Halaman

Khamis, Oktober 09, 2014

WAJIB menuruti manhaj al-Quran dan sunah

SETELAH bersyahadah “Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah” setiap muslim tidak ada pilihan melainkan meneruskan perjalanan hidupnya menuruti jalan atau manhaj yang disebut oleh Allah dalam al-Quran. Ayat 153 surah Al-An’am maksudnya, “Dan bahawa (Kami memerintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah jalan ini, janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerna jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.  Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar bertakwa.”

Apabila telah jelas dasar kehidupan daripada al-Quran dan ditunjuki oleh Junjungan Besar Nabi Muhammmad, maka terpaksalah disebut adanya jalan-jalan yang mencerai-beraikan umah sebagai amaran.  Tidak lain jalan-jalan yang tersasar itu adalah jalan-jalan yang seakan-akan ‘jalan Allah’ walhal jalan yang direka-reka menurut hawa nafsu.

Bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya), “Antara diutusnya aku dan hari kiamat seperti ini (Baginda mengisyaratkan dua jari telunjuknya dan tengah).”  Baginda selanjutnya bersabda lagi, “Amma ba’du. Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara adalah perkara baru yang diada-adakan (dalam agama), dan semua  bid’ah adalah sesat.” (Riwayat Muslim)

Di situ Baginda Nabi menjelaskan hal dua jalan iaitu jalan Allah dan rasul-Nya yang selamat dan satu lagi jalan palsu bernama agama juga, walhal adalah perkara-perkara baru dalam agama yang menyesatkan akidah.

Oleh kerna terlalu lama bergelumang dengan amalan bid’ah, maka sebagian orang yang bernama besar dalam agama agak meremehkan tuntutan menjauhi bid’ah.  Tidak  apa dengan bid’ah, sebab itu hal furu atau kecil-kecil dalam agama. Antara mereka bisa berhujah bahawa bid’ah itu adalah kebaikan dalam agama. Tujuan bid’ah adalah untuk kebaikan dan sudah turun-temurun menjadi tradisi besar!

Namun manhaj al-Quran dan sunah sudah jelas.  Malah sebelum Baginda Nabi s.a.w. menjelaskan bahaya bid’ah, baginda telah menggetarkan hati para sahabatnya yang mendengar nasihat.

Diriwayatkan daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah r.a., bahawa dia berkata: Suatu hari Rasulullah s.a.w. memberi nasihat yang menggetarkan hati dan membuat air mata kami berlinang. Maka kami berkata, “Wahai Rasulullah, sepertinya ini adalah nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.”

Baginda Nabi Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku wasiatkan agar kalian tetap bertakwa kepada Allah, selalu patuh dan taat meskipun yang memimpin kalian adalah seorang hamba Habsyi.  Sesiapa yang hidup sepeninggalanku, dia pasti melihat perselisihan yang banyak. Maka berpegang teguhlah kepada sunahku dan sunah khulafaa-ur rasyidin (para sahabat) yang mendapat petunjuk.  Gigitlah dengan geraham kalian (pegang/amalkan sunah). Dan berhati-hatilah dengan perkara yang diada-adakan, kerna perkara yang diada-adakan adalah bid’ah sedangkan bid’ah itu adalah kesesatan.”(Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Yang melakukan bid’ah bukanlah orang di luar masyarakat Islam, malah mereka yang kelihatan sangat jelas wajah beragamanya. Maksudnya yang mengamalkan bid’ah adalah mereka yang melakukan amal ibadah dengan harapan tinggi mendapat keredaan di sisi Allah.  Mereka bukan daripada yang terpisah dengan Islam, tidak.  Sebab itu pengamal bid’ah ini Baginda Nabi s.a.w. mengenalinya dan mereka juga mengenali Nabi s.a.w. di akhirat kelak. Namun Baginda Nabi dipisahkan daripada pengamal bid’ah atau yang menyalahi manhaj al-Quran dan sunah.

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a., dia berkata “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), “Aku akan mendahului kalian tiba di Haudh (telaga al-kausar). Sesiapa saja yang tiba di sana pasti meminum airnya dan tidak akan dahaga selama-lamanya. Akan datang kepadaku sejumlah kaum (kumpulan), yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku.  Kemudian aku dipisahkan daripada mereka.”

Abu Hazim berkata, “An-Nu’man bin Abi Ayyasy mendengarnya ketika ketika aku sedang menyampaikan hadis ini kepada mereka.  Beliau (An-Nu’man) berkata, ‘begitukah engkau mendengarnya daripada Sahl bin Saad?’  Aku (Abu Hazim) membenarkannya. Dia berkata, ‘aku bersaksi bahawa aku  mendengar Abu Said al-Kudri menambah ‘Sesungguhnya mereka daripada umatku.  Lalu dikatakan kepadaku, engkau tidak tahu apa yang mereka perbuat sepeninggalanmu. Maka aku katakan ‘semoga Allah menjauhkan (mereka) daripada rahmat-Nya bagi yang menukar agama sepeninggalanku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Wallahu aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan