Halaman

Khamis, November 03, 2011

SALAM berjawab, tapi pulanglah.....


ADA satu peristiwa benar berlaku dalam kalangan orang yang sudah akrab bagai adik-beradik sehingga antara kedua-dua keluarga ini secara tidak sedar memberi kebebasan keluar masuk rumah masing-masing.  Satu masa A memberhentikan kereta dan terus masuk ke rumah B teman akrabnya.  A terus saja ke dapur seperti biasa dan membuka peti sejuk, tetapi tiba-tiba dia merasa ada kelainan.  A sangat terkejut apabila mendapati dia tersalah rumah, rupa-rupanya dia memasuki rumah sebelah kepada rumah B!  Biarlah pengalaman itu dirasai oleh A sahaja, bukan berulang kepada orang lain pula.


Islam mengatur hidup manusia supaya dalam keharmonian dan hormat-menghormati.  Dalam bab hendak bertamu ke rumah seseorang termasuk saudara-mara, Allah memberi panduan yang jelas seperti dalam surah an-Nur ayat 27 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu agar kamu (sentiasa) ingat.”

Kebiasaan kita ialah mengucapkan salam, “Assalamualaikum” di hadapan rumah.  Namun kita perlu ingat bahawa sekalipun ucapan salam itu dijawab dengan jelas oleh orang di dalam rumah, bukanlah itu bererti yang kita dibenarkan masuk ke dalam rumahnya. Antara jawaban salam dan keizinan memasuki rumah adalah dua perkara yang berbeda.  Untuk memasuki rumah seseorang mestilah ada keizinan seperti ucapan “silalah masuk ke rumah”.

Bukan semua orang bersedia menerima tetamu yang berada di hadapan pintu pagar rumahnya.  Adalah menjadi haknya untuk menerima tetamu atau tidak, maka janganlah kita berburuk sangka pula kepadanya. 

Maksud firman Allah ayat 28 surah an-Nur, “Dan jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, janganlah kamu masuk sebelum mendapat izin.  Dan jika dikatakan kepada kamu ‘pulanglah’ maka hendaklah kamu pulang.  Itu lebih suci bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Maka jelaslah antara orang yang mengetahui pengajaran Allah dengan orang yang cuba bertamu sekadar menurut adat resam.  Orang yang bertamu berdasarkan adat akan mengucapkan salam berkali-kali sehinggalah dia mendengar salamnya dijawab.  Dan orang berkenaan tidak mahu meninggalkan pintu rumah orang berkenaan sehinggalah pintu rumah itu dibuka kerana menganggap jawaban salam itu sebagai tanda ‘kewajiban’ tuan rumah membuka pintu dan melayaninya.

Eloklah bertamu berdasarkan pengajaran al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan