Halaman

Rabu, Disember 17, 2014

APA itu rasuah?

RASUAH salah satu cara mendapatkan harta atau wang secara salah.  Allah telah menyebut kes ini secara jelas dalam al-Quran ayat 188 surah al-Baqarah (maksusnya), “Dan janganlah kamu makan harta dengan jalan yang batil/salah dan (janganlah) kamu menyuap harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.”

(Daripada sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - SPRM)

Apa itu rasuah?

Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
 Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]
 Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009]
 Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]
 Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 ASPRM 2009]
Berdasarkan Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) (Akta 694), hukuman yang dikenakan terhadap empat kesalahan rasuah tersebut adalah :
Penjara : Tidak melebihi 20 tahun dan;  
Denda : Tidak kurang lima (5) kali ganda suapan atau RM10, 000 ; mana yang lebih tinggi.  

Gagal melapor rasuah
Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah

Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009

DENDA : Tidak lebih RM100,000  

PENJARA : Tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali  

Gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan
Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009

DENDA : Tidak lebih RM10,000

PENJARA : Tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali
Anda dilindungi
Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.

PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.
PEMBERI MAKLUMAT boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan