Halaman

Selasa, November 19, 2013

BERHENTI politikkan hukum hudud, Prof Agus

oleh: Prof Mohamad Agus Yusoff

Apabila saya menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan pusat, beberapa rakan fb memberi pandangan balas. Ada yang tanpa memahami lebih lanjut menuduh saya menolak dan menentang hudud. Nauzubillah.

Saya tidak menolak dan menentang hudud. Saya katakan, hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa kelulusan parlimen, yakni tanpa kerjasama dari kerajaan pusat. Itu yang saya tulis.

Betul, agama adalah bidang kuasa negeri, tetapi Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) menyatakan “apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut” adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Akta 355 adalah akta yang digubal di parlimen, maka negeri tidak boleh melebihi kuasa ini kerana sebarang percanggahan dengan undang-undang pusat, dengan sendirinya kuasa negeri terbatal setakat yang bercanggah itu (Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan).

Justeru negeri mempunyai kuasa yang terbatas, maka saya nyatakan cukuplah politikkan hukum hudud ini. Jika PAS betul-betul hendakkan hudud ini dilaksanakan, carilah penyelesaian undang-undang atau politik, bukannya dengan cara PAS dan UMNO saling bercakaran di media dan di pentas ceramah.

Saya pada awalnya tidak mahu menyentuh tentang hal ini, tetapi melihat kepada banyaknya kesan negatif kepada hukum hudud itu sendiri jika penjelasan tidak dibuat, akhirnya saya muncul memberikan pandangan. Ini kerana saya melihat ramai rakyat yang keliru dengan pelbagai pandangan dari pakar dan pemimpin politik yang saling bercanggah. Saya sedih dengan keadaan ini dan sebab itulah saya menyeru supaya kita berhentilah mempolitikkan hudud, sebaliknya carilah kaedah sesuai untuk membolehkan hudud ini dilaksanakan.

Lalu, apakah kaedahnya? Ada lima sahaja yang hendak saya katakan di sini.


Pertama, cabar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di mahkamah untuk mendapat satu keputusan autoritatif sama ada ia sah sebagai undang-undang atau sebaliknya.

Kedua, bagi negeri Kelantan khususnya, minta kerajaan pusat memberi kebenaran supaya Enakmen Hudud Jenayah II Kelantan 1993 dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 76(1)(c).

Ketiga, mana-mana ahli parlimen yang hendak melaksanakan hukum ini, bentanglah rang undang-undang persendirian meminta kelulusan parlimen untuk melaksanakan hukum ini di seluruh persekutuan atau mana-mana negeri yang dimaksudkan.

Keempat, bentangkan usul supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dimansuhkan atau dipinda.

Kelima, PAS dan UMNO yang ahli parlimennya adalah orang Islam (campur dengan ahli parlimen Islam dari Sarawak) perlu duduk semeja dan berunding untuk mencari penyelesaian terbaik kepada cara untuk merealisasikan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud ini. Tapi bolehkah PAS dan UMNO berunding dan bersatu?

Atas hujah di ataslah, saya katakan jika semua pihak tidak bersedia untuk melakukan salah satu dari lima yang saya sebutkan, maka cukuplah dipolitikkan hukum hudud ini. Menyatakan cukuplah politikkan hukum hudud ini bukanlah bermaksud saya menolak hudud.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan