Halaman

Rabu, Mac 27, 2013

BURUK sangka atas nama kebebasan dan hak asasi


PERMUSUHAN membawa perbalahan antara dua pihak.  Permusuhan juga telah menimbulkan pemikiran buruk sangka.  Setiap satu pihak melihat apa yang dilakukan oleh pihak yang dimusuhinya sebagai satu muslihat buruk atau kerja-kerja baik tetapi bertujuan jahat.  Sejarah pada zaman Nabi s.a.w. sudah dirakam dalam al-Quran sebagai pedoman orang-orang yang beriman kepada wahyu Allah dan mahu menambil iktibar.

Dalam ayat 150 surah al-Baqarah, Allah memerintahkan Nabi s.a.w. dan umat Islam (yang waktu itu di Madinah) supaya memindahkan arah qiblat solat mereka dari menghadap Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis) di Palestin ke arah Kaabah di Makkah.  Oleh kerna permusuhan dan kebencian kaum Arab musyrik Makkah kepada umat Islam, maka mereka membuat tafsiran buruk atau buruk sangka terhadap peristiwa ini. 

Kata As-Suddi r.a.,  “Ketika Rasulullah s.a.w. diperintahkan memindahkan arah qiblat dari Baitul Maqdis ke arah Kaabah di Makkah, orang-orang penyembah berhala di Makkah berkata, ‘Muhammad bingung dengan agamanya.  Sekarang dia menghadap ke arah qiblat yang sama dengan kalian.  Dia sedar bahawa kalian lebih benar.  Dia bingung dan ingin masuk agama kalian’.  Dengan cerita yang dituturkan orang Makkah itu turunlah ayat 150 surah al-aqarah itu. (HR Ibnu Jarir)

Punca buruk sangka penyembah berhala di Makkah ialah tidak mahu berfikir mengenai apa yang diseru oleh Nabi s.a.w.  Oleh kerana semangat memusuhi Nabi s.a.w. dan umat Islam sangat tinggi, maka apa saja yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. atau tindakan baginda akan ditafsir dengan pelbagai ayat yang  membawa maksud buruk dan salah.  Mereka menyebarkan pula ayat putar belit hasil pemikiran buruk sangkanya kepada masyarakat agar sama-sama berfikiran buruk kepada Nabi s.a.w.

Hari ini, atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia banyaklah orang dengan mudah membuat tafsiran buruk kepada apa saja yang datang daripada orang atau pihak yang tidak disukainya. Puncanya sama seperti orang Arab penyembah berhala itu: Kebencian, permusuhan dan perbalahan.  Yang dikata sekian buruk atau busuk bukanlah orang yang menyembah berhala, tetapi adalah orang-orang yang sama mengaku beriman seperti dirinya juga.  Sama-sama solat dalam sebuah masjid, kemudian mereka menuju ke arah dua kelompok, lalu saling berbual yang mengumpat kelompok yang tidak bersamanya.

Begitulah apabila sudah termasuk dalam perangkap Yahudi-Nasrani, maka mereka dalam kelompok-kelompok yang saling bermusuhan atas nama hak dan kebebasan.  Menambah buruk keadaan apabila setiap kelompok mendakwa paling beriman, yang memandang kelompok lawannya sebagai kelompok kafir atau munafik.  Setiap kali ketua-ketua mereka membaca ayat al-Quran, mereka membayangkan mereka seperti umah pimpinan Nabi s.a.w. dan memandang lawannya yang muslim sebagai berpemikiran kaum munafik pimpinan Abdullah bin Ubai bin Salul!

Kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah pun akan gagal jika masih menggunakan jalan Yahudi-Nasrani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan