Halaman

Isnin, Mei 13, 2013

KOMENTAR: Perpaduan kaum perlu bermula di sekolah


KEPUTUSAN PRU-13 yang baru berlalu telah memberi petanda bahawa Malaysia kini mula merasai kesan-kesan daripada dasar pelajaran vernakular yang membenarkan bahasa ibunda setiap kumpulan kaum yang terbesar di Malaysia (Cina dan India) dipergunakan seawal peringkat sekolah rendah lagi selain dari Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia) tanpa sebarang pindaan.

Dengan berakhirnya kumpulan pelajar yang berpendidikan Inggeris lebih sedekad lalu, kita mulai merasa sesuatu yang amat berkurangan di dalam masyarakat Malaysia sehingga kita perlu mengadakan program PLKN untuk menyatu-padu remaja-remaja kita.

Perpaduan di antara kaum menjadi semakin rapuh dan amat mudah dipergunakan oleh mereka yang bersikap ekstremis terhadap kaum masing-masing.

Kita mulai kehilangan masyarakat hasil pelajaran yang lebih terbuka terutama dalam segi pemikiran terhadap kaum-kaum yang berlainan kerana pengenalan antara mereka telah dimulai dari kecil lagi tanpa banyak prejudis kaum.

Kita kini berhadapan kumpulan-kumpulan kaum yang diterbitkan dari sistem pelajaran vernakular yang lebih menitik-beratkan jati diri kaum masing-masing.

Walaupun bahasa kebangsaan mampu untuk menyatupadukan rakyat melalui sekolah kebangsaan seperti yang terlihat pada masyarakat di Sabah dan Sarawak, sekolah kebangsaan sekarang semakin gagal menarik minat masyarakat terutamanya kaum Cina melainkan jika mereka tiada pilihan.

Sekolah vernakular ada kebaikannya terutama penekanan dan kaedah tertentu melalui sifat-sifat kaum pendidik itu sendiri yang membentuk tumpuan dan cara berfikir pelajar-pelajarnya melalui penghafalan dan disiplin yang ketat.

Bagaimana pun ia juga akan membawa perbezaan antara kaum itu menjadi semakin luas dan ketara kerana walaupun sukatan pelajarannya dikawal selia tetapi penekanan yang berbeza-beza telah membentuk pelajar-pelajar yang berbeza cara berfikir dan kepentingan.

Memanglah sepatutnya nilai-nilai yang akan membawa kejayaan sepatutnya diterapkan kepada pelajar-pelajar dari awal lagi agar mereka akan lebih bersedia menghadapi tekanan dan cabaran didalam hidup bekerja nanti.

Tetapi jika ia tidak dapat diamalkan sama rata di antara sekolah-sekolah yang berbeza bangsa maka kita akan menghadapi pergaulan yang janggal di kemudian hari.
Maka akan timbul rasa ketidakpuasan hati yang semakin teruk di antara kaum yang melalui asas penekanan pelajaran yang berbeza.

Lebih buruk lagi antara mereka hanya berinteraksi apabila sudah dewasa dan telah melalui indoktrinasi kaum masing-masing semasa remaja dan sukar menerima kaum selain kaum mereka walaupun berada di dalam satu negara.

Masa yang paling baik untuk memulakan pergaulan tanpa prejudis iaitu ketika masih kecil (peringkat tadika dan sekolah rendah) telah terbuang begitu saja.

Kita mungkin dapat melihat sedikit perpaduan yang sementara di dalam sukan apabila mereka mewakili Malaysia.

Dasar Bahasa Kebangsaan juga menjadi lebih sukar kerana sehingga sekarang pun semakin ramai di antara penduduknya tidak pandai atau fasih berbahasa Malaysia seperti yang ditunjukkan semasa proses bancian pada tahun 2010.

Sebaliknya pekerja-pekerja asing dari Nepal, Bangladesh dan India lebih cepat menguasainya di dalam masa yang amat singkat sehingga kita kadang tersilap sangka bahawa mereka adalah rakyat Malaysia.

Seandainya mereka berada di sini pada ketika kita baharu Merdeka tentulah cepat mereka mendapat kerakyatan kerana syarat utama mesti pandai bahasa Melayu ketika itu.
Dasar utamakan bahasa kebangsaan dilihat tidak berhasil mencorakkan perpaduan yang diinginkan kerana kurang diberi kepentingan penggunaannya.

SHARUPIDIN CHE ABDULLAH
Seksyen 6 Shah Alam
(Sumber: Utusan online 13mei2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan