Halaman

Ahad, Jun 05, 2011

TANPA sedar, bertuhankan manusia


YAKIN bukan saya seorang pernah mendengar cerita mengenai ujian kepada anak-anak yang belajar agama. Dikatakan seorang guru akan memilih calon menantu daripada sekian banyak para pelajar puteranya. Kemudian Sang Guru memberikan setiap orang pelajarnya seekor ayam dan sebilah pisau. Pesannya lagi kepad anak-anak yang telah dididik mengenai akidah ialah agar pergi menyembelih ayam itu di tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa.

Maka semua pelajar itu mencari tempat yang diyakini tidak dilihat oleh sesiapa dan berjaya menyembelih ayam itu menurut kaedah Islam. Setelah berkumpul dan mahu menanti keputusan siapakah yang akan dipilih sebagai menantu Sang Guru, semua menanti kedatangan seorang rakannya lagi. Akhirnya dia muncul tetapi ayam di tangannya masih hidup dan dirinya pula kelihatan lemah kerna penat.
Mengapa kau masih tidak menyembelih ayam itu?” Tanya Sang Guru kehairanan.
Pelajar lelaki itu menggelengkan kepala, kemudian memberitahu, “Ke mana pun saya menyelinap untuk menyembelih ayam ini, ada saja yang melihatku.”
Pelajar-pelajar lain tertawa melihat ‘kebodohan’ seorang rakannya. Sang Guru masih rasa hairan. “Siapa yang senantiasa mengintip kau?”
Allah!”

Ayat akidah yang sangat berkaitan dengan mesej di atas ialah surah al-Fajr ayat 14: Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasimu. Dan surah Ghafir ayat 19: Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.

Yang menarik untuk difahami daripada cerita itu ialah dalam kehidupan biasa manusia muslim jarang senantiasa meletakkan Allah sebagai keutamaan. Demikian juga pelajar-pelajar agama yang sudah diajar mengenai akidah, bahawa Allah senantiasa melihat perlakuan manusia di mana pun mereka berada.

Kedua, pelajar-pelajar agama yang asal tujuannya mahu lebih menjadi hamba Tuhan berbanding rakan-rakan yang lebih mendalami kemahiran hidup lain, juga masih tewas dengan tipu muslihat syaitan. Pelajar-pelajar akidah itu seperti tiada bedanya dengan pelajar yang mengkaji matematik atau sains.

Di atas mungkin hanya cerita sastera, tetapi banyak pengalaman yang sama berlangsung. Saya pernah belajar bersama para ustaz dan ustazah selama setahun untuk mengambil Diploma Pendidikan. Mereka semua ada ijazah agama dan sebagiannya sangat mahir berbahasa Arab. Dalam perbualan biasa dengan menggunakan bahasa Melayu, mauduk perbincangan mereka tidak banyak bedanya dengan mereka yang tidak punya ijazah agama. Kemudian dalam dewan peperiksaan, mereka yang ada ijazah agama juga diawasi sebagaimana pelajar lain yang bukan digelar ustaz. Malah ada kalanya, ada antara mereka yang cuba menipu dalam peperiksaan dengan bertanya rakan sebelahnya.

Teorinya orang yang belajar agama tentulah ketaqwaannya kepada Allah lebih berbanding yang belajar kemahiran lain. Sepatutnya, golongan agama inilah yang paling merasa diintip oleh Allah setiap waktu, sehingga dalam peperiksaan mereka pasti tidak akan menipu atau meniru daripada mana-mana sumber.

Jika begitu situasinya dalam pemelajaran, tidak banyak bedanya dalam pekerjaan. Akhirnya kita lebih takutkan pegawai atasan, ketua jabatan, majikan, bos atau sesiapa yang lebih berkuasa ke atas kita. Kita cenderung bekerja secara bersahaja, tetapi tampak bersungguh-sungguh apabila apa penyelia, ketua jabatan atau bos yang melihat atau sengaja melihat cara kerja kita. Keadaan ini jelas menggambarkan ketakutan kita kepada manusia lebih berbanding terhadap Allah, walhal dalam diri sering mengakui bahawa Allah sahajalah tempat kita meletakkan harapan dan matlamat.

Mungkin inilah antara sebab banyak kegagalan muslim dalam bidang kehidupan. Kesungguhan kita bekerja hanya apabila ada pemantauan manusia lain, sedangkan sepatutnya setiap saat bekerja mesti dalam kesungguhan kerna diperhatikan oleh Allah. Opps, buka hanya diperhatikan, malah akan dipertanggungjawakan nanti di akhirat sana. Bisa dirujuk al-Quran surah al-Isra’ ayat 36.

Oleh kerna keupayaan manusia memantau amat terhad, maka kesungguhan kita bekerja juga terhad. Banyak kerja yang longgar dan selekeh kerna kurang dipantau. Keselekehan kerja itulah yang banyak menyumbang kegagalan banyak bidang di dunia. Kaum lain sekalipun bukan Islam, mereka ada etika yang baik iaitu kerja dengan rajin dan cemerlang kerana kepuasan, secara tidak langsung menjamin kecemerlangan bidang yang diceburi.

Timbul persoalan: Apakah sebenarnya kepuasan yang kita inginkan sebagai muslim?

1 ulasan:

  1. blogmusafir..ye...sile follow blog sye.. http://amanjamaluddin.blogspot.com/ insya-Allah ade manfaatnye..

    BalasPadam