Halaman

Ahad, April 29, 2012

ISLAM daripada Allah, maka jangan berdusta dengan kalimah Islam


ENTAH berapa banyak orang menyarankan kembali kepada Islam apabila individu, masyarakat atau umah ditimpa masalah.  Sebut saja masalah keburukan sosial anak muda, ketinggalan ekonomi atau kemuncupan kuasa politik, pasti akan ada saranan supaya gunakan ajaran Islam untuk selesaikan masalah.  Seruan ajaran Islam seakan keramat, mudah menjadi penyejuk kemarahan dan kegelisahan.  Perkataan Islam juga mudah menarik minat masyarakat.  Malah orang yang sering menyeru kepada Islam juga mendapat manfaat peribadi apabila dianggap berperibadi mulia.  Mana mungkin orang yang menyeru kepada Islam, seorang yang bobrok peribadinya.

Islam itu satu agama dan sistem hidup.  Allah telah menyebut kalimah Islam dalam al-Quran serta mengesahkan satu agama yang sempurna.  Semua boleh lihat ayat 3 surah al-Ma’idah: “….Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu dan Aku reda Islam menjadi agamamu.”

 Harap perbuatan seperti ini tidak dikaitkan atas nama Islam atau Allah

Oleh kerana Islam adalah satu rahmat kepada seluruhnya, maka semua mahu mendapat manfaat dengan Islam.  Lihatlah orang berniaga, mereka juga mempromosikan barangan yang halal termasuk sistem kewangan Islam.  Orang hendak mengubati pesakit juga awal-awal menyatakan kaedah rawatannya adalah secara Islam.  Orang hendak menjadi penguasa juga telah membawa mesej yang cara perjuangannya adalah menepati Islam. Bukan itu sahaja, malah mereka juga mendakwa amalan kekuasaannya nanti pasti kekuasaan Islam.  Anak-anak yang belajar dan mahu menduduki peperiksaan awam juga diberikan modul persediaan diri yang dikatakan secara Islam.

Kerana banyaknya seruan atas nama Islam dan begitu meluas pula kadang-kadang timbul pertanyaan mengapa setelah sekian lama dan banyaknya seruan atas nama Islam, masalah masih berlaku dan tidak surut pun.  Benar, sebagian yang menyatakan Islam berdasarkan ilmu dan kejujurannya, tetapi tidak kurang pula yang menjadikan istilah ‘Islam’ sebagai benteng dan senjata meneruskan cita-citanya.

Islam sebenarnya daripada Allah.  Seperti dalam ayat di atas bahawa Allah sendiri mengesahkan Islam sebagai agama yang sempurna. Maka sesiapa saja yang mendakwa itu Islam dan ini Islam sebenarnya mendakwa itu adalah kaedah atau sistem daripada Allah, bukan rekaan manusia biasa!  Walaupun tidak menyatakan dalil al-Quran untuk sesuatu penjelasan, apabila saja dikatakan Islam, pasti pautannya adalah Allah.  Oleh itu jika mendakwa itu Islam dan ini Islam sedangkan akhirnya berlawanan dengan prinsip al-Quran, maka sebenarnya individu berkenaan telah menjual nama Allah.  Orang seperti ini mengada-adakan kedustaan atas nama Allah untuk tujuan tertentu, mungkin dengan sedar atau sebaliknya.

Ada ancaman daripada Allah kepada sesiapa yang berani-berani mengada-adakan sesuatu yang disandarkan kepada Allah sedangkan hakikatnya tidak begitu.  Cuba lihat maksud ayat 33 surah al-Araf: “Katakanlah, Rabku (Tuhanku) hanya mengharamkan perbuatan keji, baik yang kelihatan atau tersembunyi, perbuatan  dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu, dan (mengharamkan perbuatan) mengada-adakan terhadap Allah apa saja yang tidak kamu ketahui.”

Kata Imam Ibn Qayyim, antara urutan itu, Allah menyebut sesuatu yang paling berat pengharamannya daripada semua itu, iaitu mengada-adakan atas nama-Nya tanpa ilmu.  Termasuk di dalamnya kebohongan yang terkait dengan seluruh asma sifat, perbuatan Allah, agama serta syariat-Nya.

Sebab itulah sebaik-baik tawaran Islam kepada sesiapa juga mestilah diberikan sandarannya daripada ayat al-Quran supaya jelas kedudukan di sisi Allah.  Hal ini juga untuk menambah keimanan kepada Allah dalam kehidupan seseorang serta meyakini bahawa apa yang sedang dilalui benar-benar daripada Allah, Tuhan yang maha berkuasa dan maha perkasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan