Halaman

Ahad, April 22, 2012

JIKA miskin dan sakit cobaan Allah. Kaya, sihat dan ternama?


MAKSUD firman Allah ayat 155-157 surah al-Baqarah: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.  Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”



Dalam lingkungan ahli keluarga saya yang dekat dan jauh, ditemui macam-macam dugaan hidup yang meka alami.  Seorang ibu saudara saya yang hanya tinggal berdua dengan suaminya susah 10 tahun menjaga suaminya yang sakit.  Selama 10 tahun itulah dia setia menjaga suami yang sakitnya saban hari bertambah berat, dan kini lebih memerlukan penjagaan yang sangat rapi.  Saya hanya menumpang rasa kepayahan derita melalui pemandangan betapa sukarnya tanggungan fizikal dan mentalnya.  Bagi si suami yang kian lemah menderita kesakitan bertahun-tahun, tentulah terasa lama menanggung penderitaan.  Bayangkan penderitaan sakit fizikal yang semakin lemah, sedangkan kalau kita yang sihat ini sakit perut selama tujuh hari pun sudah terasa gelisah dan mahu segera penyakit itu keluar dari badan.

Sepupu ibu saya pula bukan sahaja menanggung derita kesihatannya semakin buruk, suaminya pula sudah semakin lemah kerana faktor usia dan penyakit lamanya.  Terasa berat cobaan dari Tuhan kerna selama hidupnya mereka bukanlah golongan yang menikmati kecukupan harta benda.  Kedua-duanya semakin lemah dan hanya mengharap tanggungan anak tunggal perempuannya.  Takdir Tuhan pula, si anak ini bukanlah berpendidikan tinggi yang membolehkannya mendapat pendapatan yang mampu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan. Ya Tuhan…

Demikianlah cobaan hidup kepada hamba-hamba-Nya. Cobaan yang mereka sedang rasai merupakan kepayahan dan kesakitan hidup.  Namun sebenarnya bukan hanya kepayahan harta benda dan kesakitan fizikal sebagai cobaan besar daripada Allah.  Mungkin ada yang kurang menyedari bahawa kemewahan dan kelegaan hidup juga sebagai cobaan besar daripada Allah.  Seperti maksud firman Allah ayat 28 surah al-Anfal: “Dan ketahuilah bahawa harta dan anak-anakmu itu hanya sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar.”

Kekayaan yang melimpah ruah, anak-anak yang banyak serta berpendidikan tinggi kemudian menikmati kekayaan pula.  Setelah itu berbisan juga dengan orang yang mewah dan ternama, itu termasuk dalam cobaan Allah.  Cuma barangkali pemahaman manusia hanya melihat kemelaratan dan kesakitan sebagai cobaan kerana dirasakan hidup begitu amat payah sedangkan kemewahan dan kemasyhuran merupakan kenikmatan dan kejayaan hidup.  Banyak orang memberi pujian terhadap si kaya dan pandai kerana dimaksud itulah kejayaan hidupnya, bukan menyatakan kepadanya supaya beristirjak: Innaa lillahi wa inna lillahi raji’uun…..

Semoga Allah menjaga keimanan kita masa susah atau senang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan