Halaman

Isnin, Disember 23, 2013

EMOSI rakyat sebab kos hidup, terpulang pada DAP!

PARA terakhir tulisan kolumnis Sinar Harian, Dr Ridhuan Tee Abdullah boleh dijadikan satu panduan besar kepada parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Tulisannya yang diberi tajuk ‘Jangan Sakiti Hati Melayu’ menyatakan perasaan orang Melayu yang selama ini memihak kepada Umno-BN pun sudah terguris dengan kenaikan kos hidup akibat kenaikan harga barangan.



Dia mengakhiri, “Ingatan saya kepada Umno BN, jangan biarkan hati Melayu semakin terluka.  Tidak mustahil Melayu akan beralih kepada  parti ultra kiasu.  Kempen mereka sedang berjalan. Jika satu hari nanti ultra kiasu  cenderung kepada Islam, saya bimbang ketika itu Umno sudah tidak relevan lagi, kerana mereka sudah ada Pas.  Hari ini Melayu masih bersama Umno kerana tawar hati dengan Pas bersama ultra kiasu, penentang Islam.”

Zaman sudah berubah dan pemikiran manusia pun berubah.  Kenaikan barangan akibat dasar-dasar kerajaan memang menjadikan rakyat panas hati.  Manusia dalam keadaan panas hati, akan melakukan tindakan segera sekurang-kurangnya untuk melepaskan kemarahannya.  Inilah peluang besar PR untuk menawan semua pengundi yang marah dengan kenaikan kos hidup.  Berdasarkan pandangan Dr Ridhuan Tee, orang Melayu akan segera mengundi PR jika DAP yang selama ini sangat dicurigai oleh majoriti Melayu berubah kepada Islam.  Bukan semestinya sebilangan pemimpin DAP memeluk Islam, cukuplah apa agenda Pas yang selama ini tersekat akibat tembok DAP dilonggarkan, pasti Melayu (yang selama ini mengundi BN) akan mengundi PR dalam PRU-14 nanti!

DAP boleh mengubah sikapnya yang dilihat antibudaya Melayu yang menolak memakai songkok dalam majlis diraja, berubah dengan berpakaian sut Melayu.  Jika ada anggota DAP hendak memasuki masjid, hendaklah bersifat seperti pelancong yang sentiasa sabar dan senyum dengan peraturan memasuki masjid. Jangan lagi ada anggota DAP yang bertindak agresif dengan laungan azan di mana-mana pun.  Dan yang paling penting, jangan menentang secara kasar hasrat Pas melaksanakan Hudud.  Gambaran DAP nanti akan melunakkan Melayu dan memudahkan orang Melayu mengundi Pas dengan syarat.  Syaratnya kemarahan orang Melayu akibat kerugian disebabkan banjir dan kenaikan harga barangan utama akibat dasar-dasar kerajaan BN berkekalan sehingga mereka memasuki pusat pengundian pada PRU-14.

Seseorang boleh mengubah pendirian politik dengan sebungkus roti, tidak perlukan bukti ilmiah berjela-jela. Siapa yang dapat menguasai emosi pengundi, dialah yang akan berjaya dalam politik.


Tulisan Dr Ridhuan Tee juga merupakan amaran terbuka kepada kerajana BN di Putrajaya sama ada bersedia untuk terus memerintah dengan memberikan keselesaan kepada rakyat terutama Melayu atau bersiap untuk mengemaskan semua barangan di semua kementerian.

Sebenarnya ini adalah zaman sukar kepada sesiapa pun yang berkuasa, termasuk PR di negeri-negeri yang dikuasainya.  Rakyat hanya mahu tahu yang selesa, tidak ada pengorbanan apa-apa.  Salahnya mereka yang memerintah sentiasa memberikan ikan untuk dimakan, bukan memberi pancing untuk rakyat memancing ikan. DAP Selangor pun sudah faham masalahnya di Selangor!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan