Halaman

Ahad, Februari 08, 2015

TAK baguslah tegur Perdana Menteri secara terbuka

foto hisan
TELAH banyak bencana atau fitnah akibat pemimpin muslim sesebuah negara dinasihati atau dicerca secara terbuka. Bagi demokrasi Barat itulah kebebasan bersuara dan hak setiap rakyat berkata-kata mengenai pemimpinnya. Namun Islam tidak mengajarkan begitu!

Pemimpin muslim sama juga jiran atau kenalan muslim yang lain, yang perlu dilayan dengan kasih sayang. Jika jiran, kenalan atau sesiapa juga tidak boleh didedahkan keburukannya, maka begitu jugalah pemimpin sesebuah negara.

Allah memberikan kaedah bagi orang yang layak untuk menegur pemerintah. Nabi Musa diarah untuk menegur Firaun dengan lemah lembut, walhal Firaun telah mendakwa sebagai tuhan dan sangat kejam iaitu membunuh bayi-bayi lelaki.  Antara sifat manusia untuk menerima pandangan atau nasihat ialah daripada orang yang diterimanya sebagai ‘sahabat’. Maksud ‘sahabat’ ialah yang bicaranya tenang dan tidak mendedahkan keaiban orang lain. Begitulah yang Allah perintahkan kepada Nabi Musa dan Harun terhadap Firaun.

Maksud firman Allah dalam al-Quran, “Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia ingat atau takut.” (Surah Thaha, 20: 43-44)

Ada satu (salah satunya) hadis yang dapat dijadikan panduan kepada yang berminat menasihati pemerintah besar seperti Raja atau Presiden negara. Seorang sahabat Hisyam bin Hakim r.a. telah memarahi seorang sahabat lain iaitu ‘Iyadh bin Ghanm r.a..  Kisahnya ‘Iyadh telah memukul seorang Gabenor atau pemerintah kerana dia melihat Gabenor itu melakukan kesalahan. Perbuatan itu dilakukan di depan khalayak ramai atau terbuka.

Hadis ‘Iyadh bin Ghanm radiallahu ‘anhu: Maksudnya: Daripada jalan Abdullah bin Ahmad daripada ayahnya (Imam Ahmad) kata beliau (Abdullah bin Ahmad): telah dikhabarkan kepada kami Abul Mughirah kata beliau: telah dikhabarkan kepada kami Safwan daripada Syuraih bin ‘Ubaid daripada Jubair bin Nufair kata beliau: ‘Iyadh bin Ghanm telah memukul Gabenor Dara (penguasa wilayah Dara) lalu Hisyam bin Hakim r.a. telah memarahi beliau (‘Iyadh)  dengan ucapan yang kasar sehingga menyebabkan ‘Iyadh pula menjadi marah.
     Lalu setelah beberapa malam datanglah Hisyam kepada ‘Iyadh untuk memohon maaf.  ‘Iyadh berkata kepada Hisyam: “Tidakkah kamu mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling berat azabnya (di akhirat) ialah orang yang paling berat seksaannya terhadap manusia yang lain di dunia?”
     Maka Hisyam berkata kepada ‘Iyadh, “Kami telah mendengar apa yang kamu dengar dan kami juga telah melihat apa yang kamu lihat, namun tidakkah engkau pula mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang hendak menasihati orang yang mempunyai kekuasaan am (pemerintah) maka janganlah dia lakukan secara terang-terangan tetapi hendaklah dia bersendiri dengannya (berjumpa empat mata), jika dia (pemerintah) menerima nasihat itu maka itulah yang dikehendaki, namun jika tidak (diterima nasihatnya) maka seseorang itu telah melaksanakan tanggungjawabnya”.   (Hadis ini dikeluarkan Imam Ahmad dalam Musnad)

Sebaliknya, jika pemimpin ditegur secara terbuka sama ada dengan ucapan atau melalui tulisan terbuka, pemimpin telah diaibkan dan maruahnya jatuh.  Kesan daripadanya ialah masyarakat kurang memberi hormat sedangkan Allah telah memerintahkan rakyat mentaati pemimpin muslim. Ini bermaksud teguran terbuka itu membuat sebagian rakyat yang jahil melanggar perintah Allah dalam ayat 59 surah an-Nisa.


Wallahu ‘aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan