Halaman

Rabu, Oktober 23, 2013

POLIGAMI orang kaget, rasuah...biasalah

ORANG lebih kaget jika seseorang tokoh mendedahkan dia mengamalkan poligami berbanding mengamalkan rasuah!  Maka orang tidak hairan sangat apabila seorang tokoh melepaskan rahsianya memberi rasuah demi politik pada masa lalu.  Rasuah sudah menjadi rahsia umum rakyat.  Mujur juga Malaysia masih malu-malu kucing meminta rasuah secara terbuka. Di negara jiran, agensi kerajaannya terang-terang meminta bayaran tambahan kepada pelancong walaupun semua bayaran wajib sudah dilaksanakan.  Rakyat Malaysia yang menjadi pelancong di sana pulang membawa cerita rakyat di sana yang ‘berlapang dada’ dengan rasuah.


Rasuah tetap haram walaupun sudah menjadi rahsia umum atau budaya.  Haram dan dosa tidak boleh dihapuskan dengan semua orang berpakat-pakat menukar nama rasuah kepada ‘sedekah berharap’ misalnya.  Allah haramkannya dalam ayat 188 surah al-Baqarah (maksudnya), “Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan batil, dan (janganlah) kamu menyuap harta kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain dengan jalan dosa, padalah kamu mengetahui.”

Punca rasuah bukan pendapatan kecil. Yang minta rasuah sedang bergaji besar. Mereka minta rasuah bukan RM50.00 tetapi sampai setengah juta ringgit.  Yang berjawatan kecil sebagai penguatkuasa bolehlah berkongsi-kongsi dan sebulan dapatlah RM500.00.  Apakah mereka tidak sedar perbuatan itu haram dan berdosa? Sedar!

Rasuah sebagian kesan daripada rakyat yang tidak perdulikan undang-undang.  Lihatlah bagaimana merdekanya rakyat tidak patuh undang-undang jalan raya.  Mereka tahu semua itu salah, tetapi semua mahu cepat dan mudah. Anak-anak sentiasa dilatih tidak patuh undang-undang, dengan menungang motorsikal tanpa lesen dan topi keledar.  Yang dewasa menunjukkan masa-masa memakai topi keledar hanya ketika ada penguat kuasa.  Ini bukan diajarkan oleh orang buta huruf, tetapi pemegang diploma dan jazah malah ketua-ketua agama yang membaca wahyu Allah.

Orang-orang yang begitu bertekad membenci rasuah pun nampaknya cuba juga mengelak cukai pendapatan dan cukai impot barang.  Cuba lihat pelancong dalam negara di Langkawi (misalnya), mereka yang terdidik tinggi termasuk yang faham agama juga memilih cara ‘bagaimana hendak mengelak cukai’.  Mengelak cukai bermakna mencuri wang negara.

‘Sekecil-kecil’ perbuatan membuang sampah pun, masih memerlukan penguatkuasa untuk memastikan kawasan bersih.  Papan tanda larangan merokok di masjid, termasuk penjelasan dalam khutbah Jumaat, tidak berkesan mendidik orang meninggalkan tabiat merokok di kawasan masjid!

Murid-murid di sekolah pula berbangga jika dapat melakukan perbuatan yang melanggar peraturan. Tidak menjadi ‘hero’ jika patuh undang-undang.  Termasuk juga kepada pengikut parti politik yang tidak berkuasa, mereka diasuh agar melawan undang-undang sebagai tanda berjuang.

Tidak hairanlah rasuah berleluasa. Bukan masalah agama tidak dapat mengawal nafsu makan rasuah, tetapi orang agama pun pandai membelit hukum jika ada kepentingan perut mereka.  Lihat saja adat kenduri arwah yang jelas berlawanan dengan banyak ayat al-Quran, malah Imam Syafie sebagai Imam mazhab juga melarangnya, namun atas nama yang halal seperti ‘bid’ah hasanah’ , ‘khilafiyah’ dan ‘berlapang dada’ maka perut mereka kenyang percuma setiap ada kematian dan majlis mengenang kematian.

Selagi rakyat tidak dapat menjalani kehidupan berpandu undang-undang tanpa pengawasan  penguatkuasa, jangan haraplah rasuah akan dapat dibanteras.  Masalah rasuah hanya salah satu akibat rakyat diasuh melanggar banyak peraturan atau undang-undang.  Apa lagi pada zaman orang berkempen tentang hak-hak asasi manusia dan amalan liberalisme.

Sebenarnya Islam dapat membendung rasuah dan masalah lain, tetapi cara Islam itu difahami nyata memberi kesan baik atau gagal.  Setakat belajar tauhid kaedah sifat 20 yang dikatakan akidah sebagai paksi perbuatan manusia – gagal. Akidah mesti difahami berdasarkan syahadah ‘Tiada tuhan melainkan Allah dan menerima Muhammad sebagai pesuruh-Nya’. Setiap muslim wajib memahami penerimaan Allah sebagai Tuhan bermakna menolak kepentingan lain yang berlawanan dengan-Nya.  Yang berlaku dalam pendidikan akidah ialah membincangkan sifat Allah berbulan-bulan dengan bahasa alafalsafah.  Hendak faham pun susah.  Itulah berpuluh-puluh tahun.  Pembelajaran cara ini tidak membawa pemahaman Islam sebagai satu cara hidup, melainkan Islam sebagai tanda nama sahaja.


Akibatnya, rasuah sebenarnya salah satu daripada banyaknya masalah dalam umah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan