BERAPA banyak orang berhujah bahawa dengan adanya al-Quran sehingga hari ini maka kekal asli Islam sebagai satu ajaran agama sejak zaman baginda nabi s.a.w. hinggalah saat ini. Dibandingkan pula dengan ajaran agama Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang asalnya bersandarkan kepada kitab Allah tetapi hari ini sudah tidak kekal asli sebagai agama Allah.
Sebab itulah sering diakui bahawa tanpa dalil daripada al-quran, aspek akidah dan ibadah dalam Islam pasti tergelincir daripada pemahaman yang asal. Maka menjadi kewajiban kepada pembicara menyatakan nas-nas al-Quran dan hadis sahih sebagai landasan untuk menyatakan ajaran Islam. Jelasnya jika menyatakan ajaran agama tanpa didasarkan nas-nas al-Quran dan hadis pasti terdedah pada pembohongan atas nama agama yang suci.
Oleh kerana prinsip ajaran agama mesti bersumberkan nas al-Quran dan hadis, maka sesuatu yang didakwa sebagai ajaran akidah dan ibadah yang tidak dapat dibuktikan daripada al-Quran dan hadis merupakan ajaran yang boleh saja dipertikaikan. Mendakwa sesuatu prinsip ajaran agama itu adalah Islam atau warisan para nabi, tanpa memberikan perincian seperti ayat (surahnya sekali) dan hadis nabi (dengan riwayatnya sekali) merupakan kecenderungan yang salah.
Jika si pembawa ajaran itu sekadar menyatakan ‘ini ajaran Islam’ dan gagal membuktikan dalil-dalil daripada dua sumber asal Islam, maka dengan sendirinya gugurlah ‘ajaran’ itu daripada dikatakan ajaran Islam. Prinsip dalam beragama sangat jelas iaitu ‘semua urusan agama adalah haram sehingga ada nas yang memerintahkannya’ sedangkan dalam urusan keduniaan ‘semua perkara adalah halal sehingga ada nas yang membatasinya’.
Sebagai contoh, muslim mesti menunaikan ibadah haji di Tanah Haram Makkah kerna ada dalil ayat 158 surah al-Baqarah (…maka sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah dan mengerjakan umrah maka tiadalah salah melakukan sa’ie antara kedua-duanya…). Nas lain ialah ayat 25 surah al-Haj. Oleh itu haram melaksanakan haji di tempat selain tanah yang disebut dalam al-Quran itu.
Dalam hal akidah, surah al-Ikhlas tercatat bahawa Allah itu tunggal maka haram menyatakan Allah itu dua atau tiga. Oleh itu jika ada orang menyatakan ‘Allah wujud tak bertempat’ sebagai asas akidah Islam, sila nyatakan nas al-Quran dan hadisnya. Jika tidak ada, maka dengan sendirinya kenyataan itu gugur sekalipun sering diucapkan di khalayak banyak.
Hadis sebagai nas hujah juga perlulah sah atau benar-benar daripada Rasulullah s.a.w. Jika hadis yang dijadikan hujah itu ternyata adalah hadis palsu, maka jelas gugurlah pendirian yang disandarkan sebagai ajaran akidah atau agama. Hal ini kerna hadis palsu bermakna Rasulullah s.a.w. tidak pun menyatakan sedemikian. Berhujah menggunakan hadis palsu bermakna pembohongan agama atas nama Junjungan Mulia Rasulullah s.a.w.
Menjaga kebenaran agama (akidah dan ibadah) merupakan tanggung jawab bersama. Pihak pengajar, iaitu guru-guru agama mestilah bersedia dengan dalil-dalil al-Quran dan sunah kerana itulah sumber asal agama. Manakala pihak murid mestilah juga menjadi pengimbang atau pemantau dengan sama-sama meneliti dan menyelidik apa yang dipelajari sebagai ajaran agama. Oleh kerna guru dan murid merupakan manusia yang lemah dan terdedah pada kesilapan, prinsip saling menegur atau mengingati antar satu sama lain merupakan asas menjaga ketulenan ajaran Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan