Halaman

Rabu, Julai 24, 2013

KITA mazhab Syafi'e mahu baca al-Quran atas kubur

TIDAK SAMPAI PAHALA BACAAN AL-QUR'AN KEPADA SI MATI?
July 22, 2013 at 7:00pm

Soalan:

Benarkah golongan yang digelar sebagai Wahabi mengatakan tidak sampai pahala bacaan al-Qur'an yang disedekah kepada si mati? 

Jawapan:

Soalan ini dapat dijawab dengan tiga poin berikut:

PERTAMA

Sebenarnya yang mengatakan tidak sampai pahala bacaan al-Qur'an yang dihadiahkan kepada si mati itu bukanlah golongan yang dilabel sebagai Wahabi sahaja akan tetapi ia juga merupakan pandangan jumhur (kebanyakan / majoriti) para ulamak bermazhab Syafie sendiri.

Dalam kitab الجمل الخازن   juz 4, ms. 236 dan kitab Syarh Muslim juz 1, ms. 90 Imam al-Nawai asy-Syafi’e rahimahullah menjelaskan:

واما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعى انه لا تصل ثوابها إلى الميت

“Ada pun bacaan al-Qur’an maka pendapat yang masyhur dari kalangan yang bermazhab syafi’e bahawa tidak sampai pahala bacaan (al-Qur’an) yang dikirim kepada orang yang telah mati.”

Katanya lagi di dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab juz. 10, ms. 426:

واما قراءة القرآن وجعل ثوابها للميت واصلاة عنه ونحوها فذهب الشافعى والجمهور انها لا تلحق الميت، وكرر ذلك فى عدة مواضع فى شرح مسلم

“Adapun pembacaan al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, membayar solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam asy-Syafi’e dan jumhur (kebanyakan / majoriti) ulamak Syafi’iyyah adalah tidak sampai kepada si mati. Penjelasan ini telah diulang-ulang di beberapa tempat dalam kitab Syarah Muslim….”

Sementara itu, Syeikh al-Haitsami asy-Syafi’e rahimahullah menyatakan di dalam kitabnya الفتاوى الكبرى الفقهية   seperti berikut:

الميت لا يقرأ على ما أطلقه المتقدمون من ان القراءة لا تصله اي الميت لان ثوابها للقارئ والثواب على عمل لا ينقل عن عامل ذلك العمل، قال تعالى: وان ليس للانسان الا ما سعى

“Orang yang sudah mati tidak boleh dibacakan al-Qur’an berdasarkan pendapat daripada para ulamak terdahulu, yakni bahawa bacaan al-Qur’an pahalanya tidak sampai kepada si mati kerana pahala bacaan itu hanya untuk pembaca. Pahala amalan juga tidak akan dipindah-pindahkan dari orang yang mengamalkannya (kepada orang lain) berdasarkan firman Allah: “Dan manusia tidak memperoleh pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya sendiri….”

Imam Muzani asy-Syafi’e rahimahullah berkata di dalam kitab هامش الام للشافعى juz. 7, ms. 269:

فأعلم رسول الله مثل ما اعلم الله من ان جناية كل امرئ عليه كما ان عمله له لا لغيره ولا عليه

“Rasulullah telah memberitahu sebagaimana Allah juga telah memberitahu bahawa dosa setiap orang harus dia tanggung sendiri sebagaimana pahala amal kebaikan juga untuk dirinya sendiri, bukan untuk orang lain…”

KEDUA

Tidak dinafikan di sana wujud perbezaan pandangan di kalangan para ulamak berkenaan persoalan ini. Maka sikap yang benar dalam menghadapi perselisihan ini ialah dengan kembali kepada al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah yang sahih.

Berdasarkan ini, kita bertanya kembali kepada pihak yang memfitnah golongan Wahhabi, di manakah dalil daripada al-Qur'an dan al-Sunnah Nabi yang sahih yang menunjukkan bahawa disyariatkan memindahkan pahala bacaan al-Qur'an daripada orang yang hidup kepada orang yang telah mati?

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam juga pernah kehilangan isteri tercinta dan anak tersayang serta ribuan para sahabat yang gugur di medan jihad, apakah Rasulullah pernah mengirimkan pahala ayat-ayat tertentu di dalam al-Qur'an kepada mereka yang telah pergi meninggalkan baginda? Jika tidak, apakah:

1- Rasulullah tidak sayang kepada mereka semua?

2- Apakah Rasulullah jahil mengenai keutamaan menghadiahkan pahala kepada orang islam yang telah meninggal dunia hingga baginda tidak mengamalkannya dan tidak mengajarkannya kepada kaum muslimin?


KETIGA

Persoalan menarik untuk difikirkan bersama adalah, apakah adil apabila sebahagian besar para ulamak bermazhab Syafi'e yang berpendapat tidak sampai pahala bacaan al-Qur'an yang dihadiahkan kepada si mati tidak dikatakan sesat sementara para pendukung Sunnah Nabi yang berpegang kepada pandangan yang sama baru dikatakan sebagai sesat?

Wallahu a'lam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan