Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah
Saya ingin memperkenalkan seseorang kepada para
pembaca sekalian, iaitu Rafiq. Ejaan tepat dalam bahasa Arab ialah al-Rafiq,
disebut sebagai ar-Rafiq. Pengenalan lebih lanjut kepada Rafiq dapat
diperolehi melalui hadis berikut. Ayuh kita membacanya:
Abu Rimtsah berkata, aku bersama ayahku pergi
menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. (Ketika berjumpa, kami melihat)
rambut baginda panjang hingga daun telinga dan diwarnai dengan inai serta
baginda memakai dua kain yang berwarna hijau.
Lalu ayahku berkata kepada baginda:
“Tunjuklah apa yang ada di belakangmu kerana aku adalah seorang doktor
(tabib).”
Rasulullah menjawab: “Allah jualah doktor
sementara kamu adalah seorang Rafiq. Allah jualah yang menyembuhkan apa yang
dicipta-Nya (yakni penyakit).” [Shahih Sunan Abu Daud, no:
3674/4206]
Dalam hadis di atas, orang yang datang menziarahi
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin melihat bahagian
belakang badan baginda. Meskipun tidak dinyatakan, mungkin di belakang
Rasulullah saat itu ada sesuatu penyakit, seperti penyakit kulit. Orang
tersebut memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor atau tabib.
Mendengar pengenalan tersebut, Rasulullah terus
membetulkannya dengan menyatakan bahawa doktor yang sebenar ialah Allah
sementara dia hanyalah seorang Rafiq. Rafiq dalam bahasa Arab bermaksud teman,
dalam konteks ini bermaksud dia adalah teman kepada orang yang sakit.
Penyakit Dan Aqidah Seorang Muslim
Amat penting bagi seorang muslim untuk memiliki
aqidah atau keyakinan yang murni bahawa Allah sahajalah penyempuh bagi
penyakit. Allah jualah yang mencipta penyakit, mengenakan seseorang itu dengan
sesuatu penyakit dan yang akan menyembuhkan orang tersebut daripada penyakit
yang dikenakan-Nya itu.
Aqidah ini dijelaskan oleh hadis berikut: Allah
tidak akan menurunkan penyakit melainkan menurunkan ubatnya (juga).[Shahih
al-Bukhari, no: 5246/5678] Perhatikan awal hadis: Allah tidak akan
menurunkan penyakit… menunjukkan bahawa Allah jualah yang mencipta dan
mengenakan penyakit kepada manusia.
Perhatikan pula hadis berikut: Setiap
penyakit ada ubatnya. Apabila ditemukan ubat yang tepat untuk suatu penyakit,
maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah 'Azza wa Jalla. [Shahih
Muslim, no: 4084/2204] Perhatikan akhir hadis:… maka akan sembuhlah penyakit
itu dengan izin Allah… menunjukkan sembuh atau tidak bergantung kepada
izin Allah meskipun telah ditemui ubat yang tepat.
Perhatikan juga penegasan-penegasan tauhid yang
disebut oleh Nabi Ibrahim, sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Qur’an: Tuhan
yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan
memberi petunjuk kepadaku. Dan Tuhan, Dia-lah jua yang memberiku makan dan
memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dia-lah yang menyembuhkan
penyakitku. Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku. [al-Syu’ara
26:78-81]
Oleh itu apa yang diusahakan oleh manusia seperti
berjumpa doktor, memakan ubat dan menjalani rawatan serta pembedahan, semua itu
hanyalah usaha-usaha ke arah kesembuhan dan ia dibolehkan sebagaimana hadis-hadis
di atas.
Akan tetapi penting untuk memiliki keyakinan bahawa
jika Allah izinkan, dia akan sembuh. Jika Allah tangguhkan, maka dia tidak akan
sembuh sehinggalah ke satu masa yang Allah izinkan baginya untuk sembuh. Jika
Allah tidak izinkan, maka dia tidak akan sembuh sehingga meninggal dunia.
Oleh kerana itulah kita kerap menemui dua orang
dengan satu penyakit yang sama, berjumpa dengan doktor yang sama dan mengambil
ubat yang sama, mereka sembuh pada kadar yang berlainan. Apa yang lebih
dahsyat, ada yang sembuh dalam suasana mentauhidkan Allah kerana dia berkata
“Allah telah menyembuhkan aku.” Sementara seorang lagi sembuh dalam suasana
mensyirikkan Allah kerana dia berkata “Doktor itu dan ubat ini telah
menyembuhkan aku.”
Kaitan antara penyakit dan aqidah tidak tertumpu
kepada penyakit-penyakit berat sahaja, tetapi meliputi semua penyakit termasuk
yang ringan. Ambil saja contoh dua orang sahabat yang Allah uji dengan pening
kepala lalu mereka memakan Panadol (paracetamol). Sahabat yang pertama
mentauhidkan Allah dengan berkata: “Allah telah menghilangkan pening kepalaku”
sementara sahabat yang kedua mensyirikkan Allah dengan berkata: “Panadol telah
menghilangkan pening kepalaku.”
Mengelakkan Syirik Ketika Berubat
Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam menyebut: Allah-lah doktor sementara kamu adalah seorang
Rafiq. Allah jualah yang menyembuhkan apa yang dicipta-Nya (yakni penyakit),
baginda bukan sahaja ingin menegaskan hakikat tauhid tetapi memelihara umat
daripada keyakinan syirik. Ini kerana ramai yang apabila sakit, menaruh harapan
kepada doktor, rawatan dan ubat-ubatan, sehingga berkeyakinan kesembuhan
terletak pada semua itu. Mereka merayu-rayu pada doktor, mengadu berulang-kali
kepada doktor dan sangat-sangat berharap agar doktor dapat menyembuhkan mereka.
Apabila gelaran doktor diubah kepada Rafiq, maka
pesakit akan sedar bahawa beliau hanyalah peneman ketika sakit sementara doktor
yang sebenar ialah Allah. Dengan itu pesakit akan mengubah harapannya,
rayuannya, aduannya kepada Allah sahaja.
Hadis ini juga memberi motivasi kepada para
“doktor” agar jangan melihat atau menganggap diri sendiri sebagai doktor.
Sebaliknya anggaplah diri sendiri sebagai peneman kepada pesakit, peneman
terbaik yang memberi kata-kata nasihat dan motivasi serta memberikan ubat dan
rawatan sebagai sarana ke arah kesembuhan. Lebih penting, peneman yang dapat
menjaga aqidah pesakit agar berharap hanya kepada Allah, bukan kepada dirinya,
rawatan atau ubat-ubatan.
Alloh SWT adalah pemilik kesehatan. Sangat mudah bagi Alloh SWT untuk memberikan sakit atau sehat.
BalasPadamRidho ketika ditimpa penyakit dan selalu bersyukur dan beramal sholeh ketika kondisi badan sehat adalah sikap terbaik.