Halaman

Jumaat, November 01, 2013

APABILA kaki bola berebut-rebut di belakang imam

ORANG berebut-rebut tentulah untuk mendapatkan sesuatu yang sangat istimewa.  Misalnya sekarang diberitakan orang berebut-rebut mendapatkan tiket untuk menonton perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia.  Bukan sahaja mereka telah menunggu di kaunter tiket sewaktu orang masih solat tahajud, malah terjulur-julur tangan membeli tiket seperti akan terlepas hak membeli tiket. Ingat ya, mereka membeli tiket bukan mendapatkan yang percuma.


Mengapa begitu? Tidak lain kerna mereka merasakan menjadi penonton perlawanan akhir sepak bola Piala Malaysia sangat istimewa, tidak dapat digambarkan betapa nikmatnya dalam hidup. Sangat nikmat menonton dan bersorak dalam stadium sebab mereka adalah penyokong tegar.  Yang menambah rasa nikmat itu ialah jika pasukan sokongannya mahu menjadi juara kali ketiga berturut-turut atau mahu mahu menjadi juara setelah 50 tahun! Aduhai.  Boleh bayangkan jika Allah mentakdirkan pasukan bola sepak Malaysia dapat beraksi dalam pusingan akhir sepak bola Piala Dunia, lagilah dahsyat kenikmatan yang dijangkakan itu.  Maka fahamlah mengapa perebutan itu berlaku.  Kalaulah tidak kerna ada peraturan atau kawalan, pergaduhan untuk mendapatkan tempat sebagai penonton pasti berlaku.

Dahulu Nabi s.a.w. juga pernah memberi gambaran perebutan manusia untuk mendapatkan kenikmatan.  Baginda Nabi s.a.w. membayangkan manusia akan berebut-rebut mendapatkan tempat paling hadapan jika mereka tahu istimewa dan berharganya kedudukan itu.

Maksud sabda Nabi s.a.w. “Sekiranya manusia mengetahui keutamaan yang ada di dalam azan dan yang berada dalam saf pertama (solat jamaah), tetapi mereka tidak berjaya mendapatkannya, kalaulah caranya dengan melakukan undian tentulah mereka melakukan undian itu.”
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, An-Nasa’I dan Abu Hurairah)

Maksudnya, manusia tidak tahu betapa hebat dan istimewanya ganjaran atau hadiah atau habuan yang Allah akan beri kepada mereka yang berdiri di saf pertama solat jamaah.  Itulah yang Baginda Nabi s.a.w. menyatakan ‘sekiranya manusia tahu….’ Tentulah akan berebut-rebut, tolak-menolak, siku-menyiku dan tentu saja solat berjamaah tidak dapat dilaksanakan disebabkan jamaah tidak dapat bertolak-ansur, semua mahu berdiri di saf pertama.  Akhirnya apabila dibentak-bentak oleh Imam supaya dibuat undian, siapa yang dapat dialah menjadi pendiri di saf pertama, barulah solat dapat dilaksanakan.

Sekiranya manusia tahu apa yang manusia akan dapat nikmati, seperti juga peminat pasukan sepak bola yang sanggup berdiri di muka kaunter tiket sejak jam 5 pagi!  Begitulah sekiranya manusia tahu betapa hebatnya kenikmatan atau istimewanya pemberian Allah disebabkan berdiri di saf pertama, barangkali mereka akan berdiri lebih awal dari jam 5 di pintu masjid sebelum azan Subuh.


Hanya saja kenikmatan atau keseronokan yang digambarkan oleh Nabi s.a.w. itu bukanlah hakikat atas dunia, maka tidak ada pun orang berebut-rebut seperti yang berlaku di kaunter tiket stadium.  Imam atau ulama zaman sekarang pun bukan seperti ulama zaman Salaf yang sanggup melakukan apa saja asalkan tidak terlepas habuan besar di akhirat. Diberitakan seorang ulama Salaf ke kebun kurmanya.  Apabila kembali, didapati orang telah selesai solat Asar berjamaah. Dia berkata, “Inna lillahi…. Telah luput aku daripada berjamaah”.  Dia menyambung, “Aku jadikan kamu saksi, bahawa kebun kurmaku dijadikan sedekah untuk orang-orang miskin.” (Prof.TM Dr. Hasbi Asy Shiddiieqy, Tuntutan Solat Berjamaah, 1995)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan