Halaman

Sabtu, September 21, 2013

PEREDARAN matahari-bintang, manusia kaya-miskin semua kerja Tuhan

PADA bulan Ogos yang lalu, saya dan rakan-rakan membuat lawatan ke Langkawi. Dalam jadual pulangnya, dijangka akan berada di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar pada jam 10.00 pagi.  Maka sebaik saja solat subuh semua sudah berkemas untuk menaiki feri yang awal ke Kuala Perlis.  Malangnya, feri yang dapat dinaiki pada pukul 10.00 pagi, dan setelah itu dan ini, hampir jam 1.00 tengah hari baru sampai di kolej berkenaan.  Begitu juga ketika di bandar Alor Setar, tiba-tiba bas yang hendak dinaiki untuk pulang, rosak.  Akhirnya hampir jam 6.30 sore barulah bas boleh bergerak ke Selangor.

Ustaz Abdullah (berkopiah) bersama-sama menolak bas

Semasa menunggu bas dibaiki, seorang sahabat saya Ustaz Abdullah menyataan ‘ada hikmah yang kita tidak tahu mengapa Allah lewatkan perjalanan balik’.  Saya bersetuju dengannya.  Ustaz menambah, “bukan semua yang manusia mahukan Allah beri. Mubin, kau nak jadi jutawan, orang lain pun nak jadi jutawan, tetapi bukan semua dapat.”  Alhamdulillah, walaupun ustaz hanya bercakap dengan saya, namun semua sahabat dan rakan tidak ada yang merungut-rungut disebabkan kelewatan bas bergerak, jauh daripada jadual asal. 

Ya, Allah memberi hak manusia berusaha. Ayat 11 surah ar-Ra’d, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri.”  Namun perlu ingat bahawa Allah yang menetapkan segala-galanya supaya kehidupan ini sempurna.  Allah membanyakkan dan mengurangkan rezeki seseorang sebagai salah satu cara pengurusan kehidupan supaya seimbang sebagaimana yang dinikmati sekarang. Ayat 26 surah Ar-Ra’d, “Allah melapangkan rezeki sesiapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi sesiapa yang Dia kehendaki).”

Bagaimana Allah menambah rezeki seseorang? Mudah saja bagi Allah dan begitu juga mudah saja jika Allah mahu mengurangkan rezeki seseorang. Sebagaimana Allah mengatur perjalanan planet dan bintang supaya seimbang, maka begitu jugalah Dia mengatur perjalanan hidup manusia.  Adanya manusia yang kaya, sederhana kaya dan miskin, merupakan keseimbangan hidup.  Ayat 2 surah ar-Ra’d, “Allah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy.  Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar menurut waktu yang ditentukan.  Dia mengatur urusan (makhluk-Nya) dan menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), agar kamu yakin akan pertemuan dengan Tuhannya.”

Allah mengatur urusan makhluknya, termasuk manusia. Manusia berfikir dan berusaha, Allah menetapkan apa yang patut di sisi-Nya.  Pemerintah tidak mahu ada rakyat miskin, negara maju seperti Amerika dan Jerman pun tetap ada rakyatnya yang dikategori miskin.  Dahulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan menyatakan ‘kemiskinan adalah takdir’ bukan bermakna manusia tidak perlu berusaha.  Tidak ada manusia yang mahu miskin atau kesempitan wang ringgit, tetapi Allah menetapkan begitu. 

Jika anda mewah wang ringgit dan berasa kasihan dengan orang yang dikatakan miskin, cuba salami perasaan dan pemikiran mereka. Adakah mereka saban hari mengeluh dan mencerca nasib yang diterima?  Anda melihat anak-anak mereka ketawa. Semua ahli keluarganya gembira dan tidak menyumpah seranah sekalipun kereta mewah lalu-lalang di hadapan rumah mereka.  Siapa yang menjadikan jiwa mereka tetap tenteram sekalipun mata orang kaya melihat dengan penuh kasihan belas?  Tidak lain Dia ialah Allah, Tuhan yang mengatur kehidupan ini.

Maka janganlah berpura-pura tidak faham apabila orang mendapat hadiah satu juta ringgit, itu juga ditetapkan Allah sebagaimana ada orang kecurian wang satu juta.  Dalam kehidupan, berniaga ada untung dan rugi. Itu juga yang diuruskan Allah.


Apakah kenaikan harga barang dalam kehidupan bukan suatu yang disusun oleh Allah? Atau bab kenaikan harga barang bukan dalam pengaturan Allah terhadap manusia di bumi?  Kerana memenuhi nafsu amarah, jangan sampai mendakwa Allah tak berkuasa dalam bab kenaikan harga gula-gula!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan