SAH tidak dapat disangkal, bulan Rabiul Awal merupakan bulan orang membicarakan hal Nabi Muhammad s.a.w. Bulan inilah orang merayakan maulidurrasul. Bagai tidak sempurna dalam kalendar tahunan sesebuah masjid atau surau jika tidak mengadakan majlis maulidurrasul, sekalipun acaranya sama seperti ceramah agama mingguan. Tidak ada acara mengarak timbunan makanan seperti di Pulau Jawa atau membuat kuih khas dan sebagainya. Hanya ceramah dan jamuan makan.
Dalam ceramah maulidurrasul itulah diterangkan sejarah nabi besar s.a.w., sekalipun sudah saban tahun dijelaskan. Kesungguhan mengetahui sejarah dan sunah nabi pada saban tahun sangat membanggakan.
Bagaimana membuktikan kita mencintai Rasulullah s.a.w. pada zaman ini? Tidak ada jawaban lain kecuali menamalkan sunah baginda. Di mana-mana pun itulah jawabannya. Tidak kurang sudah diceramahkan mengenai nasib-nasib kita di akhirat kelak apabila mengabaikan sunah nabi di dunia ini.
Secara umum memang setiap muslim suka sunah nabi s.a.w. tetapi agak kurang menggembirakan apabila kebanyakan orang awam Islam tidak diperincikan apa yang dinamakan sunah nabi kita itu. Kita hanya diberitahu kepentingan sunah dan fadilat-fadilat menjaga sunah nabi. Satu lagi, kita sangat jarang dijelaskan apa yang berlawanan dengan sunah nabi. Keadaan ini menyebabkan kefahaman orang Islam awam mengenai agama yang merujuk sunah nabi hanya umum. Hal ini menyebabkan kuatnya pendapat bahawa apa saja yang dikaitkan dengan agama seperti ada bacaan doa, bacaan al-Quran dan selawat nabi semua dinamakan sunah nabi.
Maksud firman Allah dalam surah al-Ahzab:21 “Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik untuk orang yang senantiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat dan dia banyak menyebut serta mengingati Allah (pada masa susah dan senang).”
Urusan hal sunah yang utama adalah bab ibadah khusus, maka sepatutnya selesaikan dahulu atau mantapkan pemahaman sunah dalam beribadah sebelum mengamalkan sunah dalam kehidupan sosial. Cuba perhatikan contoh sebagian kita mengurus atau mengatur perjalanan solat Jumaat, setakat manakah sudah memenuhi sunah nabi.
Amalan di Masjid A:
Pertama – Diadakan kuliah agama selama setengah jam sebelum masuk azan Zuhur (azan pertama)
Kedua – Muazin atau bilal melaungkan azan yang suaranya dipancarkan di pembesar suara menara masjid.
Ketiga – Kebanyakan jemaah menunaikan solat sunat qabliyah (sebelum) Solat Jumaat dua rakaat.
Keempat- Bilal memegang tongkat dan membacakan sepotong ayat al-Quran.
Kelima – Khatib mengambil tongkat dan menaiki mimbar, kemudian mengucapkan salam.
Keenam – Bilal melaungkan azan tanpa menggunakan pembesar suara di bahagian hadapan masjid.
Ketujuh – Khatib berkhutbah sebanyak dua kali.
Kelapan – Dilaksanakan solat Jumaat berjamaah dua rakaat. Imam berdoa.
Amalan di masjid B.
Pertama - Muazin atau bilal melaungkan azan yang suaranya dipancarkan di pembesar suara menara masjid.
Kedua - Kebanyakan jemaah menunaikan solat sunat qabliyah (sebelum) Solat Jumaat dua rakaat.
Ketiga – memegang tongkat dan membacakan sepotong ayat al-Quran.
Keempat - Khatib mengambil tongkat dan menaiki mimbar, kemudian mengucapkan salam.
Kelima - Bilal melaungkan azan menggunakan pembesar suara di bahagian hadapan masjid tetapi suara azan hanya untuk dalam ruang dalam masjid, bukan dipancarkan dari menara.
Keempat – Sebelum duduk, bilal membacakan hadis nabi yang memperingatkan para jamaah supaya diam apabila imam membaca khutbah.
Kelima - Khatib berkhutbah sebanyak dua kali.
Keenam - Dilaksanakan solat Jumaat berjamaah dua rakaat. Imam berdoa.
Antara dua amalan di masjid berkenaan, tentu ada yang menepati sunah dan menyelisihi sunah. Malangnya, itulah amalan bertahun-tahun, sehingga generasi demi generasi menganggap itulah amalan menunaikan solat Jumaat seperti sunah nabi. Kita sangat takut hendak membincangkan mana yang sunah dan sebaliknya atas alasan mewujudkan perbedaan pendapat. Saya perpendapat, situasi di Masjid A dan Masjid B sudah jelas adanya perbedaan pendapat. Tidak ada permusuhan antara kedua-dua masyarakat berkenaan. Alangkah ruginya keinginan untuk mengamalkan sunah nabi tetapi para ahli agama kita takut untuk menjelaskan kebenaran sunah nabi s.a.w.
Blog yg sangat bagus penuh dgn info2 berguna... teruskan berdakwah
BalasPadam