Halaman

Jumaat, Ogos 29, 2014

MALAYSIA MERDEKA: Bendera kita dikibar di negara luar

Bendera Malaysia dikibar di Selatan Thai pada 31 Ogos tahun lepas
TANGGAL 31 Ogos akan muncul sebagai saksi kemerdekaan Malaysia sudah mencapai 57 tahun!  Semakin lama usia kemerdekaan semakin banyak orang yang terlibat mendapatkan kemerdekaan negara puluhan tahun dahulu, telah meninggal dunia. Maka semakin lama semakin banyak generasi yang kian terpisah jauh daripada zaman pancaroba penjajahan.  Akhirnya kelak tiada lagi orang sumber penting sebagai pencerita yang menceritakan pengalaman sebenar.  Kelak yang ada hanyalah pengetahuan melalui sumber kedua, iaitu melalui bahan audio visual.
 
Bendera Malaysia di Gaza Palestin
Sekarang ini pun semangat kemedekaan tidaklah begitu dirasai sangat kerana emosi generasi kini terhadap kemerdekaan kian luntur.  Jangan kaget jika anak muda mula berkata, “jika tidak merdeka tahun 1957, akhirnya pun merdeka juga!”

Apa pun cerita kemerdekaan, inilah negara yang sangat diperhatikan oleh banyak negara.  Apabila terdapat dua juta warga asing bekerja sebagai buruh kurang mahir di Malaysia, ini bermakna Malaysia menjadi sumber rezeki jutaan manusia lain di luar Malaysia.  Yakinlah mereka bekerja untuk menanggung kehidupan keluarga di negara asal. Katakan secara purata setiap orang pekerja asing ada tiga tanggungan di negara asal, bermakna Malaysia telah memberi makan kepada lapan juta orang.

Saya catatkan cerita kecil rasa syukur sebagai rakyat Malaysia.  Dalam minggu ini di masjid kampung saya dikunjungi dua pengutip derma dari Arab untuk membiayai pusat Tahfiz di Lahore Pakistan.  Seorang telah bercerita kepada saya mengenai Pakistan yang sebenarnya tidak banyak beda dengan kehidupan di Gaza.  Yang membedakannya hanyalah Gaza sering diserang sampai hancur, namun kemiskinan di Gaza dan Pakistan tidak banyak bedanya! 
 
Dua lelaki asing mencari dana di desa,
berfoto dengan ayah saya
Mereka melihat kehidupan rakyat di Malaysia sangat bertuah jika dibandingkan dengan rakyat Pakistan.  Sangat jauh bedanya.  Sebab itulah mereka berkelana ke seluruh pelosok Malaysia kerna yakin umat Islam Malaysia mampu menghulur derma untuk pembangunan madrasahnya.

Satu lagi bukti kemampuan rakyat Malaysia ialah mengenai bantuan kewangannya kepada umat manusia di Gaza. Tidak dinafikan bahawa nama Malaysia menjadi sebutan rakyat di Gaza kerna keperihatinan kita terhadap kehidupan rakyat di Gaza. Bendera kita dikibarkan bendera Palestin sebagai tanda keakraban antara dua negara.  Inilah Malaysia yang secara geografinya hanya sebuah negara kecil di kepulauan Asia Tenggara.  Malaysia dikelilingi negara jiran yang berpenduduk lebih 100 juta seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan tak lama lagi Filipina. Malaysia menampung sekadar 30 juta manusia termasuk dua juta warga asing.

Kalau pun kita tidak pernah ke luar negara untuk membanding kehidupan rakyat di sana dengan di Malaysia, cukuplah dengan melihat kebanjiran warga asing di sini sebagai tanda Malaysia menjadi tumpuan pencari makan. 

Jangan ingat juga bahawa negara ini tidak diintai oleh negara-negara asing untuk dilangkahi melalui apa cara sekalipun.  Malaysia pernah digoda untuk memenerima bantuan IMF sewaktu disabotaj krisis ekonomi tahun 1998. Mujur pemimpin negara cukup berani menolak ‘bantuan’ yang sebenarnya jerut terhadap setiap rakyat.

Imej-imej Malaysia juga sedang diganggu agar negara ini tidak megah di persada dunia. Lihatlah situasi yang melanda penerbangan MAS. Cukuplah dengan mengatakan jika  MAS jatuh maka kemungkinan satu demi satu pusat stratgik Malaysia akan terjejas sama.


Dirgahayu Malaysia. Semga Allah memelihara negara tercinta ini daripada sebarang usaha buruk dari dalam dan luar negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan