Halaman

Ahad, Julai 31, 2011

MENYEMPURNAKAN Tarawih bersama Imam



OLEH: IMAM ABDUL AZIZ BIN BAZ R.H

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

SOALAN: Jika seseorang bersolat dengan Imam yang bersolat 23 rakaat lalu dia (si makmum) hanya cukup melakukan 11 rakaat dan tidak menyempurnakan solatnya dengan Imam adakah perbuatannya ini menepati Sunnah?

JAWAPAN: Yang menepati Sunnah adalah menyempurnakannya bersama Imam walaupun ianya 23 rakaat kerana Rasul s.a.w bersabda:
من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب الله له قيام ليلة 
Maksudnya: "Barangsiapa yang mendirikan (solat tarawih) bersama Imam sehingga (Imam) itu selesai maka ALLAH tuliskan baginya (pahala) bersolat malam penuh" [Al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].
Dalam riwayat yang lain:
بقية ليلته
Maksudnya: (dituliskan baginya pahala) bagi malamnya [Ahmad].

Maka yang afdal (utama) bagi makmum adalah solat bersama Imam sehingga selesai sama ada solat yang dilakukan 11 rakaat atau 13 rakaat atau 23 rakaat atau lainnya.

Inilah yang afdal iaitu mengikut Imam sehingga selesai, dan 23 rakaat telah dilakukan oleh Umar r.a bersama dengan para Sahabat dan tiada padanya kekurangan atau cacat cela, bahkan ianya termasuk daripada sunnah iaitu sunnah para Khalifah al-Rasyidin dan telah ditunjukkan oleh hadis Ibn Umar r.huma daripada Nabi s.a.w bahawa baginda bersabda:
صلاة الليل مثنى مثنى، فإذا خشي أحدكم الصبح صلى واحدة توتر له ما قد صلى 
Maksudnya: "Solat malam itu dua rakaat-dua rakaat, jika seseorang kamu takut masuk waktu subuh maka solatlah witir satu rakaat mengganjilkan apa yang telah dia solat". [Muttafaq 'alaih].

Ini kerana Nabi s.a.w tidak menghadkan padanya bilangan rakaat tertentu tetapi menyatakan "Solat malam dua rakaat-dua rakaat", tetapi jika Imam solat tarawih cukup melakukan 11 rakaat atau 13 rakaat sahaja, maka yang utamanya hendaklah dia melakukan salam selepas setiap dua rakaat kerana inilah yang kebiasaan dilakukan Nabi s.a.w dan ini lebih meringankan bagi orang ramai dalam Ramadan dan lainnya dan barangsiapa yang menambah lagi (rakaat) atau mengurangkan maka tidak ada apa-apa kesalahan kerana solat malam itu diberi keluasan padanya.
والله ولي التوفيق 


Sumber: Majmuk Fatawa Ibn Baz, 11/325-326

Selasa, Julai 26, 2011

SALAF dan khalaf


oleh: Abdullah Yassin
Maksud Firman Allah: Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansor dan Orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar. (Al-Taubah :100 )

Pengajaran Ayat :

1.      Dalam ayat diatas Allah SWT memberi jaminan terhadap tiga golongan yang pasti akan mendapat ridha Allah dan layak memasuki syurga-Nya, iaitu : 1. Muhajirin, 2. Ansor, 3. Golongan yang mengikuti mereka (Muhajirin dan Ansor) dengan baik. Ulama Tafsir Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sependapat bahawa yang dimaksudkan dengan Muhajirin : Para Sahabat yang berhijrah (berpindah) dari Mekah ke Madinah, sedangkan Ansor pula ialah para sahabat yang membela Rasulullah SAW dari kalangan penduduk Madinah. Adapun golongan ketiga yang juga layak mendapat ridha Allah dan bakal masuk syurga ialah golongan yang mengikuti Muhajirin dan Ansor dengan baik. Kita masyarakat Islam Asia Tenggara bukan Muhajirin dan juga bukan Ansor. Namun demikian kita masih berpeluang untuk mendapat ganjaran diatas jika kita mengikuti jejak langkah Muhajirin dan Ansor dengan baik, khasnya dalam urusan agama mereka, terutama yang berkaitan dengan aqidah, cara beribadat dan akhlak.

2.      Tentang kehebatan dan kebaikan agama manusia-manusia awal memeluk Islam dari kalangan sahabat, tabi’iin dan tabi’ tabi’iin bukan saja diisyaratkan oleh ayat diatas, tetapi juga pernah ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri melalui hadisnya yang sahih, iaitu : ( خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ) : Manusia yang paling baik adalah mereka yang hidup pada kurunku, kemudian mereka yang hidup pada kurun berikutnya, kemudian mereka yang hidup pada kurun berikutnya. (HR Bukhari dan Muslim). Satu kurun sama dengan satu abad yakni 100 tahun. Hadis diatas mengisyaratkan bahawa manusia yang hidup pada tiga kurun pertama, yakni hingga 300 tahun pertama  dikenal dengan panggilan Sahabat, Tabi’iin dan Tabi’ Tabi’iin. Takrif Sahabat : Mereka yang jumpa Rasulullah SAW lalu memeluk Islam dan mati dalam Islam ; Tabi’iin : Mereka yang jumpa Sahabat lalu memeluk Islam dan mati dalam Islam ; Tabi’ Tabi’iin : Mereka yang jumpa Tabi’iin lalu memeluk Islam dan mati dalam Islam. Oleh itu, jika kita ingin agar termasuk ke dalam golongan yang baik agamanya, maka kita tiada pilihan lain kecuali dengan mengikuti jejak langkah tiga golongan diatas dalam memahami agama, terutama dalam beraqidah, beramal ibadah dan berakhlak. Mereka yang hidup dalam tiga kurun inilah yang dipanggil dengan Salaf Soleh.

3.      Salaf ; Menurut bahasa artinya dahulu. Oleh itu, dikatakan bahawa ibu bapa atau datok nenek adalah salaf seseorang, sebab nenek moyang dan ibu bapa mendahului kewujudan seorang anak. Adapun Salaf menurut istilah agama ialah mereka yang hidup pada tiga kurun pertama. Mereka terdiri daripada para sahabat, tabi’iin dan Atbaa’ al-Tabi’iin. Mereka inilah yang dipanggil dengan Golongan Salaf Soleh. Adapun makna Khalaf menurut bahasa ialah belakangan.  Sedangkan manurut istilah agama pula, Khalaf ialah mereka yang hidup sesudah tiga kurun pertama. Pertanyaan : Apakah perbezaan utama antara Aliran Salaf dan Aliran Khalaf dalam hal agama ? Apakah mungkin kita yang hidup pada abad ke 15 Hijriyah ini dimasukkan ke dalam Salaf ? Untuk memahami dan menjawap soalan ini, maka Salaf perlu dibagi kepada dua jenis, iaitu : 1. Salaf Zamaniy : Salaf berdasarkan zaman atau masa ; 2. Salaf Manhajiy : Salaf berdasarkan Manhaj atau salaf berdasarkan pegangan atau cara beragama. Memang mustahil jika kita yang hidup pada abad 15 Hijriyah ingin menjadi Salaf Zamaniy, sebab salaf tersebut telah berlalu 12 abad yang lalu. Namun kita BOLEH menjadi Salaf Manhajiy jika kita mengikuti jejak langkah para sahabat, tabi’iin dan tabi’ tabi’iin dalam beragama. Inilah yang dimaksudkan dengan Golongan Ketiga dalam ayat 100 dari surah Taubah diatas.

4.      Diantara perbezaan nyata antara dua aliran diatas ialah dalam cara mereka memahami Nama dan Sifat Allah. Salaf memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah sebagaimana yang Allah nyatakan dalam Al-Quran dan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasul-Nya, secara hakiki tanpa takwil. Sebagai contoh : Allah di langit dan Dia bersemayam diatas ‘Arasy-Nya sesuai dengan ke-Agungan dan Kebesaran-Nya. Namun demikian, Allah SWT sama sekali tidak serupa dengan makhluk, Dia bersemayam tidak sama dengan makhluk bersemayam. Bagaimana Dia bersemayam cukup saja diyakini dan tidak boleh ditanya bagaimana ? Sedangkan Khalaf pula tidak demikian. Mereka mentakwilkan Sifat Allah kepada makna yang lain, contohnya menurut Khalaf : Allah tidak dilangit dan tidak berada diatas ‘Arasy-Nya, tetapi Allah berada dimana-mana, sebab menurut Khalaf jika Allah dikatakan berada di langit atau Allah bersemayam di atas ‘Arasy-Nya, bermakna Allah bertempat. Dan jika Allah bertempat bermakna Allah sama dengan makhluk. Dalam hal ini Khalaf lebih mendahulukan akal (logika) daripada nash-nash Al-Quran dan Al-Hadis. Pandangan seperti ini sebenarnya sama dengan pandangan Mu’tazilah, bukan pendapat Ahlus Sunnah Wal-Jama’ah yang sebenarnya. Sebab manhaj Ahlus Sunnah Wal-Jamaah tetap mendahulukan nash-nash Al-Quran dan Al-Sunnah daripada akal.

5.      Ahlus Sunnah Wal Jamaah kalau begitu terbagi kepada dua aliran, iaitu : 1. ASWJ Aliran Salaf ; 2. ASWJ Aliran Khalaf. Dua aliran ASWJ ini sentiasa bertembungan dan saling tuduh menuduh, saling sesat menyesatkan, malahan ada yang saling kafir mengkafirkan. Kita seharusnya berlapang dada dalam hal ini dan saling menghormati pandangan pihak lain. Namun jika kepada saya disuruh pilih antara dua aliran ASWJ tersebut, maka saya akan memilih ASWJ Aliran Salaf Manhajiy. Jika ditanya mengapa demikian? Jawapannya : 1. Allah SWT menyuruh kita mengikuti mana pandangan yang lebih baik, jika ingin mendapat hidayah (Lihat Panduan Mendapat Hidayah – Nota 026 ) ; 2. Allah SWT akan redha dan menjamin masuk syurga sesiapa yang mengikuti Muhajirin dan Ansor. Muhajirin dan Ansor adalah Sahabat dan Sahabat adalah Salaf Umat. (Lihat Tafsiran ayat 100 Al-Taubah diatas) ; 3. Salaf Soleh yang hidup 300 tahun pertama Hijriyah disanjung Nabi SAW sebagai golongan umatnya yang terbaik? Cukuplah tiga alasan ini membuat saya yakin tanpa sedikitpun ragu bahawa perjalanan (manhaj) Salaf adalah manhaj yang terbaik dan mendapat jaminan Allah. Sila renung balik topik Nota 030 (Dengar Dan Fikir Asas Kejayaan). Sangat dikesali, terdapat di kalangan umat Islam yang banyk membaca dan mengkaji, tetapi enggan berfikir. Mereka terlalu ta’assub mazhab dan tuan guru. Akhirnya mereka terumbang-ambing tidak tahu hala tuju dalam hidup. Dan golongan inilah yang selalu menjadi mangsa golongan ulama yang menyesatkan. Na’udzu Billahi Min Dzaalik.


Isnin, Julai 25, 2011

AKIDAH sesat kerna memusuhi Sahabat Rasulullah


TERBARU wujud yang dinamakan Majlis Syiah Malaysia menghantar memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong supaya baginda campur tangan agar fatwa kebangsaan yang mengatakan fahaman Syiah sebagai sesat hendaklah dimansuhkan.

Siapa Syiah dan mengapa mereka wujud dalam sejarah Islam?  Jawabannya tidak lain ialah aliran politik mereka yang memusuhi para sahabat Rasulullah di samping memuja seorang sahabat nabi yang lain, juga menantu baginda iaitu saidina Ali bin Abi Talib. Saidina Ali juga sepupu Rasulullah.  Daripada perkahwinan Saidina Ali dengan puteri Rasulullah , Fatimah binti Muhammad s.a.w., lahirlah Hassan dan Hussein. Merekalah yang diertikan sebagai ahlul bait oleh kalangan Syiah dan menjadi satu mazhab dalam politik dan akidah bahawa kepemimpinan mestilah daripada ahlul bait.


Jika rajin kita akan menemui versi sejarah yang sangat berbeda mengenai kehidupan akhir puteri Rasulullah, Fatimah.  Kepada penganut Syiah, Fatimah bertelagah dengan Khalifah Abu Bakr r.a. mengenai sebidang tanah  di Fadak, di Madinah. Kononnya Khalifah menghantar pegawai-pegawainya untuk memukul Fatimah sehingga menderita.  Akhirnya Fatimah wafat dalam keadaan rahsia, dan hanya suaminya sahaja yang mengurus jenazahnya.  Sejarah ini sering dijadikan asas untuk menzahirkan kebencian kepada Khalifah Abu Bakr di samping merasakan amat dukacita terhadap nasib puteri seorang nabi akhir zaman! Kepada Ahlus Sunnah, tidak ada perseteruan antara Khalifah Abu Bakr dan Fatimah.  Malah makam Fatiman ada di Baqi, Madinah.

Kepada kaum Syiah sesiapa sahaja sahabat nabi selain ahlul bait merupakan pendusta agama.  Punca utama perasaan marah mereka ialah menganggap bahawa yang berhak menjadi Khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ialah Saidina Ali bin Abi Talib.  Oleh itu tiga orang Khalifah iaitu Saidina Abu Bakr, Saidina Umar dan Saidina Usman serta sahabat lain yang membai’ah mereka sebagai khalifah menjadi musuh kepada kaum Syiah.

Kemarahan mereka bertambah apabila selepas kewafatan Saidina Ali, jawatan khalifah dipegang pula oleh seorang lagi sahabat nabi iaitu Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan.  Masalah lain pula timbul apabila Saidina Muawiyah mewariskan jawatan Khalifah kepada puteranya, Yazid.  Pada zaman Khalifah Yazid inilah berlaku pembunuhan terhadap Saidina Hussein bin Ali, iaitu cucu Rasulullah.  Kepada kaum Syiah, orang yang sepatutnya menjadi khalifah selepas Saidina Ali ialah saidina Hussein bin Ali.  Oleh itu pembunuhan Saidina Hussein di Karbala, Iraq menjadi satu mercu tanda permusuhan politik terhadap sahabat nabi dan keluarga Umayyah.

Lalu bagaimanakah sikap setiap muslim terhadap para sahabat nabi?  Para sahabat mempunyai darjat tersendiri di sisi Rasulullah berdasarkan pengiktirafan Allah dalam al-quran dan sejarah perjuangan mereka bersama Rasulullah.  Saidina Abu Bakr mendapat gelaran As-Siddiq kerna kesetiaan dan kepercayaan kepada baginda Rasulullah tanpa berbelah bagi.

Dicatat dalam buku Para Sahabat Menurut Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah oleh Dr Muhammad bin Abdullah al-Wahibiy, mengenai kepentingan menerima sahabat nabi sebagai sebagian daripada kebenaran berakidah kepada Allah.  Jarang kita didedahkan bahawa menerima, menghormati dan menyayangi sahabat-sahabat nabi merupakan satu ciri akidah yang benar.  Ini bermakna, mencerca dan merendah-rendahkan para sahabat nabi menjadikan terputusnya berakidah yang benar.  Mudahnya, mencerca sahabat nabi menyebabkan seseorang muslim menjadi kufur!

Maksud firman Allah dalam surah al-Fath ayat 18 (maksudnya): sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu (Muhammad) di bawah sebatang pohon.  Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka  dengan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat.

Ayat di atas merupakan satu pengiktirafan Allah terhadap para sahabat nabi kerana Allah mengetahui isi hati mereka.  Peristiwa itu berkaitan dengan sumpah setia para sahabat terhadap Rasulullah ketika mendengar berita Sayyidina Usman dibunuh ketika membuat rundingan dengan kaum musyrik Makkah.  Maka para sahabat membuat perjanjian untuk berjuang atau berperang bersama Rasulullah demi membela kematian seorang sahabat. Jelasnya Allah telah reda kepada para sahabat nabi itu.  Apabila Allah reda terhadap mereka, apakah kita yang tinggal ini berani mencerca para sahabat yang diiktiraf oleh Allah.  Imam Ibnu Taimiyah mengatakan apabila Allah meredai orang (sahabat-sahabat nabi), maka Allah tidak akan memurkainya buat selama-lamanya. 

Berkaitan dengan peristiwa itu, Rasulullah bersabda (maksudnya): Tidak akan masuk neraka seorang pun, Insya Allah daripada kalangan mereka yang berjanji taat setia di bawah pohon ini. (riwayat Muslim)

Orang-orang yang dijamin syurga oleh Rasulullah tidak mungkin orang yang bergelumang dengan dosa, kerana kata-kata Rasulullah adalah kebenaran.  Maka sesiapa yang mencerca sahabat nabi, bermakna mereka menafikan kemuliaan peribadi sahabat yang disahkan sendiri oleh Rasulullah.  Apakah ada antara kita yang akan menyakiti Rasulullah dengan mencerca sahabat-sahabat baginda sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Syiah itu?

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa pendirian kaum Syiah yang mencerca dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah merupakan penyelewengan.  Tidak hairanlah jika ada hujah yang mengeluarkan Syiah daripada aliran Islam, sebaliknya mengatakan Syiah bukan Islam atau golongan kufar seperti penganut Nasrani, Yahudi dan pelbagai jenama agama musyrik lain.

Rabu, Julai 20, 2011

SAKI-baki ajaran Hindu-Buddha dalam agama orang Melayu

HARI ini hampir tidak ada lagi orang Islam yang melakukan upacara Mandi Safar.  Mandi Safar ialah mandi di pantai pada hari Rabu pertama dalam bulan Safar, salah satu daripada bulan-bulan Islam. Kepercayaan orang yang melakukan Mandi Safar ialah mandi untuk menolak bala, iaitu dipercayai orang yang melakukan Mandi Safar tidak akan terkena apa-apa musibah sepanjang tahun berkenaan sehingga dia melakukan Mandi Safar tahun berikutnya.

 Candi Borobudur, kuil Buddha terbesar di dunia terletak di Jawa Tengah, Indonesia

Asal-usul Mandi Safar ialah daripada pengaruh agama Hindu, iaitu penganut Hindu yang melakukan mandi suci di Sungai Ganga di India.  Mandi di Sungai Ganga dipercayai sebagai pembersihan dosa oleh penganut Hindu.

Tidak beberapa lama dahulu berlaku perdebatan mengenai adat persandingan pengantin sama ada hukumnya harus atau haram.  Ahli-ahli agama cenderung mengatakan umat Islam dilarang melakukan persandingan pengantin kerana dikatakan adat itu berasal daripada tradisi agama Hindu.  Bagi yang ingin mempertahankan adat bersanding, mereka telah memberi ‘fatwa’ supaya pengantin perempuan tidak mendedahkan auratnya.  Sebab itulah hari ini masih ada majlis persandingan tetapi pengantin perempuannya tetap bertudung.  Bagi yang berpegang kepada pendapat bahawa persandingan daripada adat agama Hindu dan wajib dihindari, pengantin hanya dibenarkan memakai pakaian pengantin  dan makan bersama ahli keluarga, tidak ada upacara duduk di pelamin.

Ada lagi adat daripada agama Buddha yang menjadi amalan orang Islam, khasnya keturunan Jawa, tetapi tidak didedahkan atas alasan tidak tahu atau menganggap adat itu sudah sebati dalam kehidupan beragama Islam pula.  Seolah-olah itulah ajaran dalam agama Islam.

Kepada masyarakat keturunan Jawa di Malaysia, ketika kematian pasti ada adat kenduri arwah yang ditetapkan hari-harinya seperti hari ketiga, hari ketujuh, hari ke-40, hari ke-100 dan hari kesetahun.  Ada pula yang melakukannya lagi tepat pada hari ke-1000!  Bilangan hari-hari berkenaan sebenarnya tidak ada apa-apa kaitan dengan ajaran agama Islam, rupa-rupanya sangat jelas daripada amalan orang beragama Buddha.

Dalam adat beragama Buddha, pada setiap hari-hari berkenaan selepas kematian ahli keluarga, mereka akan pergi ke kuburan si mati.  Di atas kuburan itu ahli keluarga si mati akan membawa makanan, buah-buahan, lilin, dupa, rumah-rumahan (bentuk rumah yang diperbuat daripada kertas) dan wang kertas akhirat.  Semua itu diletakkan di atas kuburan sebagai penghantaran kepada roh si mati dengan harapan roh si mati akan menikmati semua yang dibawa pada hari-hari berkenaan.

Rumah-rumahan dan wang kertas perak akhirat akan dibakar di kuburan sebagai pengiriman bahan-bahan itu kepada roh si mati.  Ahli yang hadir akan bergerak mengelilingi api yang membakar bahan-bahan itu.  Kepada mereka, itulah caranya orang yang hidup menghargai orang mati, dan percaya bahan-bahan yang dibakar sampai kepada roh si mati dan si mati itu menikmati kehidupan yang lebih baik di akhirat.

Untuk lebih jelas boleh lihat di situs ini

Mengapa ada kaitan ajaran agama Hindu dan Buddha dalam masyarakat Melayu, khasnya Jawa?  Islam hanya mula dianut oleh orang-orang Melayu (Jawa) pada kurun ke-15 dan 16.  Sebelum agama Islam diterima oleh orang-orang Melayu, agama Hindu dan Buddha sudah  lama berakar dalam kehidupan orang-orang Melayu.  Kerajaan Srivijaya (kurun ke-7 hingga ke-12) yang beragama Buddha berpusat di Palembang dan wilayah kerajaan beragama Buddha itu sehingga ke seluruh Tanah Melayu.  Kesan kuil Buddha zaman Srivijaya masih ada di Kedah hari ini.

Di Pulau Jawa, kerajaan Sailendra juga menjadi pusat ajaran Buddha sehingga dibina sebuah kuil Buddha terbesar di dunia.  Kuil atau candi Borobudur dibina di Jawa Tengah selama 75 tahun pada kurun ketujuh masehi.  Ini bermakna kuil Buddha itu sehingga sekarang berusia 1300 tahun!   Setelah keruntuhan kerajaan Srivijaya dan Sailendra, muncul pula kerajaan Hindu Majapahit di Jawa.  Kekuasaan Majapahit meliputi hampir ke seluruh Asia Tenggara termasuk di Tanah Melayu.  Majapahit berkuasa antara kurun ke-12 hingga ke-14.  Selama 200 tahun Majapahit menjadi pusat ajaran Hindu di Jawa menyebabkan hari ini masih terdapat berpuluh-puluh kuil Hindu kuno zaman Majapahit.  Hari ini Pulau Bali di timur Jawa masih kekal mengamalkan ajaran Hindu sebagaimana zaman Majapait dahulu.

Demikianlah  sangking lamanya zaman Buddha dan Hindu di alam Melayu  khasnya di Pulau Jawa, menyebabkan saki-baki ajaran agama-agama itu masih diamalkan oleh orang kita yang sudah beragama Islam.  Orang-orang yang masih mengamalkan adat Hindu-Buddha tidak perasan bahawa itu adalah sebagian adat agama berkenaan kerana adat itu sudah dicampur dengan ajaran Islam.

Misalnya, apabila orang-orang Jawa melakukan kenduri pada hari ke-3, ke-7, ke-40, ke-100 dan ke-1000, semuanya yang hadir membaca ayat-ayat al-Quran dan doa yang ditujukan kepada roh si mati.  Adat dalam agama Buddha yang dimasukkan ayat-ayat al-Quran itu yang menyebabkan generasi Islam hari tidak percaya lagi bahawa asal-usulnya daripada ajaran agama Buddha.

Kesimpulannya, adat sudah menjadi satu cara hidup dan akan kekal jika adat itu diterima sebagai ajaran agama pula.  Moga-moga orang yang kuat jiwa beragamanya, akan meneliti adat agamanya agar terselamat daripada saki-baki agama jahiliah orang-orang dahulu kala.

Wallahu ‘aklam

Sabtu, Julai 16, 2011

YANG munasabah dalam ibadah

SEJAK dahulu hingga sekarang telah ada orang yang sangat mencintai agama dan mengharap keredaan Allah begitu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah khusus.  Perwatakan mereka jelas terpampang wajah orang kuat beribadah.  Kehidupan mereka memang terpisah daripada perkara-perkara maksiat seperti hiburan melampau, mengumpat, menjerit-jerit, mencuri, menipu, menerima atau memberi rasuah serta pelbagai kerja-kerja dosa yang lain. 

Ada antara mereka mempunyai pemikiran mengenai kedudukan mereka berbanding dengan Junjungan Rasulullah s.a.w.  Biasa juga kita mendengar hujah sebegini:  Jika Rasulullah beristighfar 100 sehari (astaghfirullaha wa atubu ilaih. Riwayat al-Bukhari) sedangkan baginda seorang yang maksum, kita manusia biasa sepatutnya mesti beristighfar jauh lebih banyak daripada itu.  Maksud prinsip beribadah mereka ialah, orang biasa (terutama yang sudah jauh ditinggalkan oleh Rasulullah) perlu beribadah yang kuantitinya jauh lebih banyak daripada yang dicontohkan oleh Rasulullah, kerana manusia biasa ini lebih banyak berdosa kepada Allah.  Pada mereka, dengan bertambah banyak ibadah (lebih daripada yang ditunjukkan oleh Rasulullah) bermakna di sisi Allah berkedudukan sama seperti Rasulullah.

Dahulu semasa Rasulullah masih hidup juga sudah ada kalangan orang yang berfikir demikian.  Dalam kalangan sahabat ada yang memerhatikan cara Rasulullah beribadah dan mereka berfikir dengan akalnya.  Antara mereka membuat keputusan:  Rasulullah seorang nabi dan terselamat daripada berbuat dosa, maka wajarlah begitu sahaja amal ibadahnya.  Kita pula manusia biasa yang banyak berdosa, maka tentulah amal ibadah kita mesti lebih banyak daripada yang dilakukan oleh Rasulullah.  Kemudian mereka berpuasa tanpa henti siang dan malam, sentiasa melakukan solat malam sehingga tidak memperdulikan isterinya.  Ada pula yang bertekad tidak mahu berkahwin kerana menganggap perkahwinan akan mengganggu kehidupan beribadah kepada Allah.  Akhirnya hal-hal sebegini diadukan kepada Rasulullah.

Maksud sabda Rasulullah: Kamukah yang menyebut begini, begini?  Demi Allah. Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa kepada-Nya dalam kalangan kamu, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat dan tidur dan aku mengahwini wanita.  Barangsiapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.  (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menjelaskan larangan menambah-nambah urusan ibadah kepada Allah sekalipun dari sudut akal penambahan itu sangat munasabah. Demikian antara petunjuk dalam beribadah, bahawa akal hendaklah dikemudiankan.  Apa yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah itulah sebaik-baik petunjuk beribadah kerana kedatangan baginda Rasulullah memang untuk menunjukkan cara-cara beribadah atau melakukan amal yang menghampirkan diri kepada-Nya.

Maksud firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21:  Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik untuk orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat dan dia banyak menyebut serta mengingati Allah (pada masa susah dan senang).

Sebagai contoh yang baik ialah kedudukan solat berjamaah.  Sekalipun semua faham betapa mulia dan tingginya fadilat solat berjamaah namun solat berjamaah itu hanya dilakukan untuk yang ditunjukkan oleh Rasulullah seperti semua solat fardu, solat sunat tarawih dan beberapa ketika  solat tahajud.  Mengapa tidak dilakukan solat-solat sunat lain secara berjamaah, yang sepatutnya  munasabah untuk dilakukan.  Jawabnya ialah petunjuk Rasulullah hanya solat-solat yang demikian.  Oleh itu dengan membudayanya solat hajat yang dilakukan berjamaah, kita tertanya-tanya di manakah mereka mendapat contoh daripada sunah nabi.

Dalam urusan kematian tampaknya  banyak bentuk-bentuk ibadah baru yang dianggap sangat munasabah itu, tetapi kabur daripada petunjuk sunah Rasulullah.  Hanya dengan memahami prinsip ibadah dan sunnah nabi barulah seseorang ahli ibadah itu dapat menjernihkan sedikit demi sedikit urusan ibadahnya kepada Allah.

Jumaat, Julai 15, 2011

BIARKAN Ng Suee Lim membaca ayat-ayat kebenaran

KALI ini kes orang bukan Islam membaca hadis, dulu baca ayat quran.  Jadi isu lagi kerana ada orang menganggap mereka tidak boleh sama sekali membaca alquran dan hadis nabi.  Oh ya ya, sebelum ini sudah diketahui  umum bahawa mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair membaca alquran.  Kalau YB bukan Islam membaca hadis hendak dijadikan isu, sepatutnya Tony Blair membaca alquran juga jadi isu!

Jangan apabila Tony Blair membaca alquran, kita suka dan berharap dia akan masuk Islam setelah faham kandungannya, tetapi apabila orang bukan Islam di Malaysia baca quran atau hadis, kita memarahinya.  OK....

SHAH ALAM, 14 JULAI – Perlakuan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang menghalang seorang Adun DAP daripada memetik petikan hadis dalam sidang Dewan Negeri, mencerminkan mentaliti cetek UMNO terhadap Islam.

Adun Sekinchan Ng Suee Lim berkata, tindakan Satim menyekat beliau menyebut petikan hadis adalah untuk menunjukkan kononnya agama Islam itu adalah hak milik UMNO sahaja. “Islam merupakan agama yang bersifat global, iaitu untuk semua, dan sesiapa pun boleh mempelajari ajaran Islam.  Saya tak pernah berniat hendak memperlekehkan atau mempersendakan agama Islam kerana bagi saya Islam adalah agama yang murni,” katanya.

Jelas Ng lagi, tindakan Satim itu ternyata salah dan berdasarkan pemikiran yang sempit.  “Bila dia sekat saya dari memahami Islam, itu jelas bercanggah dengan budaya Islam sendiri,” katanya.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 pada Selasa lalu, Ng menyatakan bahawa beliau mahu membacakan sebuah hadis sebagai hujah untuk menyokong perbahasannya.

Hujah Ng adalah untuk menjelaskan mengenai Skim Mesra Usia Emas yang mencapai perkembangan memberangsangkan tanpa sebarang rungutan oleh para peserta dan penerima skim tersebut.

Namun, belum pun beliau sempat memetik hadis tersebut, Satim telah mempertikaikan tentang kesahihan hadis yang belum dibacakan Ng itu.

Satim ketika ditemui wartawan dipetik sebagai berkata: “Kenapa Ng mahu membicarakan mengenai hadis agama Islam sedangkan beliau tidak beriman kepada agama itu sendiri.”

Bagaimana pun, Ng berkata sebagai seorang yang bukan beragama Islam, jika disekat untuk memahami Islam, sampai bila-bila pun orang bukan Islam tidak akan memahami Islam.

“Kalau orang ramai tidak memahami Islam, bagaimana mereka hendak mendapat hidayah?” soalnya.
Apabila Satim dan Adun BN Kuang Shukur Idris menimbulkan kekecauan dalam Dewan dengan tidak mahu membenarkan sesi diteruskan, Speaker Teng Chang Khim tidak ada pilihan kecuali mengarahkan mereka keluar Dewan.

(berita seterusnya berkaitan dengan sikap berpolitik, saya sengaja memotongnya. Maafkan saya.)

Rabu, Julai 13, 2011

MASJID al-Rahmaniah pekan Terong Perak

DALAM perjalanan dari Kedah ke Selangor, saya melalui pekan kecil Terong selepas keluar dari lebuh raya Changkat Jering.  Saya mampir ke masjid yang jelas model lama iaitu Masjid al-Rahmaniah di Terong Perak.  Bangunan masjid ini memang jelas model lama, dan terdapat bangunan baru di sebelah kirinya.  Tidak ada sesiapa di sana yang boleh membantu saya mendapat maklumat mengenai sejarah masjid ini.

 Bahagian hadapan tidak terdapat mihrab sebagaimana masjid biasa

Daripada ukiran di dinding luar masjid tambahan tertera ‘1918 -2007’ membawa maksud masjid yang asal itu dibina pada tahun 1918 dan masjid tambahannya ialah pada tahun 2007.


Masjid ini patut diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah negara yang wajar dilindungi oleh undang-undang.  Hampir 100 tahun usia masjid ini, tentu ada sejarahnya yang luar biasa dan patut dicatat dalam sejarah, sekurang-kurangnya sejarah pekan Terong.  Namun, saya tidak melihat ada nota atau catatan di masjid itu mengenai sejarahnya.

mihrab dan mimbar
Harap Jabatan Muzium Perak akan berinisiatif mengenai perkara ini memandangkan beberapa tahun saja lagi Masjid al-Rahmaniah akan berusia 100 tahun.

Selasa, Julai 12, 2011

NASIONALISME Melayu: Ada titik temu Pas dan Umno

PARTI Islam se-Malaysia (Pas) menolak sepenuhnya fahaman kebangsaan Melayu atau nasionalisme Melayu.  Semua faham, kerana pertentangan politik dan hendak menjelaskan perbedaan antara Pas dan Umno, maka pas mengatakan nasionalisme melayu itu salah, sementara Umno mempertahankan fahaman itu.

Di manakah asas nasionalisme Melayu?  Pengkaji mengatakan budaya Melayu agak unik kerana masyarakat Melayu sejak sekian lama tidak membedakan antara Islam dan Melayu.  Malahan, pengkaji Timur (orientalis) dari Barat menyedarinya sehingga pihak British boleh mencampuri segala urusan politik dan ekonomi, tetapi tidak bagi agama Islam dan adat resam Melayu.

Setelah negara merdeka pun hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu kekal menjadi satu unsur  di bawah kuasa raja-raja Melayu.  Dalam perlembagaan, Perkara 160 (1) menjelaskan bahawa yang dinamakan orang Melayu ialah yang beragama Islam.  Sebenarnya, sejak sekian lama hal-hal agama (lebih tepat difahami hal ibadah khusus) telah diterima juga sebagai adat resam Melayu.  Hal-hal adat resam Melayu seperti pakaian Melayu iaitu sut baju Melayu, membaca berzanji, kenduri kematian, adat mencukur jambul dan pencak silat sudah dianggap sebagai ritual agama Islam.  Tidak sedikit mereka memahami semua adat Melayu itu sudah dianggap sebagai sunnah, atau perintah mulia dalam agama.

Orang Melayu tanpa mengira fahaman politik apa pun menerima percampuran adat resam melayu dalam ibadah agama. Cara-cara belajar agama seperti memahami ilmu tauhid dengan cara Sifat 20 juga termasuk dalam adat resam, sehingga sesiapa yang belajar  ilmu tauhid tetapi tidak menggunakan Sifat 20 itu sebagai sangat pelik.  Kalau melakukan solat di masjid pada waktu malam dengan berseluar panjang pun kelihatan janggal kerana berkain pelikat, jubah arab dan baju Melayu sudah dianggap sebagai pakaian paling afdal untuk bersolat.  Pada hari Jumaat pula  orang lelaki Melayu akan berpakian sut Melayu.

Itulah yang dianggap asas bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.  Kepada orang-orang Umno, semua orang Melayu mestilah bersatu dalam partinya kerana di situlah perpaduan Melayu sebenar.  Bagi mereka perpaduan Melayu sama juga perpaduan Islam kerana tidak dibedakan antara Melayu dan Islam.

Kepada orang-orang Pas, perpaduan Melayu samalah seperti seruan perpaduan Arab.  Dalam kamus politik Pas, tidak ada perpaduan Melayu, yang ada ialah perpaduan Islam dan Pas adalah wadah yang paling afdal. Persoalannya ialah, jika atas alasan perpaduan kebangsaan Melayu dalam politik tidak ada kepada pejuang-pejuang Islam dalam Pas, mengapa mereka masih tegar mengamalkan konsep kebangsaan Melayu dalam ritual beragama? 

Jika Umno, memanglah mereka tidak isytiharkan sebagai parti yang berteraskan al-Quran dan sunnah yang tidak perduli sangat hal percampuran adat dan ibadah. Pas yang bersikap keras atas alasan ‘tuntutan Islam’ memisahkan politik Islam dan Melayu, sepatutnya juga dalam beragama memisahkan ibadah dengan adat!

Kesimpulannya, pengikut-pengikut tegar Pas pun masih pekat mengamalkan kebangsaan Melayu yang mencampur-adukkan hal ibadah dengan adat sehingga orang yang hendak memurnikan ibadah supaya menepati sunah Rasulullah tidak diperdulikan oleh orang-orang Pas.  Dalam hal beragama secara Melayu, apa bedanya antara orang-orang Pas dan Umno?

Khamis, Julai 07, 2011

TATKALA ceramah sebelum khutbah....

BEBERAPA tahun yang lalu dalam sebuah surau ada yang bertanya: Apakah hukumnya diperdengarkan bacaan al-Quran daripada kaset atau CD sebelum khutbah jumaat?  Si ustaz nampaknya dalam dlema hendak memberi satu jawaban yang tuntas sama ada tidak boleh atau boleh.  Beliau masih berkira-kira mengenai hak orang yang beriktikaf, yang mahukan suasana hening tetapi dia juga merasakan perlunya kemeriahan pada hari Jumaat!


Agaknya keputusan yang tidak jelas begitu menyebabkan orang pun masih berbeda-beda pendapat mengenainya.  Keadaan seperti ini menggambarkan al-Quran dan sunah nabi tidak memberi garis panduan yang jelas dan membiarkan orang-orang Islam memihak berdasarkan kepentingan masing-masing.

Orang hadir awal ke masjid pada hari Jumaat adalah untuk beriktikaf atau melakukan ibadah khusus secara sendirian.  Maka ada yang berzikir, membaca al-Quran dan bersolat.  Bagaimana jika ada yang berzikir  dan membaca al-Quran dengan suara yang kuat, sedangkan mereka sedang melakukan ibadah khusus kepada Allah.

Maksud sabda Rasulullah:  Ketahuilah bahawa semua kamu sedang bermunajat kepada Rabnya (Tuhannya). Kerananya, janganlah sebagian antara kamu mengganggu sebagian yang lain.  Dan janganlah sebagian antara kamu menguatkan bacaannya dari sebagian yang lain.  (Riwayat Abu Dawud dan dinyatakan sahih oleh al-AlBani.)

Daripada hadis itu jelas, sekalipun seseorang sedang membaca al-Quran (membaca al-Quran merupakan ibadah yang mulia), namun apabila dia menguatkan bacaannya dikira sudah menganggu orang lain yang sedang beribadah kepada Allah.  Masih tidak jelaskah peraturan daripada Rasulullah yang melarang kebisingan dalam masjid sekalipun daripada suara zikirullah atau membaca wahyu Allah?

Sekarang ada pula tindakan beberapa pihak yang berceramah atau memgadakan majlis ilmu (istilah lain ialah tazkirah) dengan menggunakan pembesar suara.  Penuh suara si penceramah dalam masjid sedangkan pada waktu yang sama orang masuk ke masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid.  Ada yang berzikir dan berdoa.  Suara yang lantang itu jelas satu gangguan kepada jemaah Jumaat yang hadir  dan seakan ada satu paksaan pula untuk mendengar ceramah sebelum khutbah.

Diriwayatkan daripada ‘Amr bin syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya iaitu Abdullah bin ‘Amr:  Bahawa Rasulullah melarang berniaga, mencari barang yang hilang dan bersyair dalam masjid.  Baginda juga melarang membuat halaqah sebelum solat (Jumaat) pada hari Jumaat. (hadis hasan riwayat Abu Dawud, At Tirmizi dan an-Nasa’i.)

Begitulah pendirian as-Sunah mengenai larangan menganggu hamba-hamba Allah yang sedang bermunajat kepada Tuhannya.

Allahuaklam.

Ahad, Julai 03, 2011

KENDURI Tahlil adat resam kita....

(catatan di bawah merupakan risalah yang saya berikan kepada rakan-rakan di desa. Dalam tempoh sebulan ini padat dengan adat resam yang disangka perintah Allah. )


KENDURI TAHLIL KIRIM ARWAH BUDAYA KITA….

CATATAN ini untuk mereka yang jujur mencari kebenaran di sisi Allah dan rasul-Nya.  Juga, untuk mereka yang menyerah diri kepada kebenaran serta meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas, di samping menjaga sunah Rasulullah.

Maaf tuan-tuan, apakah kenduri tahlil kirim arwah itu sunah nabi atau adat resam Melayu?  Berdasarkan budaya dan pemahaman yang selama ini dipegang, nampaknya kebanyakan kita percaya kenduri tahlil kirim arwah itu adalah ajaran agama.  Jika kenduri arwah yang popular itu ajaran agama Islam, tentulah dalil-dalilnya sangat jelas dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang sahih.

Maksud kenduri tahlil kirim arwah itu jelas bentuk bacaan-bacaan beberapa surah dalam al-Quran dan ayat-ayat pilihan lain.  Semua itu dirangkum dinamakan Tahlil Arwah dan bacaan itu pahalanya diniatkan untuk dikirim atau dipindahkan kepada mana-mana arwah keluarga kita.

Mula-mula kita tanya: Adakah pahala dan dosa seseorang boleh dipindah-pindahkan kepada orang lain?  Jika kita kaji dalam agama Kristian, memang jawabannya ‘Ya’.  Dalam Kristian satu akidah utamanya ialah Dosa Warisan iaitu dosa Nabi Adam di syurga diwariskan kepada manusia sehingga seorang yang dinamakan Jesus merelakan dirinya disalib sebagai menebus dosa warisan itu.

Selama ini kita membaca beberapa surah dan ayat al-Quran kemudian pahalanya dikirimkan kepada si mati.  Tujuannya ialah supaya si mati di alam barzakh mendapat faedah daripada bacaan kita di dunia ini.  Adakah perkara yang sebegini penting tidak dijelaskan dalam al-Quran? Adakah agama Islam mengajarkan bahawa dosa dan pahala seseorang boleh diwariskan atau diagih-agihkan kepada orang-orang lain, khasnya kepada orang mati? 

Kita temui ayat 46 surah al-Fushilat bermaksud: Barangsiapa mengerjakan kebajikan, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa berbuat kejahatan maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.

Ini bermakna perbuatan memindahkan pahala jelas tidak betul.  Pahala dan dosa tidak boleh dipindah atau dikirimkan kepada sesiapa. Pahala dan dosa adalah tanggungan diri sendiri.  Ayat di atas sangat jelas berlawanan dengan pemahaman kita yang mendakwa pahala boleh dikirim kepada arwah dan si arwah akan mendapat manfaat daripada itu.

Mungkin ada sahabat kita akan mencari dalil akal seperti, “kita buat juga Kenduri Tahlil, biarlah Allah tentukan sama ada Dia hendak terima atau tidak.”  Jika begitu, ertinya kita akan membuatnya juga sekalipun jelas berlawanan dengan firman Allah.  Berdasarkan hadis sahih nabi, perbuatan itu sia-sia atau tidak berguna di sisi Allah.

Maksud sabda Rasulullah: Barangsiapa yang melakukan satu amal ibadah yang bukan daripada suruhan kami, maka ia tertolak.  (Riwayat Muslim)

Lagi maksud sabda Rasulullah: Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami (urusan agama) perkara yang tidak ada padanya, maka ia tertolak. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah mengatakan amal yang tidak baginda tunjukkan caranya, dan kita membuatnya sendiri, amal itu sia-sia.  Kenduri Tahlil tidak ada contoh dan termasuk dalam perkara sia-sia.  Sia-sia bermakna kosong, tidak ada apa-apa.  Jadi tidak perlulah kita nak buat juga dan membiarkan Allah tentukan sama hendak menerima atau menolaknya.  Tuan-tuan yang budiman, Islam agama yang jelas, bukan dalam proses cuba-cuba lagi!

Mungkin ada sahabat kita memberi komen, “Tahlil ini sudah menjadi kebiasaan umat Islam sejak zaman nenek moyang, tak kanlah mereka salah.”

Keraguan seperti ini pun dijelaskan dalam al-Quran ayat 170 surah al-Baqarah bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka ‘ikutilah apa yang diturunkan oleh Allah’, mereka menjawab ‘(tidak) Kami mengikuti apa yang kami dapati daripada nenek moyang’.  Padahal nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun dan tidak mendapat petunjuk.

Satu kesimpulan penting daripada catatan ini ialah membentuk pendirian sejati seseorang muslim.  Apakah pendirian kita setelah dibuktikan Kenduri Tahlil itu berlawanan dengan al-Quran dan sunah nabi?  Allah mengajar kita dalam surah al-Ahzab ayat 36.

Maksudnya:  Dan tidaklah sepatutnya bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan lain bagi mereka tentang urusan itu.  Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.

Ayat 51 surah an-Nur pula (maksudnya): Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan sunah rasul-Nya sebagai hakim memutuskan perselisihan di antara mereka, iaitu mereka berkata ‘Kami dengar dan taat’.  Mereka itulah  yang mendapat kejayaan.

wallahuaklam