Halaman

Selasa, Ogos 21, 2012

NAH, apabila MCA dan DAP menentang syariah Islam...


MARI kita hayati maksud firman Allah ayat 57 surah al-Ma’idah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamu  jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) antara orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum kamu dan orang-orang yang kafir (orang musyrik atau penyembah berhala).  Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu orang-orang yang beriman.”


Ayat di atas ada menyebut ‘pemimpin’ iaitu orang yang menjadi ketua untuk melakukan kerja-kerja kepimpinan dalam hal kenegaraan.  Pemimpin selalu dikaitkan dengan orang politik sebab politik itu berkaitan dengan kuasa, maka pemimpin adalah orang yang berkuasa.  Kuasa sangat penting untuk melakukan apa-apa perubahan dalam masyarakat.

Dalam negara demokrasi kita, semua warga negara diberi hak sama rata untuk memilih pemimpin atau mahu menjadi pemimpin tak kira sama ada seseorang itu muslim atau sebaliknya.  Kerna sistem demokrasi ini juga, sesiapa juga boleh menjual dirinya sebagai pemimpin yang menjanjikan apa-apa saja kepada masyarakat.  Maka terpulanglah kepada masyarakat sama ada hendak menerima  seseorang (dengan tagnya) atau menolaknya.


Amaran Allah kepada muslim ialah jangan membentuk sikap pemimpin yang menjadikan agama (Islam) sebagai bahan lelongan.  Atau jangan sesekali memilih pemimpin yang menjadikan Islam sebagai tunggangan untuk mempopularkan diri terutama dengan memberi wajah kotor terhadap agama Allah ini.  Dalam negara kita, untuk mempopularkan diri sebagai pemimpin mereka cenderung membuat ucapan atau sikap yang ‘menyentak atau mengejutkan’ kedamaian masyarakat.  Tujuan orang seperti ini hanyalah untuk dilihat sebagai hero atau pejuang paling hebat.  Dia mahu idea dan dirinya menjadi buah bicara umum, kemudian berharap banyak orang akan menjadi penyokongnya!

Debat subjek Islam bukan hanya dalam kalangan para pemimpin Islam, malah pemimpin bukan Islam juga sudah masuk dengan jauh menyatakan sikap terhadap Islam. Pada saat umat Islam sudah faham bahawa dalam negara yang dihuni oleh umat Islam, undang-undang syariah merupakan paksi undang-undang negara….,  jelas pula pemimpin bukan Islam yang menyatakan penentangan terbuka terhadap pelaksanaan syariah Islam dalama negara!  Ertinya ialah mereka memang memusuhi sistem Islam sebagai satu sistem hidup manusia.

Pemimpin bukan Islam tidak anti Islam? Ya benar, jika Islam itu hanya difahami sebagai ibadah ritual sebagaimana mereka memahami agama Kristian, Hindu dan Buddha. Ini merupakan fahaman sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan.  Jika ada pemimpin Islam menyatakan negara kita sebagai negara Islam dengan Islam difahami sebagai agama ritual (hanya ibadah kepada Allah), pemimpin bukan Islam sangat bersetuju , malah mempertahankan pendirian seperti ini.

Perhatikan pendirian MCA (parti orang Cina yang bukan Islam) mengenai negara Islam.  Dahulu (tahun 2000), di dalam majlis MCA PM Dr Mahathir telah mengisytiharkan Malaysia sebuah Negara Islam.  Sebenarnya ini usaha PM untuk mengekang pengaruh Pas yang mahu melaksanakan undang-undang Syariah menggantikan undang-undang sivil dalam negara.  Puak bukan Islam tidak mahu dinaungi undang-undang Islam atas  alasannya mereka bukan Islam.  Tambahan pula dalam sistem demokrasi, mereka pun berteriak menyatakan penentangan terhadap undang-undang Islam. Yang terbaru MCA Selangor menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Syariah Islam sebagai asas pentadbiran.  Mereka memberi contoh terbaru kes Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengeluarkan notis supaya tempat duduk lelaki dan perempuan dalam pawagam diasingkan!  Bagi MCA (sebenarnya DAP juga), itulah permulaan pelaksanaan Syariah Islam.

DAP memang sudah lama dan terbuka menentang apa juga isu idea dan pelaksanaan undang-undang Syariah.  Tag Pengerusi DAP “Langkah mayat saya dahulu untuk tegakkan Negara Islam’ merupakan ayat yang tidak boleh dipisahkan dengan DAP.  Sikap mereka terus disuburkan dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Jangan lupa, bahawa para pemimpin DAP pernah membuat bantahan terbuka di hadapan pejabat DBKL sebagai protes DBKL melaksanakan ‘pengawalan moral’ terhadap masyarakat awam.  Isu asalnya ialah dua orang lelaki dan perempuan muda bukan Islam melakukan aksi erotic (lucah) di tempat terbuka.  Oleh kerna ada undang-undang kecil DBKL yang membolehkan mereka didakwa, maka surat saman dikeluarkan. Jadi sikap DAP sama dengan MCA atau mana-mana parti politik atau NGO orang bukan Islam.

Kebimbangan besar orang bukan Islam sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) ialah jika semua parti politik orang Islam (termasuk semua NGO Islam) bersatu untuk melaksanakan pentadbiran secara Islam, iaitu melaksanakan Syariah Islam.  Sebab itulah jika ada idea untuk Pas dan Umno ditemukan walaupun bukan untuk tujuan pelaksanaan undang-undang Syariah Islam, maka pasti kedengaran ugutan daripada perti sekutu Umno dan Pas.  Sebabnya  mudah, iaitu jika orang Melayu dan Islam bersatu, jumlah mereka kembali menjadi majoriti yang menyebabkan apa kehendak Melayu Islam sebagai majoriti akan mudah dilaksanakan.  Sekarang dengan pecahnya Pas dan Umno, orang bukan Islam sedang menikmati kekuatan politik secara majoriti.  Maka jangan hairan jika MCA dan DAP akan berteriak kuat menyatakan sikap penentangan terhadap apa saja idea atau isu syariah Islam.

Kembali kepada ayat al-Quran di atas, adakah orang Islam akan memilih orang yang menjadikan Islam sebagai bahan kecaman?  Adakah umat Islam akan terus bermusuhan sedangkan musuhnya sudah nyata di hadapan mana dan bersedia untuk menindas Islam dan umatnya?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan