Halaman

Selasa, Mac 08, 2011

BAGAIMANA pelajar sekolah di sisi Allah?


DI daerah saya, Sabak Bernam dan negeri Selangor amnya kecenderungan ibu bapa muslim ialah menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama.  Oleh kerana Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berperanan dalam pendidikan agama, maka banyaklah sekolah agama menengah dibina.  Oleh itu banyaklah cuba ibu bapa tidak memilih sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang diurustadbir oleh kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebaliknya memilih pendidikan di sekolah agama menengah (SAM).

 foto hanya hiasan

Mengapa begitu?  Jawabnya ialah harapan tinggi ibu bapa terhadap pendidikan agama dan kurang percaya pula terhadap SMK.  Paling tidak kalau di desa, ibu bapa berkenaan akan berkata, “kalau pelajaran akademiknya tidak maju, pelajaran agamanya berguna untuk hidup”.

Sisi lain, persepsi mereka ialah SMK tidak Islamik berbanding SAM.  Pertumbuhan sekolah-sekolah rendah dan menengah agama swasta pula ada kaitan dengan persepsi yang sekolah kendalian kerajaan gagal memenuhi pendidikan Islam. Itu persepsi dan dakwaan mereka. Maka mereka bergotong-royong membina sekolah agama swasta.  Yang swasta ini kelihatan lebih mewah berbanding sekolah-sekolah agama pondok.

Bagaimana nasib anak-anak yang bersekolah di sekolah kebangsaan (SK) dan SMK?  Tidak menepati ajaran agamakah? Dan bagaimana pula guru-gurunya yang sebagian besar pemikiran dan tenaganya dicurahkan untuk mendidik anak-anak di sana, adakah mereka bersekongkol melaksanakan pendidikan yang dikatakan ‘tidak islamik’ itu?

Tafsiran saya mengenai hal ini ialah persepsi, yang dimasukkan dengan sentimen politik.  Pengaruh politik sangat kuat mempengaruhi persepsi seseorang dan kelompok masyarakat.  Oleh kerana SK dan SMK dikendalikan oleh KPM, maka dibaca sebagai sekolah sekular (baca sekolah itu sebagai pusat latihan Barisan Nasional).

Kadang-kadang, apabila kita berada dalam sesuatu skop pemikiran atau kelompok organisasi, ada kecenderungan untuk melihat di luar kandangnya sebagai tidak berguna.  Sama juga dengan orang ateis (tidak beragama) yang percaya tanpa agama pun akhlak manusia boleh dibina dengan baik. Para ateis membuktikan akhlak mereka untuk menidakkan ajaran agama.  Para ateis itu tidak sadar bahawa majoriti manusia yang beragama itu telah membina akhkak mulia sehingga sedikit yang ateis dapat menikmati keamanan dalam sosialisasinya.

Analogi ateis dan beragama itulah yang saya cuba fahamkan di sini.  Pihak pejuang agama membina sekolah agama, sekolah tahfiz dan sebagainya di samping memandang ‘senget’ SK dan SMK yang dikatakan tidak Islamik.  Tanpa disedari, kejayaan sekolah-sekolah ‘pure’ agama termasuk sekolah pondok adalah hasil juga kejayaan pelajar-pelajar keluaran SK dan SMK.  Yang banyak menjadi pakar dalam kejuruteraan, perubatan, kedoktoran, Fizik, Kimia, Seni reka, seni bina, pertanian, pertahanan, dan segala macam hal-ehwal hidup yang tidak dijuruskan oleh pendidikan agama begitu banyak diisi oleh lepasan SK dan SMK.

Habis, apakah keluaran SK dan SMK di sisi Allah?
Dalam satu hadis Rasulullah (maksudnya) ditanya, “seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah antara mereka yang berada di jalan Allah?  Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak) maka dia berada di jalan Allah.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam itu sering dikatakan bersifat alami, sejagat, meliputi segenap ruang dan pelbagai yang membawa erti keseluruhan.  Oleh itu semua pengetahuan termasuk yang keduniaan (kursus-kursus kemahiran tahap sijil, diploma dan ijazah) termasuk memenuhi keperluan hidup manusia (muslim). Dengan kemudahan peralatan kehidupan (yang juga dinikmati oleh pelajar-pelajar agama) juga termasuk menegakkan kalimah Allah.  Maka sesiapa sahaja yang ikhlas dalam kerjanya (termasuk yang mengali parit dan mengutip sampah!) termasuk mereka yang berada di jalan Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan