Halaman

Rabu, November 13, 2013

KAUM Muda, adakah nenek-moyang kami tidak Islam?

Kaum Muda dalam buku sejarah di sekolah
DAHULU semasa saya remaja sering diajak berbicara oleh rakan-rakan yang lebih dewasa mengenai perlunya kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis nabi. Dalam usrah-usrah kami yang baru mengenali Islam ditekankan pentingnya ajaran al-Quran dan hadis atau sunah untuk menyelesaikan masalah umat Islam di negara kita.

Dalam sejarah sudah ada gerakan Kaum Muda atau Gerakan Islah yang mahu orang-orang Melayu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunah, demi membina kemajuan bangsa.  Mudahnya, kerna tidak mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunah, maka orang Melayu yang sudah beratus-ratus tahun beragama Islam masih mundur.

Bangsa Melayu paling miskin dibandingkan dengan bangsa Eropah dan Cina.  Bangsa Cina yang asalnya pendatang, menjadi buruh pada akhir kurun ke-19 sudah mengalahkan bangsa Melayu.  Bangsa Melayu ketinggalan dalam serba-serbi baik pemilikan harta atau ekonomi, kekuasaan politik termasuk pendidikan.  Di situlah munculkan golongan yang kenali sebagai Kaum Muda, menyeru orang Melayu mengamalkan ajaran Islam sebenar supaya dapat maju seperti bangsa-bangsa lain. Itu pada awal abad ke-20.

Oleh kerna Islam bukan sahaja ada dalam lapangan politik, ekonomi dan sosial, maka hal ibadah pun termasuk dalam seruan Kaum Muda kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunah.  Bukan sahaja gesaan Kaum Muda agar orang Melayu pergi ke sekolah Inggeris, belajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Pertanian seperti bangsa Eropah dilawan oleh golongan ulama yang berfikiran kampungan, malah seruan meninggalkan kerja bid’ah, khurafat dan syirik juga menjadi debat agama pula.

Berapa banyak dulu yang terhasut dalam pemikiran kampungan atas nama agama, tidak boleh ke sekolah Inggeris kerna itu sekolah Kristian.  Anak-anak perempuan juga masih dibesarkan hanya untuk dijadikan isteri. Di situlah Kaum Muda membuka madrasah di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura untuk menampung seruan anak perempuan belajar agama dalam sistem moden, bukan sistem pondok.

Yang dinamakan ulama kampungan bagai tidak dapat menyekat pemikiran moden dalam pendidikan, tetapi mereka berjaya menahan kemaraan pemikiran benar dalam beramal ibadah.  Kuasa pentadbiran agama di negeri yang beraja berjaya menahan reformasi ibadah, iaitu ibadah yang tulen hanya bersandarkan al-Quran dan sunah nabi.  Sebab itulah sampai hari ini isu yang dibangkitkan untuk melawan seruan kembali kepada al-Quran dan sunah nabi dalam ibadah berjaya dilawan dengan ayat-ayat yang emosional.

Hari ini orang Melayu sudah berfikiran maju dalam semua hal, menepati anjuran al-Quran dan sunah. Namun dalam politik, British telah memasang perangkap besi yang kukuh sehingga orang Melayu sanggup bertelagah atas nama demokrasi yang diwariskan British. Masalah baru apabila seruan supaya orang Melayu bersatu dalam politik dikatakan seruan ‘mengampu pemerintah’ dan digambarkan betapa hina bersikap demikian.  Berhujahlah dengan ayat al-Quran dan hadis yang sahih pun, tidak dapat melenturkan kecintaan kepada kepuakan parti politik.


Sementara di sisi lain, kerja memburukkan seruan kepada al-Quran dan sunah dalam ibadah tetap teguh.  Sangat mudah memanipulasi emosi masyarakat Melayu apabila kenduri-kenduri arwahnya didakwa tidak berasal daripada sunah nabi. Bukan soal mahu berhujah dengan wahyu dan sunah demi kebenaran ibadah, orang Melayu cukup disuap dengan emosi melulu.  Dalam bab ini, tidak mudah menawarkan amal ibadah menuruti sunah, cukuplah warisan nenek moyang.  Mereka bertanya kembali, ‘apakah nenek-moyang kami tidak Islam?’ Ayat itu sudah cukup menarik sokongan melawan arus seruan kepada sunah nabi s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan