MEMANG khutbah shalat iduladha di Pahang berbau
politik kepartaian. Secara terang khatib membacakan teks yang menyebut
nama-nama parti politik. DAP secara jelas didakwa menentang Islam. Teks khutbah
ini merupakan satu contoh istimewa terhadap penggunaan mimbar masjid untuk
politik.
Ada dua sudut yang boleh dilihat dalam kasus ini.
Pertama khutbah memang mengajak umah menuju kebaikan, iaitu meminta umah
bersatu sikap dan pendirian terhadap isu Islam walaupun berbeda parti
politik. Teks khutbah menyebut ahli-ahli
parti Pas, Umno, GHB dan PKR yang mmuslim patut bersatu. Ini tidak menjadi isu politik sebab tidak ‘mencederakan’
mana-mana parti politik yang disebut itu.
Kedua, khutbah telah mencederakan DAP sebagai parti
yang sedang giat mempromosikan parti kepada umat Islam. DAP didakwa menentang
Islam. Ini telah mencederakan parti politik itu. Memang ada sebab DAP marah.
Sebagai andaian, satu khutbah di Selangor yang menyebut Umno parti yang
menggalakkan rasuah, tentulah pemimpin Umno menjadi marah sebab teks khutbah
telah mencederakan parti Melayu itu.
Sebenarnya khutbah hari raya atau penggunaan masjid
untuk politik kepartaian itu bukan menghairankan
mata. Semua parti Melayu/Islam secara sedar telah menggunakan masjid untuk
meraih keuntungan politik. Majlis-majlis
penyampaian sumbangan di masjid yang
secara jelas banyak logo parti politik telah berlaku. Ceramah atau kuliah agama
yang semua isinya sama seperti ceramah politik (tetapi tidak disebut nama parti
dan ahli politiknya) lagi banyak berlaku.
Pernah dahulu polis tidak membenarkan perhimpunan politik tanpa permit,
lalu perhimpunan itu dibawa ke dalam masjid. Dalam masjid itu 100 persen adalah
ceramah politik. Sebut nama parti yang dibenci dan agungkan tokoh politik
tertentu. Itu berdasarkan pengalaman
mata saya sendiri.
DAP juga telah mengunakan masjid untuk dilhat mesra
orang Melayu apabila wakil-wakil rakyatnya memberi ucapan dalam masjid,
walaupun bukan ceramah politik. Sekilas
ikan di air, orang tahu jantan betinanya.
Alah, isu DAP marahkan Jabatan Agama Islam Pahang
(JAIP) akan hilang begitu saja seperti isu wakil rakyat perempuan DAP memberi ucapan dalam masjid. Isu pemimpin
parti tidak beragama Islam masuk beranda masjid tanpa membuka kasut pun tidak
menjadi kudis.
Politik, apa saja boleh berlaku dan tidak ada apa-apa
yang boleh dilakukan sekalipun kelakuan itu tidak ada adab sopan langsung.
Pemimpin politik merupakan orang yang tidak akan terus mempertahankan sikapnya.
Mereka umpama lalang. Semua begitu, sama ada yang kepala botak, bersongkok,
berserban, bertudung kepala atau yang suka berseluar pendek!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan