Halaman

Sabtu, Januari 03, 2015

PAS-UMNO tidak akan bersatu sebab banjir besar


BANJIR adalah rutin tahunan rakyat, bukan satu anjakan untuk pemikiran.  Agaknya itulah respon yang sesuai apabila cadangan kerajaan campuran Pas-BN di Kelantan ditolak mentah-mentah oleh pemimpin  kedua-dua pihak.  Setiap kali banjir memang ada yang mati, sama seperti setiap hari ada yang mati akibat kemalangan di jalan raya. Setiap kali banjir ada kemusnahan. Kerajaan negeri dan persekutuan ada peruntukan untuk disalurkan kepada rakyat. Itu semua telah difahami, jadi tidak ada sebab banjir boleh mengubah pemikiran pemimpin dan rakyat.

Malah banjir menjadi satu lagi peluang untuk berpolitik atau meneruskan persaingan siapa paling hebat berkuasa. Tuduh-menuduh dan bangga-membangga bagi ahli-ahli politik dan pengikut mereka sentiasa ada.  Itulah antara rutin banjir, sekalipun banjir kali ini dikatakan sangat dahsyat berbanding tahun-tahun sebelumnya.


Yang menderita dan kerugian besar adalah rakyat, bukan pemimpin dan pengikut tegar mereka.  Semua pemimpin politik desa, daerah, negeri dan negara adalah orang yang banyak wang.  Rumah mereka kukuh dan besar. Mereka tidak tinggal di kawasan tadahan banjir. Sebab itu yang melarikan diri ke bukit, yang terperangkap di pusat pemindahan dan kelaparan adalah rakyat biasa.  Kalaulah benar ada antara pemimpin politik yang menderita sama seperti rakyat, sudah lama menjadi hebahan umum dan cerita-ceritanya diguna untuk menaikkan imej dirinya, di samping mengutuk lawannya.

Maka tidak ada pemikiran ahli politik Melayu-Islam untuk bersatu disebabkan membangunkan sebuah negeri Melayu!

Sebenarnya tanpa banjir pun bagi rakyat biasa sudah lama mahukan parti politik Melayu-Islam bersatu. Rakyat tidak mendapat laba yang besar sekalipun orang atau  parti yang diundinya menang pilihan raya.  Gajinya tidak naik disebabkan parti politik. Soal pembangunan di sekitaran, semua sudah faham bahawa mana-mana pihak yang menang mesti bertanggung jawab melaksanakan amanah itu.  Bukan sebab kalau parti itu kalah maka tidak ada liputan internet atau diputuskan bekalan elektrik.

Yang hendak menjana harta dan mengukuhkannya ialah ahli-ahli politik. Apabila dirinya menang menjadi wakil rakyat, banyak peluang berharta lebih berbanding sebelumnya. Bukan menuduh wakil rakyat menjana pendapatan haram. Hakikatnya dengan menang sebagai ahli politik, dia boleh dilantik ke jawatan-jawatan berelaun tinggi. Menjadi pengerusi syarikat kerajaan dengan elaun puluhan ribu ringgit, siapa yang menolak!  Sebab itu dalam partinya saja pun mereka saling bersaing dan jatuh-menjatuh.  Siapa menang dia mendapat banyak laba.

Oleh itu untuk dua parti yang selama ini berkerat rotan dan berpatah arang bersatu atau berkongsi segala-galanya adalah sangat tidak munasabah.  Adakah mudah mereka yang sudah ada kedudukan dan laba dalam kerajaan negeri atau persekutuan melepaskan jawatan itu untuk diserahkan kepada pemimpin parti yang selama ini sangat dimusuhinya.   

Jadi fahamlah, bahawa kebanyakan ahli politik itu bukanlah berjuang ikhlas hati kerana menyahut seruan Allah atau melaksanakan agenda rakyat. Allah menyeru orang bersatu, dan saling memaafkan. Ahli politik putar sana-sini. Rakyat mahu pemimpin bersatu, ahli politik ada agenda lain.


Bagi pemimpin politik, tanpa persatuan parti-parti Melayu-Islam pun rakyat dapat hidup dan tidak kelaparan. Jadi mahu apa lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan