Halaman

Ahad, Februari 28, 2016

ELAK cukai ertinya mencuri


SIFAT manusia  ada  yang kikir atau kedekut. Lawannya tamak.  Menjadi kesukaan jika hartanya bertambah-tambah dan kurang senang dengan berkurangnya harta. Kerna itu ada orang yang mencari helah untuk mengelak pembayaran cukai.  Sama ada memberikan angka salah bagi pemilikan hartanya atau memberikan maklumat palsu mengenai barang yang dibeli.  Matlamatnya satu: Tidak mahu membayar cukai.  Kepada orang seperti ini, membayar cukai bererti satu pembayaran yang tidak membawa pulangan kepada peribadinya.

foto hiasan 
Cukai sudah diperkenalkan pada zaman Khalifah Umar r.a. kerna perubahan zaman dan keadaan. Sejak itu cukai menjadi sebagian pendapatan pemerintah Islam, termasuklah negara moden.  Di Malaysia, muslim yang membayar zakat mendapat potongan cukai pendapatan.  Misalnya jika keseluruhan cukai pendapatannya ialah RM1000.00 dan dia telah membayar zakat sebanyak RM500.00, maka cukai pendapatan yang wajib dibayar ialah RM500.00.

Dalam hidup beragama, muslim wajib mentaati pemerintah. Oleh kerna pemerintah telah mewajibkan adanya cukai pendapatan, cukai pembelian barangan dan cukai import, maka membayar cukai kepada pemerintah menjadi kewajiban sebagai tanda orang beriman. Bisa dirujuk ayat 59 surah an-Nisa, antara lain Allah menyatakan orang-orang beriman itu mentaati Allah, rasul dan pemerintah.

Bagaimana mengelak membayar cukai? Jawabnya dia mencuri wang negara. Apabila cukai sudah ditetapkan pemerintah dan wajib membayarnya, menipu agar terlepas membayar cukai bererti mengambil wang negara.  Sengaja menipu untuk tidak membayar cukai atau diam-diam memasuki rumah orang orang dan mengambil wangnya, sama arti: Mencuri wang.  Wang pihak lain yang diambil secara salah.

Mencuri itu haram dan berdosa.. Dalam surah al-Maidah ayat  38 (Bermaksud): “ Pencuri, lelaki dan perempuan hendaklah kamu potong  tangan kedua-duanya sebagai balasan dari apa yang kedua-duanya lakukan dan sebagai seksa dari Allah. Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Kemudian ada antara mereka memberi hujah begini, “Kami ambil wang negara RM50 ringgit sahaja, itu pemimpin ambil sampai RM100 juta!”  Hujah itu bertujuan menghalalkan perbuatan korupsinya kerna ada korupsi lain yang sangat besar, yang baginya tidak dikenakan apa-apa hukuman.  Sungguh agama tidak dimaksudkan begitu.  Jika kita mencuri atau korupsi, kita menanggung dosanya sebagaimana orang lain melakukan kezaliman yang  dilakukan. “Mereka tidak dibalas melainkan seperti apa yang dikerjakan.” Maksud surah As-Saba’ ayat 33.

Maksud surah Ibrahim ayat 21 pula, “Dan mereka semuanya (di padang mahsyar) akan berkumpul menghadap kehadiran Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong: ‘Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan dari pada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja?’ Mereka menjawab: ‘Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, niscaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita apakah kita mengeluh atau bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri”.


Allahu aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan