Halaman

Ahad, Mac 27, 2011

DR Asri ajak berhimpun bertemakan antipolitik lucah!


ADAKAN PERHIMPUNAN ANTI POLITIK LUCAH
Saya mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor. Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek dalam kalangan politikus dan media di negara ini. Kita menentang POLITIK LUCAH dan POLITIK SELAK KAIN. Semua rakyat Malaysia yang bermaruah dan mempunyai harga diri sebagai manusia bertamadun menuntut perkara-perkara berikut;

1. Semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat. Ia adalah amalan jijik dan kotor. Samada dalam UMNO, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; samada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang. Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain.

2. Bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini. Ini akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif. Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan.

3. Media hendaklah menjadi wacana yang bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik. Media yang menggalakkan fitnah, atau pendedahan unsur lucah hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah.

4. Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif. Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita. Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri.

5. Rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti. Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran.

- Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan