Halaman

Selasa, November 25, 2014

AGAMA dan adat Melayu berpisah tiada

pulut kuning asalnya dalam mistik Hindu

majlis marhaban sangat berunsur agama Islam

ADAT merupakan hal-hal istimewa muncul bersama kehidupan bermasyarakat tanpa dirancang, manakala agama merupakan satu kepercayaan terhadap Tuhan yang terancang dan berprinsip. Dalam konteks perbincangan untuk masyarakat Melayu, agamanya adalah Islam.

Bagi bangsa Melayu, agama Islam dan adat ‘berpisah tiada’.  Yang digelar alim-ulama, yang dikatakan mahir dalam agama juga mahir dalam hal adat resam Melayu. Atau mereka sebagai pemuka agama tidak mahu membedakan antara agama dan adat.  Hal ini sudah sebati.  Pada zaman penjajahan, perjanjian yang menyerahkan kuasa-kuasa raja Melayu kepada British, hal agama dan adat tidak diusik.  Agama yang difahami bukanlah sebagaimana yang difahami oleh ilmuan pada zaman kehebatan Islam di Andalus (Bani Umayyah) dan Baghdad (Bani Abasiyyah), bukan! Islam yang difahami di alam Melayu hanya dalam bentuk ritual yang tidak ada kaitan dengan pemerintahan dan ekonomi.

Oleh itu dalam budaya Melayu, yang dikatakan ahli agama juga merupakan ahli dalam adat resam Melayu. Tanpa disedari adat resam Melayu terbahagi kepada dua, yang disusupi agama dan tidak disusupi agama.  Maka adat yang disusupi agama telah dianggap atau difahami sebagai agama dan diurus oleh orang ahli agama.  Begitulah yang berlaku ratusan tahun sehingga ke zaman moden.

Adat resam Melayu yang tidak disusupi agama seperti berpawang, mandi safar, pengantin bersanding, berkain batik, kenduri kahwin, bersilat, bertepung tawar, jamuan pulut kuning dan memakan sirih (beberapa contoh). Adat-adat ini diamalkan tanpa menunggu kehadiran tokoh dari  masjid dan surau. Dalam adat resam ini ada ahlinya bergelar bomoh dan mak andam.  Pada zaman moden, adat ini terdedah kepada serangan oleh ahli agama, dikatakan berunsur hindu, membazir dan dikatakan haram.

Adat resam Melayu yang disusupi agama seperti kenduri arwah (sebenarnya jamuan makan), kenduri selamatan (setiap kali terlepas bencana atau hal istimewa), sambutan hari raya selepas hari raya pertama, berpakaian melayu, sambutan Maulidur-Rasul dan marhaban ( beberapa contoh).

Kenduri arwah tiga atau tujuh malam berturut-turut, malam ke-100, dan malam ke-1000 sebenarnya berasal dari Hindu-Buddha.  Kenduri itu memang untuk memberi jamuan kepada jiran tetangga. Baru-baru ini ustaz di desa menjelaskan pada zaman dahulu (tahun 40-an dan 50-an) apabila ada kematian ahli keluarga si mati bersegera membuat jamuan yang luar biasa (enak-enak) dan semua penziarah jenazah dijamu makan sebelum jenazah dibawa ke kubur.

Oleh kerna kematian muslim ada kaitan dengan agama, maka ahli agama memain peranan dalam kenduri kematian dengan menyediakan set bacaan daripada al-Quran dan doanya.  Oleh itu kenduri arwah sebagai adat resam Melayu terselamat daripada kritikan ahli agama, kecuali yang difikirkan tidak logik  seperti jamuan besar sebelum jenazah dibawa ke kubur.


Begitulah adat resam Melayu yang sudah sebati dengan agama akan terus menjadi amalan yang dilihat sebagai salah satu ajaran agama Islam. Tidak mudah untuk memberi penerangan antara agama dan adat yang sudah disusupi agama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan