Halaman

Sabtu, April 12, 2014

HARAM beribadah kecuali ada dalil yang memerintahkannya

ADA yang mudah memberikan kaedah penetapan hukum ibadah di sisi Allah iaitu, “Apa yang baik adalah ibadah”.  Selalunya kaedah ini muncul apabila berlaku dialog berkaitan amalan sunah dan bid’ah. Pengamal sunah memperteguh sikap mengenai amalan ibadah yang tidak ada dalam syariat merupakan ‘hal yang diada-adakan atau direka-reka’.  Bagi pihak yang tidak memperdulikan amalan sunah atau bid’ah, memang tidak suka dibahaskan perkara sunah dan bid’ah.  Maka mereka mesti berhujah yang semua amalan ibadah berdasarkan ‘apa yang baik adalah ibadah’.


‘Apa yang baik  adalah ibadah’ pun hujah yang sangat rapuh. Misalnya, mereka menerima semua bacaan dalam setiap rakaat adalah baik dan perkara itu memang ibadah, namun mereka terdiam apabila disaran menambah satu rakaat lagi dalam solat Subuh! 

Kaedah yang betul dalam penetapan ibadah dan hal keduniaan adalah seperti berikut: Hukum  asal bagi semua ibadah adalah haram (dilakukan) kecuali terdapat dalil yang memerintahkannya. Hukum asal bagi hal keduniaan adalah halal (dilakukan) kecuali terdapat dalil yang membataskannya.


Mohd Yaakub Mohd Yunus (2008) dalam buku Bid’ah Hasanah Tokok Tambah Amalan Rasulullah telah mencuplik catatan Imam Ibn Qayyim r.h dalam kitab I’lam al-Muwaqqi’in Jilid 1 (muka surat 344), “Kita sedia maklum tidak ada yang haram melainkan sesuatu yang diharamkan Allah dan rasul-Nya dan tidak ada dosa melainkan apa yang diakui sebagai dosa oleh Allah dan rasul-Nya bagi orang yang melakukannya.

“Begitu juga tidak ada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan oleh Allah, tidak ada yang diharamkan melainkan apa yang diharamkan Allah dan tidak ada ibadah kecuali apa yang disyariatkan oleh Allah.  Hukum asal dalam akad dan muamalat adalah harus kecuali jika terdapat dalil yang melarangnya.

“Perbedaan antara kedua-duanya adalah Allah tidak disembah melainkan dengan apa yang disyariatkan-Nya melalui lidah para rasul-Nya.  Ini adalah kerana ibadah adalah hak Allah terhadap hamba-Nya.

Allah paling berhak terhadap urusan ibadah. Dia meredai sesuatu ibadah dan Dia juga yang mensyariatkannya.  Adapun hukum akad, meletakkan syarat dan muamalat adalah diharuskan (melakukannya), kecuali apabila terdapat dalil yang mengharamkannya.”

Perhatikan maksud hadis. Menurut A’isyah r.a. bahawa Rasulullah bersabda, “Jika sesuatu itu termasuk urusan dunia kamu, maka uruslah ia.  Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah)

Menurut Anas bin Mali r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), “Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu.” (Riwayat Muslim)

Perbuatan mengada-adakan amalan ibadah baru selain yang telah dicontohkan oleh Rasulullah bukan perkara remeh-temeh atau ranting yang hanya dipandang sebelah mata.  Allah memberi amaran keras kepada sesiapa yang membuat syariat baru sebagai ajaran agama.  Lihat maksud ayat 21 surah as-Syura, “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan mana-mana bahagian daripada agama mereka sebarang amalan yang tidak diizinkan Allah?  Jika tidak kerna kalimah ketetapan menjadi pemutus (daripada Allah, iaitu untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa tertentu), tentulah dijatuhkan siksa dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim akan mendapat siksa yang besar.”

Agama Yahudi dan Kristian asalnya daripada ajaran utusan Allah, namun hari ini agama-agama itu sudah tidak tulen kerna (dahulu) terdapat ulama-ulamanya yang membuat (syariat) agama lalu dikatakan amalan itu sebagai ajaran agama Allah.


Jika kalangan ulama Islam tidak mengambil iktibar sejarah agama mereka, maka tidak mustahil Islam akan bercampur aduk antara ajaran (syariat) yang tulen dengan amalan bid’ah yang dikatakan amalan Islam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan