Halaman

Selasa, April 23, 2013

PRU: Penceramah mesti menjerit!


ADA orang mempromosikan politik kasih sayang.  Maksudnya mereka berlainan parti politik atau berbeda pendapat dalam banyak hal tetapi masing-masing hanya memberi hujah berdasarkan isu yang dihadapi.  Mereka tidak membuat sindiran, celaan, provokasi atau  merendah-rendahkan pihak lain!  Bolehkah disuburkan budaya ini?

foto hiasan

Jawabnya ‘jika ada kemahuan, di situ ada jalan’.  Jika tidak mahukannya atas alasan ‘mereka yang mulakan dahulu’ ada 1001 alasan boleh diguna untuk tidak bertamadun dalam berbeda pendapat.  Apabila manusia berbeda pendapat yang akan diberi keputusan menang dan kalah, banyak yang gagal mengawal perasaan.  Lalu perasaan kerap mengatasi pemikiran.  Apabila perasaan sentiada di hadapan, maka ucapan mestilah bernada perasaannya, selalunya perasaan marah.

Tuan Mufti Perlis Dr Juanda membatalkan niatnya untuk terjun dalam dunia politik sekarang sebab katanya ‘politik kita masih belum menerima kesarjanaan dan terlalu sentimen’.  Apabila ucapan mengenai tawaran dalam manifesto sudah kerap didengar, khalayak politik tidak mahu mendengarnya lagi.  Kempen masih banyak hari, lalu untuk menambah banyak khalayak mendengar ceramah politik hanya satu cara: Pendedahan siapakah calon itu!  Nah, maka berduyun-duyunlah orang ke tapak ceramah PRU kita.

Itulah yang menjadikan ceramah politik seperti pesta, mendapat sambutan hangat sebab ucapan yang didengar menyedapkan telinga. 

Manusia bernafsu mana yang tidak suka mendengar cerita dalam kain,
Manusia miskin mana yang tidak suka mendengar cerita si polan kaya dengan tipu muslihat,
Manusia  ‘beriman’ mana yang tidak suka mendengar manusia lain curang.

Semua gambaran yang dilihat merupakan satu perbandingan dengan dirinya.  Dia ada nafsu seks tetapi tidak berzina seperti pemimpin itu.  Dia hidup miskin tetapi tidak mencuri harta orang untuk hidup.  Dia menjaga solatnya tetapi tidaklah berbuat dosa di belakang tabir.  Lalu dia seperti puas dengan hadir dalam ceramah pendedahan sang tokoh.

Sang penceramah pun suka kerna dapat menambah pengaruh pidatonya dengan cara menjual peribadi orang.  Sukar sekali mahu berkasih sayang dalam politik yang diukur dengan siapa paling banyak mendapat sokongan.  Sama ada menang atau kalah,  serupa seperti sama ada hidup atau mati.  Yang menang adalah benar dan mendapat segala-galanya, yang kalah adalah salah dan hilang segala-galanya.

Apapun, landasan hidup tidak dikecualikan sewaktu PRU ini. Umpat, buruk sangka dan perlecehan sewaktu kita berkenduri menjadi dosa, tetap dosa juga pada musim pilihan raya.

Maksud firman Allah ayat 12 surah al-Hujurat, “Wahai orang-orang beriman, jauhilah daripada banyak buruk sangka, sesungguhnya buruk sangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”

Maksud hadis diriwayatkan oleh az-Zubur bin Awam, bersabda nabi s.a.w., “Kalian telah terjangkiti penyakit umah yang lalu iaitu dengki dan marah yang dapat mencukur (memusnahkan).  Aku tidak katakana mencukur rambut tetapi mencukur (memusnahkan) agama.  Demi zat yang jiwaku dalam tangan-Nya, kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman, kalian tidak akan beriman jika kalian tidak saling berkasih sayang.  Mahukah kalian aku beritahu bagaimana cara menumbuhkan hal itu?  Iaitu sebarkanah ‘salam’ dalam kalangan kalian.” (HR al-Tirmizi, Ahmad dan al-Baghawi)  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan