Halaman

Khamis, November 17, 2011

IBADAH: berhujahkan 'perkara itu baik'


BUKAN semua orang tahu dalil al-Quran dan Sunah berkenaan ibadah yang dilakukan.  Sama ada untuk mempertahankan pendiriannya atau sebagai orang yang mengajarkan agama kepada orang lain, agak biasa juga kita mendengar alasan ‘perkara yang baik’.  Misalnya, untuk mengajarkan orang lain supaya banyak membaca al-Quran atau solat berjamaah di masjid, supaya mudah difahami akan diberikan hujah: ‘perbuatan itu merupakan perkara yang baik’.

Ayat: ‘Perkara yang baik’ merupakan hujahan akal fikiran manusia.  Hujah ini selalunya digunakan dalam urusan keduniaan seperti membina jalan tar menggantikan jalan tanah merah.  Alasan menggantikan jalan tanah merah dengan jalan tar ialah ‘perkara yang baik’.  Kita juga boleh menggunakan hujah ‘perkara yang baik’ dalam hal keduniaan lain seperti menggunakan komputer, kereta, kad kredit, pembungkus plastik dan lain-lain.

Agama atau urusan ibadah khusus bukanlah urusan dunia.  Bab ibadah, sesuatu amalan itu mestilah atas perintah khusus daripada Allah dan penjelasan oleh rasul-Nya.  Tanpa sumber al-Quran dan sunah nabi, tidak ada sesiapa pun boleh mereka cipta suatu amalan agama aatas hujah perkara yang baik.

Diriwayatkan daripada Saiyidina Ali r.a. bahawa dia berkata ‘jikalau agama itu dengan akal, nescaya sebelah bawah kasut lebih utama disapu daripada sebelah atasnya, dan Rasulullah s.a.w. kulihat telah menyapu yang sebelah atas khufnya’. (Riwayat oleh Abu Dawud dengan sanad hasan)

Maksud perkataan Saiyidina Ali  ‘jika agama berlandaskan akal tentulah yang mesti dibasuh ialah tapak kasut’ kerana tapak kasutlah yang mesti terkena kotoran apabila dipakai manusia.  Dalam hal berwuduk, Saiyidina Ali melihat Rasulullah menyapukan air ke atas kasut.  Oleh kerana menyapukan air di atas kasut dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., maka perbuatan itu merupakan petunjuk ibadah.  Dengan memakai kasut yang sudah disapu air wuduk tadi, Rasulullah s.a.w. melakukan solat. 

Akal manusia akan berhujah bahawa tapak kasut kotor dan tidak boleh dipakai untuk solat.  Akal manusia menambah hujah bahawa jika hendak solat memakai kasut maka pastikan tapak kasut dibersihkan daripada semua kotoran sebagaimana ketika berwuduk seseorang membasuh kakinya sehingga ke buku lali.  Namun hujah akal manusia demikian tertolak dengan petunjuk yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Cuba kita lihat contoh lain.  Membaca al-Quran merupakan amal baik dan pembacanya akan diberi ganjaran (pahala).  Sepatutnya dengan hujah ‘perkara yang baik’ seseorang boleh saja membaca sebanyak mana ayat al-Quran sewaktu rukuk atau sujud dalam solat.  Namun hakikatnya tidak ada petunjuk dalam solat Rasulullah yang baginda membaca al-Quran sewaktu rukuk dan sujud, maka tidak ada guru fardu ain berani membolehkan dibaca mana-mana ayat al-Quran pada pergerakan solat yang dimaksudkan itu.

Contoh kedua mengenai solat berjamaah.  Tidak ada siapa pun yang berani mengatakan solat berjamaah itu buruk.  Sekalipun orang yang melakukan solat berjamaah hanya peratusan kecil, orang tetap mengatakan solat berjamaah sangat baik dan hukumnya sunat yang sangat dituntut.  Malah, ada sebagian ulama mengatakan solat berjamaah itu wajib.  Hujah akal bahawa solat berjamaah sebagai sangat baik hanya boleh dilakukan pada solat fardu dan beberapa solat sunat seperti tarawih dan tahajud kerana ada petunjuk daripada nabi s.a.w.

Tidak ada orang yang berani mengajak orang-orang yang solat rawatib atau solat sunat sebelum / sesudah solat fardu itu dilakukan secara berjamaah sekalipun seseorang itu kuat mengatakan solat berjamaah itu sangat baik.  Orang tidak melakukan solat sunat rawatib secara berjamaah kerana tidak ada petunjuk daripada Rasulullah s.a.w., maka kekal sejak zaman nabi dahulu hingga kini solat sunat itu dilakukan secara sendiri-sendiri.

Begitulah hal-hal agama yang merupakan taufiqiyah atau petunjuk daripada al-Quran dan sunah nabi.  Tanpa dalil daripada dua sumber berkenaan, muslim dilarang melakukan suatu bentuk amal ibadah baru sekalipun pada pendapat akal manusia hal itu sangat baik dilakukan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan