ORANG yang menunggang motorsikal ada yang memakai topi keledar kerana mematuhi undang-undang, dan ada yang tidak memakainya sebagai menganggap perkara remeh-temeh. Kedua-dua orang ini tidak terlibat dalam mana-mana kemalangan yang boleh membuktikan antara faedah memakai topi keledar dan risiko tidak memakainya. Di mana lagi bukti faedah si pemakai topi keledar?
Di mana-mana ada peraturan atau undang-undang, dan hakikatnya tidak semua manusia telah dan sedang mematuhi semua peraturan. Di balik hakikat tidak semua mematuhi peraturan, tidak pula semua yang melanggar peraturan itu dikenakan hukuman! Malah ayat yang biasa didengar ialah ‘sedangkan hukum Allah pun dilanggar, inikan pula hukum manusia’. Ayat ini menggambarkan ada segolongan manusia yang secara sedar melanggar undang-undang itu dengan alasan ada undang-undang yang lebih hebat pun tidak dihiraukan oleh manusia.
Perhatikan pengguna-pengguna jalan raya yang banyak ingkar peraturan had laju, tetapi ada juga yang mematuhinya. Sekolah juga ada peraturan untuk murid-muridnya. Banyak murid yang patuh, tetapi masih ada yang sengaja melanggar paraturan. Jika ada hukuman untuk yang melanggar undang-undang, sepatutnya mesti ada habuan atau hadiah kepada yang mematuhi undang-undang. Dalam kehidupan manusia, yang sangat berguna ialah memenuhi kehendak peraturan tetapi malangnya tidak ada peruntukan dalam undang-undang memberi hadiah kepada yang patuh undang-undang. Itulah dunia yang sangat terbatas kemampuannya. Dunia hanya mampu menghukum pesalah, tetapi tidak upaya memberi hadiah kepada yang tidak bersalah.
Di mana lagi ada keadilan yang hakiki terhadap persoalan di atas? Siapa yang tidak percaya keagungan Allah dan kekayaan-Nya untuk memberi balasan di akhirat kelak, dia akan merana dan merasa rugi sepanjang masa. Kepada yang beriman kepada hari akhirat, yang yakin bahawa Allah akan membalas semua kebaikan di dunia (yang tidak dihiraukan di dunia), mereka senantiasa gembira dan menunggu hari pembalasan yang sangat adil.
Lihat maksud firman Allah dalam surah Luqman ayat 16: (Kata Luqman) Wahai anakku, sesungguhnya, jika ada (suatu perbuatan) sekalipun seberat biji sawi serta ia (perbuatan itu) tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah maha halus, lagi maha teliti.
Kesimpulannya, akidah dan keimanan yang kukuh berjaya mengawal tingkah laku manusia sekalipun dalam urusan yan sangat keduniaan. Apabila Allah menyatakan hidup manusia untuk mengabdi kepada-Nya, maka seluruh kehidupannya adalah dalam bidang ketaatan kepada-Nya, termasuk semasa bekerja, belajar, beriadah, melancong dan sebagainya. Selalunya orang hanya digambarkan amal salih hanya yang ada kaitan dengan ibadah atau agama, tetapi dalam Islam semua hal dalam perhitungan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan