Halaman

Isnin, Februari 16, 2015

KAKITANGAN Melayu-Islam curi tulang juga....

PEKERJA curi tulang bukan ikut ajaran Islam. Blog ini sependapat dengan rencana dalam Sinar Harian. Malah bertambah kesal apabila disebut kakitangan awam, rujukannya ialah bangsa Melayu yang berpegang pada ajaran Islam. Malah ada kakitangan awam Melayu ini yang sentiasa bersongkok dan yang perempuan bertudung labuh, sebagai salah satu tanda orang yang faham agama. Eloklah yang buruk ditinggalkan demi hari akhirat.

hanya hiasan, ihsan Sinar Harian

SIKAP segelintir kakitangan awam curi tulang waktu bekerja ibarat kudis lama yang masih tidak pulih dalam sektor perkhidmatan awam.

Melihat kelibat mereka menghisap rokok selepas sarapan, walaupun jam menunjukkan 10.30 pagi di gerai-gerai bukanlah perkara asing.

Malah ada yang sanggup ke luar kawasan, semata-mata mahu menikmati makanan kegemaran mereka tanpa menghiraukan waktu bekerja.

Ada juga yang mengambil kesempatan berniaga dalam pejabat, melakukan urusan peribadi, urusan ke bank, mengambil dan menghantar anak ke sekolah dan pelbagai lagi kegiatan yang sinonim dengan budaya kerja segelintir penjawat awam.

Ini belum dikira dengan kedatangan lewat tetapi menuntut kerja lebih masa apabila pulang lambat.

Baru-baru ini juga, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegur penjawat awam di Selangor yang culas dan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Namun, kebanyakan mereka terus berasa selesa dengan pelbagai imbuhan tetapi mutu kerja yang diberi tidak setimpal.

Disebabkan segelintir perangai jelik penjawat awam ini, masyarakat terus memandang serong terhadap sektor awam walaupun yang melakukan perkara itu bukanlah semua.

Ikuti kupasan Sinar Harian dalam isu membabitkan segelintir kakitangan awam yang dilihat seolah-olah makan gaji buta dan tidak komited dalam menjalankan tanggungjawab hakiki mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan