Halaman

Rabu, Oktober 02, 2013

TONGKAT RM15 ribu - tak percaya

SAYA tidak kaget dengan kesanggupan seseorang membeli satu barang yang hanya untuk disimpan berharga RM satu juta!  Banyak orang, maka banyak sikap dan pemikirannya. Telah banyak berlaku barang yang kepada seseorang biasa tidak ada nilai tetapi telah dibeli oleh seseorang dengan nilai tinggi yang tidak masuk akal. 
Ulama melelong tongkatnya - hanya hiasan
Yang saya kaget ialah apabila orang kuat beragama bertindak seperti orang kapitalis di Eropah mengenai barangan lelong.  Mengapa kaget?  Selama ini hampir semua pengajian agama yang saya lalui, pemberi ilmu mengkritik perbelanjaan yang membazir.  Terlalu banyak contoh yang diberikan oleh para Tuan Guru, ustaz, ustazah atau penceramah termasuk pakar motivasi.  Mudahnya, buat apa membeli sekotak mancis yang pernah dimiliki seorang penyanyi dengan harga RM10,000.00.  Terus terang,  tidak ada guru-guru agama saya memberi lampu hijau untuk anak-anak muridnya berbelanja begitu sekalipun punya pendapatan bulanan puluhan ribu sebulan.

Kepada saya aneh apabila seorang ulama melelong tongkatnya sehingga berharga RM15,000.00. Pembeli itu membeli tongkat kayu seorang ulama semata-mata kecintaannya kepada ulama berkenaan.  Dan ulama itu sendiri yang melelong tongkatnya.

Maka selepas ini orang agama janganlah mengkritik artis melelong berus gigi atau baju dalamnya sehingga bernilai ratusan ribu. Ada manusia yang mencintai artis berkenaan sanggup membayar harganya.  Seperti pembeli tongkat ulama yang tidak pun mahu menggunakan tongkat itu sebab dia masih gagah, pembeli berus gigi dan baju dalam artis pun bukan mahu menggunakannya.  Apa pun pembelian tetap dengan pembayaran.  Kalau ikut apa yang kerap saya dengar, sah pembelian itu satu pembaziran.  Selama ini orang agama tidak mengiktiraf pembelian seperti itu, sangat membazir.

Bagaimana jika untuk menderma?  Jika niat untuk menderma, beri sajalah duit puluhan ribu itu tanpa mendapat balasan apa-apa.  Itulah yang selama ini difahamkan kepada saya.  Beli, tetap beli sekalipun diselindung dengan perkataan takwa, iaitu derma.

Saya teringat kritikan Ustaz Mahmud Mat, penceramah terkenal di Pahang semasa saya di Kuantan dulu.  Dia mengkritik orang muda belanja beribu ringgit membeli ekzos kereta, semata-mata kepuasan diri dan mahu dilihat keretanya cantik – lain daripada yang lain.

Membeli tongkat kayu yang pernah digunakan oleh ulama juga kepuasan diri.  Membeli baju dalam artis juga untuk kepuasan diri.


Jadi, saya tertanya-tanya apa sebenarnya maksud ‘memadai’ dalam perbelanjaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan