Halaman

Ahad, Jun 19, 2011

BERDOALAH dengan penuh rayuan dan cemas


SEKARANG bulan Jun belum ada pihak sekolah menganjurkan solat hajat supaya pelajar-pelajar lulus cemerlang dalam peperiksaan.  Selalunya dalam tempoh dua minggu sebelum musim peperiksaan sebenar, itulah waktunya yang mereka anggap sangat sesuai berdoa melalui solat sunat hajat.  Tulisan ini bukan hendak menyetujui solat hajat atau menolaknya.

Semua orang punya keinginan atau cita-cita.  Sebagai muslim semua percaya bahawa hanya Allah sahaja yang berhak menunaikan atau tidak memberikan apa yang diharapkan.  Maka itulah orang berdoa.  Kebanyakan orang lebih percaya doa dalam bahasa Arab yang tidak diketahui maknanya adalah lebih mustajab.  Oleh kerana doa adalah ibadah khusus antara hamba terhadap Tuhannya, maka tentulah lebih afdal jika doa itu diucapkan dalam bahasa yang asal iaitu Bahasa Arab.  Namun hubungan istimewa antara Allah dan hamba-Nya, lafaz doa masih dibenarkan dalam bahasa yang sangat difahami oleh pelafaz.

Untuk apa berdoa? Jawabnya supaya permintaan terhadap Allah dikabulkan.  Bagaimana berdoa  supaya dikabulkan? Jawabnya, orang yang berdoa mengetahui apa yang diminta dan meminta kepada Tuhan Yang Maha dalam segala-galanya dengan penuh harap dan cemas.  Berdoa penuh harap dan rasa cemas jika permintaannya tidak ditunaikan oleh Allah tidak banyak dilakukan oleh antara kita yang berharap hajatnya dimakbulkan.  Doa-doa yang banyak dilakukan dilafazkan dalam suasana meriah, terbuka, dan diaminkan oleh orang lain yang dalam keadaan santai dan bersahaja.

Maksud firman Allah dalam surah al-Anbiya: 90 “Kami telah memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung.  Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas.  Dan mereka adalah orang-orang yang khusuk kepada Kami.”

Firman Allah itu berkaitan dengan permintaan Nabi Zakaria yang isterinya mandul.  Begitu baginda berdoa dengan penuh harap dan cemas, Allah mengkabulkan permintaannya.  Permintaan Nabi Zakaria diperkenankan oleh Allah sedangkan mengikut hukum akal, isteri Nabi Zakaria itu tidak mungkin boleh melahirkan anak.  Nabi Zakaria merupakan orang yang cepat (bersegera) dalam melakukan kerja-kerja yang baik dan sentiasa khusuk (reda/ikhlas) kepada Allah.

Oleh itu jika pihak murid-murid atau pelajar mahu Allah menunaikan harapannya agar mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang, dia boleh melalui pengalaman seorang nabi. 

Pertama, dia hendaklah sentiasa bersegera melakukan kerja-kerja yang baik dalam kehidupan sehari-hari.  Misalnya jika ada sampah yang perlu dibuang, dia tidak perlu bertanya kepada orang lain ‘tugas siapa membuang sampah hari ini?’  Baginya itulah kesempatan melakukan kerja kebajikan.

Kedua, semua kerja kebajikan itu dia lakukan dengan ikhlas dan reda.  Ikhlas bermakna dia melakukan kerja bukan mengharap penghargaan (walau sedikit) daripada pihak lain, dan apa keadaan kerja yang dilakukan itu dia pasti reda.  Reda terhadap kerja itu bermakna dirinya tidak menyesali perbuatan itu, sebaliknya gembira kerana berjaya bekerja semata-mata kerana Allah.

Ketiga, apabila dia berdoa kepada Allah agar dia dapat belajar dengan baik dan mendapat keputusan cemerlang (misalnya 4 Prinsipal A dalam STPM), dia berdoa dengan perlahan, penuh rayuan kepada Allah.  Doa yang penuh mengharap dan dia sendiri akan rasa cemas jika harapannya tidak tercapai. 

Maksud surah al-Araf ayat 55 dan 56.: "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut.  Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.  

"Dan janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik.  Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap.  Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan."

Kesimpulannya, doa adalah hubungan istimewa seseorang terhadap Allah. Maka gunakanlah keistimewaan ini yang mudah tanpa modal upah kepada sesiapa atau membelanja makan seseorang.  Jangan meletak harapan tinggi melalui doa yang dilakukan bersempena solat hajat yang nampak mewah dan megah, kerana sebaik-baik permintaan hamba kepada Tuhan sebagaimana yang dicatat dalam al-quran. Doa dilakukan secara sendirian dalam suasana hening.  Sila rujuk ayat-ayat di atas.

1 ulasan:

  1. catatan yang baik...http://mykampong-hasdin.blogspot.com/2011/06/keputusan-penuh-malaysia-vs-lubnan.html

    BalasPadam