Halaman

Rabu, Jun 06, 2012

BERAGAMA kerna budaya dan adat masyarakat


KEPADA kira-kira 20 orang remaja yang dikira cerdas mindanya saya bertanya begini, “sekiranya ayah dan ibu anda bukan seorang muslim, adakah anda sekarang seorang muslim?”  Hampir semua memberi jawaban yang serupa iaitu ‘bukan muslim’.  Ketika ditanya sebab utama keadaan demikian, mereka menjawab ‘ikut ibu bapa’.

Keadaan di atas adalah kebiasaan sepanjang sejarah.  Mudah bicara, suasana di sekitar sangat mempengaruhi pembentukan kepercayaan, sikap dan pemikiran seseorang.  Sejak kecil seseorang akan diasuh atau memerhatikan seluruh ruang kehidupan keluarga dan masyarakatnya, maka di situlah dia mendapat pengetahuan dan pendidikan.  Jika seseorang melihat ayah dan ibunya solat lima kali sehari, maka terdidiklah dia dengan amalan solat lima kali.  Jika keluarganya kerap mengadakan kenduri arwah untuk mengenang orang-orang yang telah mati, maka dia akan mewarisi budaya  dan adat sedemikian.

Tidak dapat tidak, faktor kebiasaan menjadi dasar pembentukan pemahaman seseorang mengenai agamanya.  Pergilah sekolah dan membaca banyak buku pun, apabila pulang ke pangkuan masyarakatnya budaya dan adatnya menjadi pilihan berbanding segama ilmu yang dikira berlawanan dengan budaya dan adat.  Malah, menjadi perkara biasa pula guru-guru agama akan mengajar agama yang bersesuaian dengan kebiasaan budaya beragama di sana.  Semua ini untuk mengelak berlakunya percanggahan.

Daripada penjelasan di atas, diharap mudah memahami mengapa sukar untuk menukar pendirian keagamaan seseorang kepada yang lain.  Remaja-remaja yang bukan muslim sekalipun tidak begitu memahami agama yang dianuti ibu bapanya, tidaklah begitu mudah untuk menerima Islam sebagai agamanya dengan sekali-dua penjelasan. Faktor yang paling kuat mereka menolak Islam ialah ‘tidak mahu keluar daripada lingkungan budaya dan adat hidup selama ini’.

Dalam kehidupan beragama anak-anak muslim pun begitu juga.  Apa yang selama ini mereka warisi dan pelajari (secara informal) daripada keluarga dan masyarakatnya sangat sukar untuk dikikis sekalipun diberikan fakta dan hujah mengapa sepatutnya perlu diubah.

Baru-baru ini saya diminta menjadi pemudah cara kepada kem pendidikan solat untuk anak-anak berumur 11 dan 12 tahun.  Kalaulah saya terus mahu menerapkan cara wuduk dan solat berdasarkan sunah yang sahih (malah saya siap membawa buku-buku kecil sifat wuduk dan solat nabi), tentulah anak-anak akan menjadi keliru besar dalam waktu yang singkat itu.  Saya cuma mahu mengubah pemikiran mengutamakan yang wajib agar mereka dapat terus beribadah dengan senang, bukan melihat ibadah suatu yang agak berat kerana susunan (tertib) dalam ibadah itu yang agak berat kepada anak-anak. 

Dalam sekumpulan kecil, saya mendapati ada yang telah hafal doa qunut tetapi tidak hafal bacaan tasyahud awal hingga akhir.  Kecuali untuk solat fardu, mereka sebenarnya tidak begitu dapat menghafal lafaz niat solat lain dalam bahasa Arab sebagaimana yang tertera dalam teks buku ajaran solat yang dibekalkan (selama ini, itulah yang mahu diamalkan).  Mereka juga tidak dapat meletakkan niat dalam bahasa Melayu sewaktu sedang melafazkan ‘takbiratul ihram’.  Misalnya sewaktu melafazkan ‘Allahuakbar’ mereka tidak berjaya sama sekali memasukkan niat ‘sahaja aku solat fardu zuhur empat rakaat kerana mengikuti imam kerana Allah Ta’ala’.  Jika diuji untuk lafaz niat solat jamak dan qasar yang jarang dilakukan memang semua gagal.  Kegagalan-kegagalan ini telah membentuk pendapat kepada mereka bahawa solat tidak sah apabila niatnya tidak sempurna sebagaimana yanag diajarkan.  Sebab itu selama masih anak-anak, selagi tidak berjaya sempurna bab-bab niat solat, mereka akan kuat beranggapan solatnya masih tidak berjaya.  Solat hanya sebagai ikut-ikutan. 

Walaupun saya tidak mengatakan apa yang mereka pelajari daripada ibu bapa dan budaya masyarakat itu tidak menepati sunah nabi, sukar juga untuk mengubah set minda bahawa permulaan solat itu dengan lafaz ‘Allahuakbar’ tanpa ada niat apa-apa di baliknya! Begitulah kuatnya pengaruh sekitaran yang sudah dilembagakan atau dijadikan satu peraturan beribadah.

Begitulah pemikiran agama yang kita warisi daripada ibu bapa dan ahli masyarakat.  Mesej saya ialah: Jika dalam kalangan kita yang muslim pun masih sukar hendak mengutamakan apa yang terkandung dalam alquran dan sunah atas alasan ‘beza’ dengan masyarakatnya, janganlah cepat menghukum remaja-remaja bukan Islam sebagai tidak tahu kebenaran beragama jika tidak mahu memilih Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan