah supaya tampak indah, maka iblis juga akan menghiasi dosa berbentuk agama supaya tampak indah juga.

Dosa yang dilakukan oleh golongan agama dan mereka sukar untuk menerimanya ialah bid’ah. Bid’ah ialah satu perbuatan baru dalam agama yang tidak ada contoh daripada al Quran dan sunah Nabi. Pembuatnya pula mencipta amalan itu dengan tujuan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Pembuatnya sedar, namun mereka berhujah mengenai baiknya amalan baru dalam agama, tentulah diterima Allah.

Dalam satu hadis yang popular mengenai bid’ah diriwayatkan oleh Imam Muslim menerangkan bid’ah sebagai perkara baru dalam agama, dan hal itu satu kesesatan.

Berikut sedikit petikan daripada kertas kerja Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengenai bid’ah. Beliau mengutip pendapat Imam Abu Ishaq al-Syatibi rh (790H) dalam memberikan maksud bid’ah.


“Jalan yang direka dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t”.

Imam Sufyan ats-Tsauri pula telah berkata :
"Bid’ah itu lebih disukai iblis daripada kemaksiatan, sebab pelaku maksiat masih ingin bertaubat daripada kemaksiatannya, sedangkan pelaku bid’ah tidak ada keinginan untuk bertaubat daripada amal bid’ahnya."

Kaki rasuah, kaki judi, penzina, pencuri dan kaki arak tetap sedar perbuatan itu salah dan berdosa. Namun kaki bid’ah tidak sedar perbuatannya salah seperti berjudi. Jika ada yang menegur perbuatannya sebagai bid’ah, aktivis bid’ah akan memberi hujah sebagai bid’ah hasanah atau amalan baik juga. Jika tidak mampu berhujah, akhirnya mereka akan berkata bid’ah adalah kes perselisihan antara ulama. Ertinya tiada lagi perbuatan yang dikatakan bid’ah kerana dapat dibalut dengan bid’ah hasanah dan khilafiah.

Pandangan masyarakat juga menyokong aktivis bid’ah. Bagi mereka, tidak mungkin ustaz dan ulama melakukan dosa agama. Penghormatan tinggi kepada golongan agama dan sokongan masyarakat awam menyebabkan ketua-ketua kaki bid’ah terasa lega. Hujah lain menguatkan pendirian kaki bid’ah ialah majoriti golongan agama yang tidak menganggap amal-amal baru dalam agama sebagai bid’ah dan berdosa.

Wallahu’aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan