Halaman

Rabu, Oktober 16, 2013

MEREKA mahu umat Islam percaya Allah ada anak lelaki!

DESAKAN pemimpin Kristian Katolik agar kalimah Allah disebut dalam media dan amalan beragama mereka adalah isu besar dalam kalangan umat Islam Malaysia.  Debat boleh atau tidaknya kaum Kristian menggunakan kalimah itu bukan hanya di kedai kopi malah sudah ke Mahkamah Rayuan (mungkin ke Mahkamah Persekutuan pula).


Orang Melayu yang menyokong desakan kepemimpinan gereja Katolik Malaysia pun bukan hanya dalam kalangan yang ‘tidak faham agama’ malah termasuk yang mendakwa pejuang Islam.  Mereka pun sedia dengan hujah sejarah agama sejak zaman sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. lagi.  Ya, bukalah al-Quran, tentu kita dapat menemuinya.  Orang yang menidakkan keinginan gereja Katolik pun ada hujahnya.  Setakat ini, berdasarkan undang-undang, gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam media (termasuk dalam kefahaman beragama) mereka.

Jika gereja Katolik tetap mahu menggunakan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan yang disembah dalam keyakinan beragama mereka, maka bersedialah untuk menerima kritikan daripada penganut Islam.  Kritikan itu bukanlah baru, malah Allah swt. sendiri sudah menyampaikannya kepada gereja (dalam al-Quran disebut kaum Nasrani). Isu utama yang menyebabkan kemurkaan Allah ialah pihak gereja mendakwa Allah mempunyai anak.  Mereka mendakwa Nabi Isa a.s. adalah Anak Allah! Dalam kitab mereka sekarang tidak disebut Nabi Isa tetapi Jesus.  Tidak lain Jesus itu adalah Nabi Isa yang disebut dalam al-Quran. 

Maksud surah al-Baqarah ayat 116, “Dan mereka berkata ‘Allah mempunyai anak’. Mahasuci Allah, bahkan milik-Nya apa yang ada di langit dan bumi.  Semua tunduk kepada-Nya.”

Bagaimana gereja boleh mendakwa Allah sebagai Tuhan yang berkuasa sepenuhnya ke atas seluruh alam boleh menjadi ‘kerdil’ seperti manusia dengan mempunyai seorang anak? Tuhan yang sifatnya tidak sama dengan makhluk perlukan bantuan seorang anak? Akal manusia yang waras pun dengan mudah menafikannya.  Mereka telah mencabar keagungan Allah.  Inilah cabaran manusia yang paling ganas, sehingga Allah mengatakan langit pun hampir pecah disebabkan keceluparan manusia yang beragama Nasrani (baca Kristian apa mazhab pun).

Maksud surah Maryam ayat 88-92,  “Dan mereka (Nasrani) berkata ‘Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.  Sungguh kamu (Nasrani) telah mendatangkan satu perkara yang sangat mungkar.  Hampir-hampir langit pecah kerna ucapan itu, (yang lain) bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh kerna mereka mendakwa (Allah) Yang Maha Pemurah mempunyai anak.  Dan tidak mungkin (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak’ ”.

Penyokong gereja Katolik juga mendakwa penganut agama itu ada hak atas nama ‘kebebasan beragama’ yang dijamin dalam perlembagaan.  Yalah, itu tafsiran yang diguna pakai untuk mendakyah apa juga agama kepada umat Islam.  Umat Islam jangan kagetlah, sebab peringatan Allah sudah lama ada dalam al-Quran.  Kaum Kristian dan Yahudi tidak akan rela atau senyum reda jika kita masih mentauhidkan Allah sebagai Tuhan.  Mereka mahu kita mengatakan Allah seperti yang mereka faham iaitu Allah ada anak lelaki bernama Isa atau Jesus.  Oleh  itu mereka sedang berusaha supaya kalimah Allah diguna dalam keagamaan Kristian supaya sebagian umat Islam di Malaysia dapat menerima fahaman mereka bahawa Allah ada anak lelaki! 

Maksud surah al-Baqarah ayat 120, “Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Nabi Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka.”  Kata Ibnu Abas r.a. kaum Yahudi di Madinah dan Nasrani Najran mengharap agar Rasulullah s.a.w. solat menghadap ke kiblat mereka.  Harapan mereka semakin tipis apabila Allah mengubah arah kiblat muslimin ke arah Kaabah (di Makkah). Dan mereka pun putus asa.  Lihat Tafsir Ibnu Katsir.  Dalam bab menghadap kiblat sewaktu menyembah Tuhan pun mereka mahu muslim ikut cara mereka.


Kesimpulannya, umat Islam kena faham yang gereja Katolik mempunyai misi terhadap umat Islam.  Dan umat Islam mesti bersedia mempertahankan tauhid yang benar, termasuk cara berdebat atau berhujah dengan mereka berkenaan sifat Allah Yang Maha Berkuasa tanpa bantuan apa-apa, sedangkan mereka telah mengubah sifat Allah itu dengan perlukan bantuan seorang anak yang lemah bernama manusia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan