Halaman

Sabtu, November 15, 2014

MENCARI sampah dalam masyarakat


AKHIRNYA yang difikirkan oleh pejuang kelestarian alam sekitar tampak menemui cahaya di hujung terowong apabila kerajaan akan memulakan program pengasingan sampah.  Pada tahun hadapan, penghuni rumah diwajibkan mengasingkan sampah-sampahnya, mana yang kaca, kertas , plastik dan besi.

Tindak kerja seperti itu sudah lama dilaksanakan di negara-negara bukan Islam seperti Britain, Sweden, Jepun atau Korea.  Sekali lagi menjadi satu ujian kepada umat Islam di negara ini adakah mereka bakal menjadi masyarakat contoh dalam gerak kerja nasional ini.  Umum tahu kritikan penceramah agama bahawa kebersihan dalam kalangan masyarakat Islam belum dapat dijadikan contoh terbaik.  Masih ada waktu untuk mengisi isu kelestarian alam dalam khutbah Jumaat, usrah mingguan, tazkirah muqayam, kempen kebersihan dalam rehlah, kuliah maghrib, ceramah Maulidur-rasul, ceramah Isra Mikraj dan lain-lain wacana. Masih sempat dijadikan mauduk tarbiyah umat.

Ini berita rasmi kerajaan kita.

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI  |  15 November 2014 12:31 PM
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan pengasingan sisa di punca secara mandatori mulai tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, usaha tersebut akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula pada September 2015.

“Pelaksanaan akan dijalankan di negeri yang melaksanakan undang-undang yang tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal.

“Pihak kementerian akan menggunakan konsep 3R iaitu reduce, reuse dan recycle (mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula) sebagai komponen utama dalam pengurusan sisa pepejal,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kitar Semula di Taman Tasik Universiti Putra Malaysia, Serdang dekat sini hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Arfah Abdul Razak. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan